Monday 14 December 2015

Islam Agama Rabbani

Firman Allah Taala

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
Ali Imran 3/ Ayat 79

Maksudnya:

Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah2ku bukan penyembah Allah."

Akan tetapi (dia berkata) :
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang RABBANI ,kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya."

Rabbani berdasarkan kata "rab" iaitu pencipta.
"Agama Rabbani " adalah ad-diin yang berasal dari Tuhan Yang Esa.

Islam sebagai agama rabbani membawa erti bahawa Islam itu daripada Allah SWT.
Segala hukum, konsep, prinsip, nilai dan neraca yang terdapat dalam Islam adalah dari Allah SWT.

Manusia, hatta Rasulullah sendiri tidak terlibat dalam penciptaan dan penggubalannya.

Seseorang itu disebut rabbani apabila beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah, arif tentang agama dan berpegang teguh kepada kitab Allah serta mengajarkannya.

Ayat Quran 3:79 diatas menyarankan hendaklah manusia itu menjadi orang-orang yang bersifat rabbani yang sentiasa mempelajari Al Kitab dan berterusan mempelajarinya.

Rabbani dari sudut matlamat dan tumpuan membawa erti bahwa Islam menjadikan hubungan yang baik dengan Allah dan mendapat keredhaanNya sebagai matlamat terakhir kehidupan manusia. Inilah matlamat hidup insan dalam kehidupannya didunia ini.

Kesemua ajaran Islam itu baik bersangkutan dengan aqidah, akhlak dan muamalat dan lain nya bertujuan untuk menyiapkan manusia supaya menjadi hamba Allah semata-mata.

Sesungguhnya manusia diciptakan untuk satu tujuan yang tinggi dan mulia. Manusia hidup untuk mengenal Allah selaku penciptanya, mengabdikan diri kepadaNya serta menjadi khalifahNya dibumi ini.

Al-Quran telah menjelaskan hakikat kejadian manusia melalui firmanNya yang bermaksud:

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada Ku."
Adz Dzariyaat 51/ Ayat 56.

Manusia diciptakan Allah untuk dia mengenal Allah dan beribadah kepadaNya.
Manusia dicipta untuk menunaikan amanah sebagai khalifah Allah di bumi ini.

Sifat Rabbaniah ini seterusnya memberi kesan terhadap pembentukan jiwa manusia dalam kehidupannya didunia , disamping mendapat faedah-faedah di akhirat.

Diantara kesan-kesan duniawi itu adalah:

1) Manusia itu tahu apakah matlamat hidupnya, apakah kesudahan hidup ini dan apakah peranannya dalam hidup ini.

2) Manusia mengenali fitrah dirinya sendiri. Fitrah itulah yang menuntut dia beriman kepada Allah .
Manusia yang beriman dapat menyesuaikan fitrah dirinya dengan alam sekeliling yang juga memiliki bersifat Rabbani.

3) Sifat Rabbani ini dapat menyelamatkan manusia daripada suatu pertarungan dengan dirinya sendiri yang tercari2 apakah matlamat hidup sebenarnya. Islam telah membataskan hidup manusia kepada satu matlamat saja iaitu mencari keredhaan Allah Swt.

4) Sifat Rabbani dapat memberikan kebebasan dalam memilih samada tuntutan peribadi (hawa nafsu) dengan tuntutan Tuhannya. Penilaian yang jelas ini dapat membebaskan diri dari sifat" ananiah" ( individualisma).

Insan Rabbani bukannya malaikat yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Insan Rabbani adalah orang yang akan kembali kepada Allah, yang sentiasa merasakan kecuaiannya setiap kali dia melakukan kesilapan.

Insan Rabbani adalah orang yang sentiasa bertaubat setelah melakukan dosa , lantas meminta keampunan dari Tuhannya yang bersifat Maha Pemurah.

Manusia rabbani terdedah kepada peluang2 untuk melakukan berbagai maksiat seperti rasuah, penipuan, membalas dendam kesumat, namun beliau mengawal diri tidak melakukannya kerana sifat takut kepada Allah Swt yang amat mendalam.

Sifat Rabbani dari sudut manhaj dan sumber membawa erti bahwa manhaj yang telah digariskan Islam untuk mencapai matlamat dan tujuannya adalah manhaj rabbani kerana ia bersumber daripada wahyu Allah dan panduan RasulNya Muhammad Saw.

Manhaj itu datang daripada Allah yang membawakan petunjuk , cahaya, penjelasan , khabar gembira dan rahmat kepada hamba-hambaNya.

Kesan daripada manhaj dan sumber Rabbani:

1) Oleh kerana Islam itu dari Allah , maka ia akan bebas dari sifat kekurangan. Berbanding dengan sistem2 ciptaan manusia yang penuh dengan kekurangan-kekurangan. Contohnya Islam telah menetapkan status sosial diantara manusia adalah sama tanpa mengira warna kulit.

Sesungguhnya yang paling mulia disisi Allah adalah orang yang lebih tinggi ketakwaannya kepada Allah . (Rujuk Al-Hujurat 49/ Ayat 13)

2) Oleh kerana Islam itu daripada Allah, ia terpelihara dari kepentingan peribadi atau kelas tertentu,
masyarakat, kumpulan atau parti politik.

3) Ajaran Islam yang datang daripada Allah adalah sesuai untuk manusia kerana Dia sendiri yang menciptakan hamba-hambaNya.

4) Oleh kerana Islam itu daripada Allah ia akan mendapat penghormatan dan dipandang hebat dari para mukminin , walau apapun kedudukan mereka dalam masyarakat. Kedudukan mereka yang tinggi mana sekalipun tidak mengecualikan diri mereka dari patuh kepada undang-undang Islam. Contohnya setiap individu dalam masyarakat Islam mesti patuh dengan pengharaman arak dengan perintah sepotong ayat Al-Quran sahaja. Hal sedemikian sukar terjadi didalam masyarakat atau negara orang kafir.

Kita sebagai penganut agama Rabbani mestilah mengamalkan Sunnah Nabawiyah yang mana ianya adalah perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah Saw yang sentiasa mendapat petunjuk dan bimbingan dari Allah Swt.

Semoga huraian yang serba ringkas ini dapat menambah lagi 'ubudiyah kita sebagai makhluk yang serba kekurangan ini terhadap Khaliq Yang Maha Sempurna lagi Maha Agung sifatNya.

Ingatlah tatkala Malaikat Jibrail menanyakan Nabi Saw tentang apakah dia itu "ihsan", Rasulullah menjawab:"Beribadah kepada Allah 'Azza wa Jalla seakan-akan engkau melihat Dia, dan sekiranya engkau tidak boleh mencapai keadaan itu, maka engkau mesti yakin bahwa Dia melihat kamu."
H R Bukhari.



Wallahua'lam



Rujukan:
8 CIRI ISTIMEWA ISLAM oleh Ust Alias Othman.


Disusun oleh;
Mahabob bin Suib
Setiawangsa Utama

No comments:

Post a Comment