Saturday 31 October 2020

MASA KITA ALLAH PUNYA


 بسم الله الرحمن الرحيم

Segala pujian bagi Allah SWT Tuhan sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, keluarga serta para sahabat Baginda yang tercinta.

اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ

Ikhwah, akhawat dan para pembaca yang dihormati dan dirahmati Allah SWT.

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah swt atas ruang masa yang diberikan olehNya untuk kita sama-sama berkongsi sedikit ilmu. Agar peluang ini menjadi peringatan buat kita semua terutamanya diri saya sendiri, dan dinilai sebagai suatu usaha dan amal soleh di sisi Allah Swt. 

Topik yang ingin saya kongsikan pada kali ini bertajuk, “Masa kita Allah punya”

Apabila kita menyebut soal masa, maka Firman Allah Ta’ala dalam surah ‘al-Asr, adalah gambaran yang paling tepat untuk kita mengatur hidup dengan masa milik Allah ini. Surah ini pendek namun sarat dengan peringatan. Allah berfirman

Surah al-Asr: Message of Iman, Sabr and Haqq | Quranic Quotes

Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan melakukan amal salih, serta saling berpesan supaya menjunjung agama yang benar dan saling berpesan supaya bersabar’

Dengan menanam konsep Masa kita Allah punya, ia memberi dorongan untuk kita bersegera untuk menambah amal dan melakukan lebih banyak amal jamaei. Memahami bahawa setiap detik umur kita Allah yang tentukan, kita akan sentiasa beringat, hidup kita di dunia ini ada tarikh luputnya. 

Melalui konsep ini juga, kita tidak mahu sikap bertangguh-tangguh dan culas mengerjakan tuntutan agama dan berbuat amal kebajikan, bertapak dalam diri kita. Apatah lagi, merasakan seolah-olah masa itu hak kita dan kepunyaan kita, semata-mata. 

Sebagai contoh, sikap bertangguh-tangguh ini…misalnya, pernahkah dalam urusan seharian  kita, dalam keadaan sedar kita menangguh sedikit waktu solat walaupun azan telah berkumandang, lalu kita semakin dilewat-lewatkan untuk mengerjakan solat dengan pelbagai kesibukan urusan-urusan sampingan lain, sedangkan dengan mendahului solat itu tadi, kita telah mendahului seruan Allah. Secara tidak langsung, tindakan tersebut seolah-olah kita mengenepikan hak Tuan Punya masa iaitu Allah, lalu menentukan masa kita sendiri, sedang kedudukan kita ini hanyalah sebagai seorang hambaNya.

Prinsip masa itu sendiri adalah untuk diatur. Bukan masa yang mengatur kita. Namun sebaliknya yang terjadi, kita sering bertangguh-tangguh dalam mengerjakan setiap tuntutan yang wajib ke atas diri kita. Kerdilnya kita apabila tanpa segan dan silu,  sering memberi alasan sibuk atau tidak cukup masa dalam kehidupan kita. Walhal, masa yang Allah Ta’ala berikan kepada semua manusia adalah sama, tidak terlebih dan terkurang.

Ikhwah, akhawat dan para pembaca yang dirahmati Allah,

Ramai diantara kita yang celik akan kepentingan masa tetapi buta akan cara menggunakannya Oleh itu, belajarlah cara untuk menawan masa dan tidak membiarkan diri kita pula ditawan oleh masa! Rasulullah SAW bersabda: “Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan. (riwayat al-Bukhari)”

As-Syahid Hassan Al-Banna pula jelas mengaitkan masa dengan kehidupan, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang kita habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya”.

Masa termasuk dalam dua jenis nikmat yang ramai manusia tertipu; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. Nikmat sihat pula sering dikaitkan juga dengan masa muda sebelum tua. PEPATAH Arab menyebut, 'Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita.'

Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah dalam soal pengurusan masa. Kebiasaanya, kita akan dapat melihat orang yang paling baik dalam menguruskan masa ialah orang yang paling sibuk dan banyak tanggungjawabnya. Kehidupan Rasulullah SAW, sebagai contohnya dipenuhi dengan menguruskan agenda dakwah serta perjuangannya, menjadi pemimpin di negara Islam Madinah, menjadi ketua turus angkatan tentera, menjadi suami kepada isteri-isteri, menjadi ayah kepada anak-anak, menjadi teman kepada sahabat-sahabat dan sebagainya. Akan tetapi, Baginda dapat menguruskan masa dengan cemerlang serta melaksanakan urusan dan amanahnya sehingga semua manusia berpuas hati.

Secara ringkasnya, praktis untuk menawan masa boleh dilaksanakan melalui langkah-langkah berikut;

  1. Jaga Solat kerana kunci aturan hidup yang lebih sempurna adalah menjaga solat. 

  2. Lakukan konsep amal afdhal, gunakan masa dengan bijak kerana memahami ‘Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada’. 

  3. Kenalpasti dan elakkan pembaziran masa yang dihabiskan kerana melakukan kerja yang sia-sia.

  4. Menghargai masa dengan melakukan kerja-kerja yang membuah amal kebajikan. Pilih aktiviti-aktiviti mengikut keutamaan yang memberi manfaat dan besar impaknya kepada ummah. 

  5. Latih diri untuk beradab dengan masa orang lain.

  6. Jaga Iman kerana Iman kita adakala turun dan naik. Oleh sebab, kita disarankan agar sentiasa memperbaharui niat dalam setiap amal kita. Dengan niat dan iman yang terjaga, masa kita juga lebih terpelihara.

 

Kita mempunyai banyak kewajipan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu gunakanlah masa itu dengan bijak.

Rasulullah s.a.w telah menitipkan pesanannya buat para sahabat dan umat Islam zaman-berzaman melalui hadis yang diriwayatkan oleh At-Timidzi dan Muslim:

“Dari Amru bin Maimun r.a pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah menyampaikan sabdanya yang bermaksud : Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu:

  1. Masa mudamu sebelum datangnya hari tua,

  2. Masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit,

  3. Masa kayamu sebelum datangnya masa miskin,

  4. Masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk,

  5. Masa hidup sebelum datangnya malaikat mencabut nyawa.


Jangan kita bertangguh dalam beberapa keutamaan yang mempunyai hak dalam masa kita. Lawan bertangguh adalah bersegera. Antara perkara yang kita perlu bersegera adalah.

  • Bersegera dalam melaksanakan amal ibadat 

  • Bersegera dalam melaksanakan hak, amanah dan tanggungjawab, sama ada kita sebagai anak, ibubapa, guru, ahli masyarakat dan apa juga peranan kita

  • Bersegera dalam menyebarkan syiar Islam

  • Bersegera dalam soal memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan Islam

  • Bersegera dalam menegakkan hukum syarak

  • Bersegera dalam menyempurnakan tugasan yang diamanahkan dalam pekerjaan, Amal jamaei kita.


Walaupun kita bersegera, bukanlah bermakna kita perlu melakukan perkara-perkara tersebut secara terburu-buru dan tergesa-gesa. Perancangan, penyusunan dan pengurusan yang baik juga termasuk dalam urusan bersegera tersebut.

Dalam pengurusan masa, kita boleh menyusun tugasan hariannya mengikut keutamaan. Contohnya kita boleh menyaring perkara yang ingin dilakukan kepada tiga (3) kategori utama iaitu:

  • Pertama, dahulukan perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai Ad-Dharuriyyat/genting dan penting/crucial & urgent serta perlu dilaksanakan dengan segera.

  • Kedua, lakukan perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai Al-Hajjiyyat – iaitu perkara yang penting dan perlukan perhatian (important & need attention).

  • Apabila ada ruang masa, bolehlah dilakukan perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai At-Tahsiniyyat, iaitu perkara yang tidak utama dan tidak segera (less important & less urgent).


Ini bersesuaian dengan pengurusan masa melalui kaedah Islam yang amat menitikberatkan perkara-perkara yang utama dan mengenepikan perkara-perkara yang remeh-temeh. Penyaringan ini amat perlu untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu, peredaran masa dan  peningkatan kemudahan teknologi yang pantas.

Akhir kalam, sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang. Dan Allahlah jua sebaik-baik perancang dan penentu kejayaan. Urus masa dengan baik. Permudahkan urusan kita agar lebih efisyen’. 

Sehingga kita bertemu lagi.  وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

*************************************

Ir Mazura Nor Zulkifli

Ketua Wanita IKRAM Ampang Jaya

Kepakaran: Hydraulics Engineering and River Basin Development

Friday 30 October 2020

DUA JENIS BALASAN YANG AMAT BERBEZA DI AKHIRAT

Sedikit Perkongsian Ilmu Di Hari Jumaat (Penghulu Segala Hari)


DUA JENIS BALASAN  YANG AMAT BERBEZA DI AKHIRAT

Firman Allah Taala:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا لَّهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَنُدْخِلُهُمْ ظِلًّا ظَلِيلًا

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.

(An-Nisa’ 4: 56-57)


Ayat-ayat di atas telah ditadabbur dalam program My#QuranTime di TV Al-Hijrah

Baca, Faham dan Amal!

*******

Nota-nota tambahan:

1. Allah Swt menjanjikan setiap orang hambaNya akan dibalas secara adil diakhirat nanti berdasarkan amalan masing-masing di dunia ini.

2. Bagi mereka yang ingkar (kufur)  terhadap perintahNya yang telah difirmankan melalui para nabiNya bahawa siksaan neraka yang panas (membakar seluruh tubuhnya) adalah balasan bagi mereka.

3. Setiap  kali kulit mereka hangus ,Allah akan menukar dengan kulit baru yang  menyebabkan mereka dapat merasa kembali rasa sakit yang dialami sebelum itu.

4. Dr Abdul Aziz Basha dalam bukunya “Islam dan Kedoktoran Moden” menyatakan bahawa  anggota tubuh  manusia yang paling merasa sakit sekiranya terbakar adalah dibahagian kulit. 

5. Allah berfirman setiap kali kulit manusia terbakar, Dia akan menggantikan  dengan lapisan kulit yang baru sehingga menjadikan  mereka yang disiksa itu terus menerus merasakan azab yang pedih. Sesungguhnya Allah adalah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

6. Bagi hamba-hamba Allah yang beriman dan beramal soleh mereka dijanjikan syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai dan mereka kekal didalamnya. Mereka juga dianugerahkan para isteri yang suci bersih . 

7. Berbahagialah mereka ditempat yang teguh yang sentiasa dinaungi Allah. 

Begitulah nasib yang amat berbeza yang menimpa mereka yang kufur terhadap perintah Allah berbanding  mereka yang beriman dan melakukan amal-amal soleh.

Sesungguhnya Allah Swt berlaku adil terhadap setiap hambaNya.

Setiap amalan yang dilakukan seseorang didunia ini akan dicatat dalam Kitab Catatan Amal , dan di akhirat nanti ianya akan diperlihatkan kepada setiap orang hambaNya seperti yang dijelaskan oleh Ayat berikut 

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

(Al-Kahfi 18:49)

Semoga perkongsian diatas memberikan kesedaran dan manfaat kepada kita bersama.

Wallahua’lam.


Rujukan: Tafsir Sheikh Ahmad Mustaffa Al-Maraghiy - Jilid 3


- MBS -

Thursday 29 October 2020

Artikel Maulidur Rasul 2020 - Andai Kau Masih Ada Detik Ini, Ya Rasulullah


Andai Kau Masih Ada Detik Ini, Ya Rasulullah


Saban tahun, bila tiba hari bersejarah ini, kita seringkali termenung dan terfikir, andai Rasulullah saw masih lagi hidup, apa agaknya yang akan baginda saw lakukan bagi menangani kepelbagaian masalah yang melanda dunia pada ketika itu. 


