Tuesday, 20 July 2021

Perutusan Khas YDP IKRAM Ampang Jaya, Sempena Aidil Adha 1442H - PENGORBANAN MENCAPAI KETAKWAAN DENGAN CABARAN NORMA BARU

Perutusan Khas YDP IKRAM Ampang Jaya, Sempena Aidil Adha 1442H

PENGORBANAN MENCAPAI KETAKWAAN DENGAN CABARAN NORMA BARU



Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala Nabi dan Rasul.

Sebagai salah satu hari kebesaran Islam, kedatangan Aidil Adha saban tahun mengingatkan kita tentang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam sekeluarga yang menjadi pedoman bagi kita untuk mengorbankan harta dan jiwa kita demi mentaati perintah Allah SWT.

Sempena Aidil Adha ini, marilah kita mengambil i’tibar dan pengajaran dari  sejarah para anbia yang sentiasa taat dengan perintah Allah SWT dan sanggup menyerahkan seluruh kehidupan kita untuk Islam yang tercinta. Dengan kehebatan pengorbanan mereka, kita sewajarnya mengikut jejak langkah mereka dengan melakukan pengorbanan yang ikhlas hanya mengharapkan keredaan Allah SWT.

Atas ketaatan dan pengorbanan ini jugalah, pada ketika ini walaupun dengan keadaan Covid-19 dan Malaysia tidak dapat menghantar jamaah haji tahun ini, sebahagian dari saudara-saudara seagama kita yang beruntung dan terpilih sedang mengerjakan ibadah Haji mereka di Makkah al-Mukarramah dan kawasan sekitarnya dgn SOP baru, menziarahi makam Rasulullah SAW di bumi Madinah al-Munawwarah, dalam usaha menunaikan satu ibadah yang wajib kepada umat Islam yang mampu melaksanakannya. Semoga ibadat haji mereka diterima Allah SWT, memperolehi keampunan terhadap dosa-dosa yang lalu, kembali ke negara asal mereka dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa lampau dan memperolehi keredaan-Nya.

Bagi kita yang tidak dapat ke sana pula, sambutlah Aidiladha dengan memperbanyakkan tasbih, tahmid dan takbir, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama keluarga serta melaksanakan ibadah korban jika mampu ditempat-tempat yang dibenarkan, seterusnya mengagihkan daging-daging kepada saudara Muslim yang memerlukan dengan mengikuti SOP yg ditetapkan, agar segala apa yg kita laksanakan ini bukan sahaja mendapat keredhaan Allah, malah juga mengelakkan kita dari fitnah dalam menanggani cabaran covid -19 ini.

Firman Allah dlm surah Al Haj-34;

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka...” (al-Hajj: 34)

Walaupun dalam cabaran pendemik covid-19 ini, sebagai NGO yang prihatin, IKRAM tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban dan aqiqah di Malaysia dan luar negara untuk umat Islam yang memerlukan melalui program MyKorban oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan juga Qurban4Mualaf oleh Hidayah Centre Foundation (HCF) untuk golongan mualaf. Bagi IKRAM Ampang Jaya, program korban peringkat Kawasan tidak dapat dijayakan pada tahun ini disebabkan oleh SOP yang ketat yang dikenakan diKawasan. Namun begitu, ahli-ahli IKRAM Kawasan digalakkan untuk menyertai korban dengan agensi-agensi IKRAM di Kawasan lain dalam dan luar negara.

Semoga Allah SWT menerima ibadah korban kita semua, menjadikan kita semua hamba-hamba-Nya yang soleh serta bersedia berkorban untuk umat dan negara sepanjang masa dalam membina negara Malaysia baharu di bawah naungan Islam dan syariat-Nya.

Raya kali ini adalah raya ke-2 kita sambut dengan norma baru, dimana semua kita tidak dapat balik kampung dan beraya dengan keluarga dan saudara mara termasuklah anak-anak kita yg berada di kolej atau universiti yang juga tak dibenarkan balik. Ini juga merupakan pengorbanan kita semua untuk sama-sama bantu pastikan keadaan covid lebih terkawal dan lebih baik.

Dalam menghadapi suasana  covid-19 yang belum tentu lagi penghujungnya ini, kita juga perlu lebih bijak dalam berbelanja. Bagi kategori M40 dan B40, kita perlu lebih cermat dan berhemah dalam berbelanja sebagai persiapan menghadapi covid-19 yang lebih panjang. Bagi kategori M40 dan ke atas, perlu juga rancang perbelanjaan untuk membantu masyarakat yang memerlukan seperti berbelaja dengan membeli jualan-jualan yang dijual oleh mereka yang memerlukan dan pertingkatkan usaha menderma dan membantu ahli keluarga kecil dan besar serta masyarakat yang memerlukan bantuan.

Ini juga sebahagian dari pengorbanan yg kita sama-sama dapat lakukan bersesuaian dgn waqi’ semasa.

Ayuh.. sama-samalah kita jadikan ujian Covid-19 yang kita hadapi ini untuk kita sama-sama tingkatkan pengorbanan dan ibadah kita kepada Allah melalui program-program untuk santuni keluarga, ahli-ahli dan masyarakat berbilang kaum yg memerlukan bantuan. Gunakan peluang ini untuk santuni masyarakat dan seterusnya dekatkan masyarakat dengan agenda dan kefahaman Islam yang lebih jelas.

Moga dengan semangat pengorbanan ini, ia mampu mengukuhkan lagi kemakmuran, keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum bagi membentuk masyarakat rahmah dan Negara Rahmah yang diimpikan, insya-Allah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd

Wabillahi taufiq walhidayah.. wassalamualaikum wmt wbt.

Salam Aidiladha 1442H.


Roslan Abu Mansur
YDP IKRAM Ampang Jaya