Thursday, 29 October 2020

Artikel Maulidur Rasul 2020 - Andai Kau Masih Ada Detik Ini, Ya Rasulullah


Andai Kau Masih Ada Detik Ini, Ya Rasulullah


Saban tahun, bila tiba hari bersejarah ini, kita seringkali termenung dan terfikir, andai Rasulullah saw masih lagi hidup, apa agaknya yang akan baginda saw lakukan bagi menangani kepelbagaian masalah yang melanda dunia pada ketika itu. 


Sebagai umat baginda saw, pastinya kita merindui kelibat baginda walaupun tidak pernah bersua muka. Namun, apakah cukup untuk kita sekadar menangisi kerinduan terhadap baginda? Sudah tertunaikah janji-janji kita terhadap Allah yang disampaikan melalui baginda ar-Rasul? Masih ingatkah lagi kita akan janji kita terhadap Allah ketika kita dikeluarkan dari tulang sulbi Adam, di mana kita telah bersaksi bahawa Allah itu Tuhan kita? (Al-A’raf:172)


Dunia kini dilanda kemelut yang amat dahsyat, setelah Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organisation, WHO) mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai global pandemik sejak Mac 2020 yang lalu. Masyarakat seluruh dunia merasai kesan dari virus ini, yang bukan hanya menyerang kesihatan manusia, malah turut melumpuhkan sistem ekonomi dunia yang mana banyak perniagaan mengalami kerugian dan para pekerja juga kehilangan pekerjaan. Selain itu, pelbagai permasalahan lain turut timbul akibat serangan virus ini, antaranya ialah sistem pembelajaran anak-anak yang terbantut dan terkebelakang, kes-kes keganasan rumahtangga dan penceraian yang turut meningkat akibat tekanan perasaan dan tempoh tinggal bersama di rumah yang lebih lama, dan pelbagai lagi kesan-kesan negatif yang lain.


Melihat dari kaca mata negatif, sudah pastilah yang dapat kita lihat adalah kesan-kesan negatif juga. Namun, tanpa kita sedari, pelbagai pengajaran dan pedoman yang boleh kita ambil ekoran dari kemelut yang melanda ini. Dan kita pastinya tertanya-tanya, jika Rasulullah saw masih hidup pada hari ini, dan baginda sendiri berada di tengah-tengah permasalahan COVID-19 yang melanda, apakah yang akan beliau lakukan? Apakah tindakan wajar yang akan seorang Nabi ambil bagi mengatasi permasalahan ini.


Rasulullah saw ialah manusia agung yang telah dikirimkan oleh Allah kepada kita semua sebagai cahaya dan petunjuk sepanjang zaman. Tiada lagi Nabi dan Rasul yang turun selepas baginda saw. Oleh itu, sudah pastinya segala perlakuan, keputusan-keputusan yang dibuat dan cara hidup yang telah baginda amalkan dahulu tetap relevan untuk kita ikuti hingga hari ini. Namun, persoalannya, sejauh manakah telah kita amalkan sunnah baginda dalam kehidupan kita terutamanya di saat wabak COVID-19 yang melanda ini, ataupun mungkin persoalan yang lebih wajar diutarakan ialah, sejauh manakah kita sedar dan tahu akan sunnah baginda yang boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita di kala wabak COVID-19 ini, terutamanya ketika mana masa lebih banyak diluangkan di rumah?


Mendepani wabak COVID-19 yang memerlukan kita untuk meluangkan lebih banyak masa di rumah memandangkan sekolah-sekolah terpaksa ditutup, pekerja-pekerja kerajaan dan swasta juga diarahkan untuk bekerja dari rumah, sudah pastinya memberikan cabaran yang mungkin tidak pernah kita lalui sebelum ini. Dalam erti kata lain, cabaran utama kita pada masa kini ialah cabaran berada di rumah. 


