Thursday, 13 May 2021

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1442H/2021 YDP IKRAM Ampang Jaya

Aidilfitri Satu Kemenangan



Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd

Setelah sebulan melalui madrasah Ramadhan, sekali lagi Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba. Hari yang disambut umat Islam sebagai lambang kemenangan kita menjadi orang yang berjaya mengawal nafsu kejahatan dan simbol kembalinya kita kepada fitrah asal seorang manusia yang suci.

1 Syawal 1442H kali ini buat kali keduanya disambut dengan norma baru di mana kita mematuhi segala SOP yang ditetapkan PKP seperti mengerjakan solat Aidilfitri di rumah masing-masing, menziarahi keluarga dan sahabat handai secara maya untuk membendung penularan Covid-19.

Walaupun kita masih diuji dengan penularan pandemik COVID-19, ia tetap disambut dengan roh kemenangan, suasana gembira dan sederhana serta kreatif menggunakan talian maya bersama ahli keluarga tersayang. Islam menganjurkan untuk kita saling menziarahi dan menjalin silaturahim sesama manusia. Menjadi fitrah seorang manusia itu sentiasa menginginkan kehidupan bermasyarakat yang penuh rahmat. