Monday, 31 August 2020

Merdeka – Kekalkan Kemesraan, Eratkan Persaudaraan

 


Alhamdulillah, hari ini, seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-63. Setiap tahun, pada 31 Ogos kita raikan Hari Kebangsaan ini sebagai memperingati hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 daripada penjajah British.

Apabila membincangkan erti kemerdekaan, setiap individu mungkin mentafsirkannya dengan pandangan yang berbeza mengikut kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan fizikal sesebuah negara daripada cengkaman kuasa asing semata-mata. Ia juga boleh dilihat daripada sudut spiritual dan intelektual sebagai pembebasan daripada segala bentuk penjajahan pemikiran anasir-anasir fahaman songsang dan salah.

Kemerdekaan dicapai dengan penuh kesukaran dan pengorbanan oleh pejuang-pejuang nenek moyang kita serta seluruh rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. Kebebasan dan nikmat kemerdekaan ini haruslah sentiasa dijaga, dipelihara dan sentiasa dipantau agar negara dan jiwa kita tidak dijajah oleh mana-mana negara atau pemikiran dan pemahaman songsang yang  bercanggah dengan agama, budaya dan cara hidup. Pada hari ini, anasir luar ini sangat mudah menyerap masuk secara halus ke dalam kehidupan seharian melalui media-media sosial dan hiburan terutamanya. 

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, kaum dan agama. Kepelbagaian ini bukan suatu kelemahan malah ianya sesuatu yang unik yang telah menjadi kekuatan negara. Sebagai umat Islam, saya menyakini kepelbagaian ini adalah anugerah daripada Allah yang tidak diberikan kepada mana-mana negara lain di dunia ini. Kita seharusnya mengambil peluang atas kelebihan ini untuk berkenal-kenalan dan menyebarluaskan fahaman Islam kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini sebagaimana yang disarankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Hujurat (49:13), yang bermaksud : 

Wahai Umat Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan dan  telah Kami ciptakan kamu semua pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu semua saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia (di antara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kenal

Mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia Kawasan Ampang Jaya, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua ahli IKRAM khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Artikel oleh Hj Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos (TYDP, IKRAM Ampang Jaya)

Wednesday, 19 August 2020

DOA AKHIR & AWAL TAHUN HIJRAH

 



• Doa akhir tahun (1441H) dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (akhir waktu Asar atau selepas solat Asar) pada 29 Zulhijjah 1441 Hijrah bersamaan 19 Ogos 2020 Masihi (Rabu)


• Doa awal tahun (1442H) pula dibaca selepas menyempurnakan fardhu Maghrib pada 29 Zulhijjah 1441 bersamaan 19 Ogos 2020 (malam 1 Muharram 1442H)




Sunday, 16 August 2020

Korban dan Akikah IKRAM Ampang Jaya dengan kerjasama Pejabat ADUN Hulu Kelang

 


BENTUNG, Pahang - Seramai 6 orang AJK IKRAM Ampang Jaya beserta team sembelihan dari pihak D'bilut telah hadir di D'Bilut Agrofarm Bentung Pahang bagi menjayakan program Korban dan Akikah IKRAM Ampang Jaya dengan kerjasama Pejabat ADUN Hulu Kelang.




Sebanyak 3 ekor lembu berjaya disembelih dan dilapah bersama-sama dari pagi sehingga petang. Jumlah daging yang diperoleh dari ketiga-tiga lembu korban bagi tujuaan agihan adalah sebanyak 128kg. Terdapat kesesakan sedikit semasa perjalanan pulang menyebabkan agihan daging terpaksa dilakukan pada sebelah malam. 

Program Korban dan Akikah yang dianjurkan oleh IKRAM Ampang Jaya ini telah dijalankan pada 2 Ogos 2020 bersamaan 11 Zulhijjah 1441H dan mensasarkan 4 objektif iaitu:

  1. Membudayakan "Ruh Pengorbanan” bersama penduduk di dalam kawasan Ampang Jaya khususnya dan yang beragama Islam umumnya
  2. Mendekatkan masyarakat dengan IKRAM Ampang Jaya dengan lebih efektif lagi
  3. Mengeratkan hubungan silatur-rahim dan ukhuwah di kalangan masyarakat setempat
  4. Memberi peluang kepada ahli-ahli IKRAM Ampang Jaya berkorban sebagai salah satu program tahunan individu bagi meraikan mereka yang susah dan tidak berkemampuan




Setelah tiba Pejabat Ikram Ampang Jaya, daging dibahagikan mengikut lokasi sasaran asnaf seperti Kampung Pasir sebanyak 10 pek, UK Bistari dan sekitarnya sebanyak 50 pek, Flat Ar-Ridhuwan sebanyak 30 pek dan Berembang Indah sebanyak 31 pek. 

Serahan berakhir pada jam 10.00 malam. Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih bagi semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini dan semoga segala amalan dan pengorbanan kita diterima oleh Allah.

Untuk laporan penuh bergambar, sila layari:

Laporan disediakan oleh Ismayanty bt A Razak, Setiausaha program Korban & Akikah IKRAM Ampang Jaya dengan kerjasama Pejabat ADUN Hulu Kelang.

Saturday, 15 August 2020

Jaulah Rehlah Bicara Wanita

 

BILUT BENTONG, Pahang - Pada 8 Ogos 2020, seawal 5.30 pagi sebahagian peserta telah berkumpul di Pusat Komuniti IKRAM Ampang Jaya (PKIAJ) dan solat Subuh berjemaah. Para peserta lain mulai hadir untuk pendaftaran sebelum menaiki bas. Bas bergerak tepat jam 7.15 pagi menuju ke D'Bilut Agrofarm, Bilut Bentong Pahang. Maathurat dialunkan bersama-sama dan kuiz mengenai syurga dijalankan sepanjang perjalanan. Para peserta begitu gembira mendapat hadiah. Jam 8.30 pagi, peserta sampai di D'Bilut Agrofarm. Disaji dengan sarapan yang cukup enak dan pemandangan yang sungguh memukau. Kemudian, ucapan dari Ketua Wanita IKRAM Ampang Jaya dan sesi suaikenal. 


Program yang berobjektifkan pengisian majlis ilmu kepada wanita-wanita sekitar Ampang Jaya disertai oleh 46 orang ini kemudiannya meneruskan sesi lawatan ke taman haiwan di sekitar agrofarm. Peserta mendapat ilmu mengenai ternakan lebah bagi menghasilkan madu. Acara kemuncak adalah ceramah yang disampaikan oleh Puan Hjh Marwah Saari bertajuk Kembara ke Syurga. Usai solat Zohor, peserta bergerak pulang ke Melawati menaiki bas.

Program yang dianjurkan Wanita IKRAM Ampang Jaya ini mendapat sambutan dan maklumbalas yang baik. Ramai peserta menganggap program ini luar dari kebiasaan dan sangat seronok dapat keluar melihat alam dengan pengisian yang bermanfaat.


Laporan disediakan oleh Nur Aisyah Aimi, Pengarah Program Jaulah Rehlah Bicara Wanita