Sebenarnya, pelbagai sunnah baginda saw yang boleh kita kaji dan praktikkan bila mana kita diperintahkan untuk meluangkan lebih banyak masa di rumah seperti hari ini. Ini adalah gaya hidup baginda saw suatu ketika dulu. Kita sangat disarankan untuk berbuat baik sesama ahli keluarga, terutamanya kepada ibu bapa, isteri, suami dan anak-anak seperti petikan hadith-hadith di bawah :


"Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sambil berkata; "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku berbakti kepadanya?" beliau menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "Kemudian siapa?" beliau menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "kemudian siapa lagi?" beliau menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "Kemudian siapa?" dia menjawab: "Kemudian ayahmu." Ibnu Syubrumah dan Yahya bin Ayyub berkata; telah menceritakan kepada kami Abu Zur'ah hadis seperti di atas." (Riwayat Bukhari hadis no: 5514, Riwayat Muslim hadis no : 4621) 


“Orang yang imannya paling sempurna di antara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya." (Riwayat Tirmidzi hadis no : 1162, Riwayat Abu Daud hadis no : 4062) 


"Bersikaplah adil di antara anak-anak kalian dalam hibah, sebagaimana kamu menginginkan mereka berlaku adil kepada kamu dalam berbakti dan berlemah lembut. (Riwayat al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra hadis no: 12003)


Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a. al-Jami’ as-Saghier, hadis no: 46)


Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada selain Allah, pastinya aku akan menyuruh perempuan untuk sujud kepada suaminya. (Riwayat Abu Daud hadis no : 1828)


Dari petikan hadith-hadith tersebut, dapat kita simpulkan bahawa Allah telah mengurniakan kita peluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini untuk terus membuat amal jariah dengan lebih banyak kepada kaum keluarga kita sendiri. Kita mungkin tidak berpeluang untuk berbakti kepada mereka sebelum ini akibat kekangan kerja ataupun hal-hal lain. Jadi, marilah kita menggunakan peluang ini untuk kita bermesra dengan isteri atau suami, ibu bapa dan anak-anak kita. Perbanyakkan solat jemaah bersama, ajarkan anak-anak kita Quran dan Sirah Nabi saw. Kenalkan mereka kepada Allah dan Rasul.


Selain dari itu, kita juga berpeluang untuk berbuat baik kepada jiran tetangga kita. Pelbagai pertolongan kita boleh hulurkan kepada mereka di saat-saat genting begini. Antaranya adalah bertanya khabar, dan mengambil berat sekiranya mereka memerlukan bantuan kewangan, atau keperluan asas. Nabi saw amat menekankan kewajipan berbuat baik kepada jiran seperti hadith di bawah: 


“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim hadis no : 77)


Marilah kita sama-sama melihat kedatangan wabak COVID-19 ini sebagai satu ujian untuk mendekatkan lagi diri kita kepada Allah swt, dan bukannya satu bala bencana yang boleh menjauhkan lagi diri kita dariNya. Gunakan peluang ini sebaiknya untuk menambah ilmu, mendalami sirah dan sunnah baginda saw kerana kita belum tentu akan perolehi waktu lapang yang kita punyai pada hari ini lagi. 


Oleh itu, jika Rasulullah masih ada pada hari ini, apakah yang akan baginda buat? Adakah baginda akan sibuk melayari drama Korea, bermain permainan komputer atau telefon bimbit? Adakah baginda akan sibuk berbalas komen-komen tidak bermanfaat di Facebook, Instagram, Whatsapp dan sebagainya, atau baginda sebaliknya akan menggunakan medium-medium tersebut untuk tujuan dakwah dan penyebaran Islam? Kita sendiri telah diberi akal dan fikiran oleh Allah untuk menilai manakah yang baik dan buruk. 

Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (Riwayat Muslim hadis no :2553)

Akhir kata, al-Quran dan as-Sunnah yang telah baginda saw tinggalkan pada kita sejak 1400 tahun yang lalu adalah pengganti baginda untuk kita amalkan pada hari ini. Tidak kiralah sama ada kita berada di zaman pandemik atau pun tidak, kita seharusnya sentiasa berfikir, mengamati dan meneladani gaya hidup baginda. Persoalan ‘Jika Rasulullah hidup pada hari ini, apa yang akan baginda lakukan…’ hendaklah kita tanya pada diri kita setiap hari, supaya kita ingat dengan jelas akan apa tujuan baginda dikirimkan kepada kita dan apa tujuan hidup kita di dunia ini. Selamat Menyambut Hari Kelahiran Nabi Muhammad saw. Salam dan selawat ke atas baginda dan sahabat-sabahat baginda.


Wallahu’alam.



29 Oktober 2020

Mohd Hilmi bin Kamil

(Setiausaha IKRAM Ampang Jaya)

1 comment:

  1. Selamat Menyambut Maulidur Rasul 2020

    اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ آلِ مُحَمَّدٍ

    Indah pekerti akhlak terpuji,
    Qudwah hasanah ibrah kehidupan,
    Dakwah ditempuhi beronak duri,
    Sirah Rasulullah ibrah perjuangan. ❤️

    ReplyDelete