Sebagai umat baginda saw, pastinya kita merindui kelibat baginda walaupun tidak pernah bersua muka. Namun, apakah cukup untuk kita sekadar menangisi kerinduan terhadap baginda? Sudah tertunaikah janji-janji kita terhadap Allah yang disampaikan melalui baginda ar-Rasul? Masih ingatkah lagi kita akan janji kita terhadap Allah ketika kita dikeluarkan dari tulang sulbi Adam, di mana kita telah bersaksi bahawa Allah itu Tuhan kita? (Al-A’raf:172)


Dunia kini dilanda kemelut yang amat dahsyat, setelah Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organisation, WHO) mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai global pandemik sejak Mac 2020 yang lalu. Masyarakat seluruh dunia merasai kesan dari virus ini, yang bukan hanya menyerang kesihatan manusia, malah turut melumpuhkan sistem ekonomi dunia yang mana banyak perniagaan mengalami kerugian dan para pekerja juga kehilangan pekerjaan. Selain itu, pelbagai permasalahan lain turut timbul akibat serangan virus ini, antaranya ialah sistem pembelajaran anak-anak yang terbantut dan terkebelakang, kes-kes keganasan rumahtangga dan penceraian yang turut meningkat akibat tekanan perasaan dan tempoh tinggal bersama di rumah yang lebih lama, dan pelbagai lagi kesan-kesan negatif yang lain.


Melihat dari kaca mata negatif, sudah pastilah yang dapat kita lihat adalah kesan-kesan negatif juga. Namun, tanpa kita sedari, pelbagai pengajaran dan pedoman yang boleh kita ambil ekoran dari kemelut yang melanda ini. Dan kita pastinya tertanya-tanya, jika Rasulullah saw masih hidup pada hari ini, dan baginda sendiri berada di tengah-tengah permasalahan COVID-19 yang melanda, apakah yang akan beliau lakukan? Apakah tindakan wajar yang akan seorang Nabi ambil bagi mengatasi permasalahan ini.


Rasulullah saw ialah manusia agung yang telah dikirimkan oleh Allah kepada kita semua sebagai cahaya dan petunjuk sepanjang zaman. Tiada lagi Nabi dan Rasul yang turun selepas baginda saw. Oleh itu, sudah pastinya segala perlakuan, keputusan-keputusan yang dibuat dan cara hidup yang telah baginda amalkan dahulu tetap relevan untuk kita ikuti hingga hari ini. Namun, persoalannya, sejauh manakah telah kita amalkan sunnah baginda dalam kehidupan kita terutamanya di saat wabak COVID-19 yang melanda ini, ataupun mungkin persoalan yang lebih wajar diutarakan ialah, sejauh manakah kita sedar dan tahu akan sunnah baginda yang boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita di kala wabak COVID-19 ini, terutamanya ketika mana masa lebih banyak diluangkan di rumah?


Mendepani wabak COVID-19 yang memerlukan kita untuk meluangkan lebih banyak masa di rumah memandangkan sekolah-sekolah terpaksa ditutup, pekerja-pekerja kerajaan dan swasta juga diarahkan untuk bekerja dari rumah, sudah pastinya memberikan cabaran yang mungkin tidak pernah kita lalui sebelum ini. Dalam erti kata lain, cabaran utama kita pada masa kini ialah cabaran berada di rumah. 


Sebenarnya, pelbagai sunnah baginda saw yang boleh kita kaji dan praktikkan bila mana kita diperintahkan untuk meluangkan lebih banyak masa di rumah seperti hari ini. Ini adalah gaya hidup baginda saw suatu ketika dulu. Kita sangat disarankan untuk berbuat baik sesama ahli keluarga, terutamanya kepada ibu bapa, isteri, suami dan anak-anak seperti petikan hadith-hadith di bawah :


"Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sambil berkata; "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku berbakti kepadanya?" beliau menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "Kemudian siapa?" beliau menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "kemudian siapa lagi?" beliau menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "Kemudian siapa?" dia menjawab: "Kemudian ayahmu." Ibnu Syubrumah dan Yahya bin Ayyub berkata; telah menceritakan kepada kami Abu Zur'ah hadis seperti di atas." (Riwayat Bukhari hadis no: 5514, Riwayat Muslim hadis no : 4621) 


“Orang yang imannya paling sempurna di antara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya." (Riwayat Tirmidzi hadis no : 1162, Riwayat Abu Daud hadis no : 4062) 


"Bersikaplah adil di antara anak-anak kalian dalam hibah, sebagaimana kamu menginginkan mereka berlaku adil kepada kamu dalam berbakti dan berlemah lembut. (Riwayat al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra hadis no: 12003)


Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a. al-Jami’ as-Saghier, hadis no: 46)


Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada selain Allah, pastinya aku akan menyuruh perempuan untuk sujud kepada suaminya. (Riwayat Abu Daud hadis no : 1828)


Dari petikan hadith-hadith tersebut, dapat kita simpulkan bahawa Allah telah mengurniakan kita peluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini untuk terus membuat amal jariah dengan lebih banyak kepada kaum keluarga kita sendiri. Kita mungkin tidak berpeluang untuk berbakti kepada mereka sebelum ini akibat kekangan kerja ataupun hal-hal lain. Jadi, marilah kita menggunakan peluang ini untuk kita bermesra dengan isteri atau suami, ibu bapa dan anak-anak kita. Perbanyakkan solat jemaah bersama, ajarkan anak-anak kita Quran dan Sirah Nabi saw. Kenalkan mereka kepada Allah dan Rasul.


Selain dari itu, kita juga berpeluang untuk berbuat baik kepada jiran tetangga kita. Pelbagai pertolongan kita boleh hulurkan kepada mereka di saat-saat genting begini. Antaranya adalah bertanya khabar, dan mengambil berat sekiranya mereka memerlukan bantuan kewangan, atau keperluan asas. Nabi saw amat menekankan kewajipan berbuat baik kepada jiran seperti hadith di bawah: 


“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim hadis no : 77)


Marilah kita sama-sama melihat kedatangan wabak COVID-19 ini sebagai satu ujian untuk mendekatkan lagi diri kita kepada Allah swt, dan bukannya satu bala bencana yang boleh menjauhkan lagi diri kita dariNya. Gunakan peluang ini sebaiknya untuk menambah ilmu, mendalami sirah dan sunnah baginda saw kerana kita belum tentu akan perolehi waktu lapang yang kita punyai pada hari ini lagi. 


Oleh itu, jika Rasulullah masih ada pada hari ini, apakah yang akan baginda buat? Adakah baginda akan sibuk melayari drama Korea, bermain permainan komputer atau telefon bimbit? Adakah baginda akan sibuk berbalas komen-komen tidak bermanfaat di Facebook, Instagram, Whatsapp dan sebagainya, atau baginda sebaliknya akan menggunakan medium-medium tersebut untuk tujuan dakwah dan penyebaran Islam? Kita sendiri telah diberi akal dan fikiran oleh Allah untuk menilai manakah yang baik dan buruk. 

Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (Riwayat Muslim hadis no :2553)

Akhir kata, al-Quran dan as-Sunnah yang telah baginda saw tinggalkan pada kita sejak 1400 tahun yang lalu adalah pengganti baginda untuk kita amalkan pada hari ini. Tidak kiralah sama ada kita berada di zaman pandemik atau pun tidak, kita seharusnya sentiasa berfikir, mengamati dan meneladani gaya hidup baginda. Persoalan ‘Jika Rasulullah hidup pada hari ini, apa yang akan baginda lakukan…’ hendaklah kita tanya pada diri kita setiap hari, supaya kita ingat dengan jelas akan apa tujuan baginda dikirimkan kepada kita dan apa tujuan hidup kita di dunia ini. Selamat Menyambut Hari Kelahiran Nabi Muhammad saw. Salam dan selawat ke atas baginda dan sahabat-sabahat baginda.


Wallahu’alam.



29 Oktober 2020

Mohd Hilmi bin Kamil

(Setiausaha IKRAM Ampang Jaya)

Friday 23 October 2020

MANUSIA DIBERIKAN TANGGUNGJAWAB BERSESUAIAN DENGAN FITRAH KEJADIAN MASING-MASING

Panduan Buat Generasi Muda Masa Kini

MANUSIA DIBERIKAN TANGGUNGJAWAB  BERSESUAIAN DENGAN FITRAH KEJADIAN MASING-MASING

Sumber gambar: Hope Standard

Firman Allah Taala:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Surah An-Nisa’ 4:32. Yang bermaksud:

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Ayat di atas telah dihuraikan dalam program My#QuranTime di TV Al-Hijrah.

 ********

Nota-nota tambahan:

1. Seorang sahabat  Nabi Saw yang bernama Ikrimah meriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat di atas adalah mengenai kaum wanita menanyakan soal jihad (berperang), “Kami beringinan supaya Allah Swt turut mewajibkan berperang buat kami, sehingga kami memperolehi bahagian pahala sepertimana diperolehi oleh kaum lelaki.”

2. Allah Swt memerintahkan setiap lelaki dan perempuan supaya bekerja sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. (Orang lelaki sesuai dengan pekerjaan di luar rumah, manakala orang perempuan sesuai dengan pembawaan mereka yang lemah-lembut terutama dibidang pendidikan, perubatan, kejururawatan  dan profession yang bersesuaian dengan wanita.)

Ini bersesuaian dengan firmanNya yang berikut yang bermakna,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya... "

(An-Nisa’ 4:34)

3. Mereka hendaklah memohon kepada Allah Swt supaya dikurniakan pertolongan dan kekuatan untuk melakukan tugas masing-masing. Janganlah ada satu pihak menginginkan  apa yang dimiliki oleh pihak lain. Mereka janganlah merasa irihati  terhadap kebolehan pihak lain. Keadaan fizikal masing-masing adalah jauh berbeza.

(Contohnya sifat wanita amat memikat pihak lelaki. Oleh itu disyariatkan wanita mesti menutup auratnya bagi mengelakkan berlakunya fitnah dalam masyarakat.)

4. Sheikh Muhammad Abduh mengatakan, “Orang  lelaki dan perempuan mempunyai kelebihan pada usaha-usaha yang dapat dilakukan sendiri dan janganlah merindukan sesuatu yang bukan merupakan usaha dan kegiatan  mereka.”

5. Orang  lelaki dan wanita hendaklah menumpukan bidang yang diceburi oleh masing-masing sesuai dengan potensi yang dikurniakan Allah Swt.

Hasil pencapaian bagi lelaki dan wanita sangat bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh masing-masing.

6. Allah Swt mencipta lelaki dan wanita adalah  berpasangan  dan saling  lengkap-melengkapi diantara mereka  sesuai dengan firmanNya yang bermaksud,

" Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."

(Yaasiin 36:36)

(Pada lazimnya tugas suami  mencari nafkah, manakala si isteri pula bertanggungjawab menjaga rumah tangga, melahir dan menjaga anak-anak dirumah.)

7. Bersyukurlah  kepada Allah Swt akan limpah kurnia yang dianugerahkan kepada pihak lelaki dan wanita. Dialah yang mengetahui sifat semula jadi yang dimiliki oleh para hamba ciptaanNya. 

(Janganlah ada wanita yang cuba menzahirkan sifat ‘kasar’ seperti orang lelaki, manakala orang lelaki pula menzahirkan sifat ‘lemah lembut’ seperti wanita. Ini semua akan menimbulkan ‘kecelaruan identiti’ dalam masyarakat kita.)

Semoga perkongsian di atas memberi  kesedaran dan manfaat kepada kita semua terutama generasi anak-anak kita.

Wallahua’lam

Rujukan: Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 3

- MBS -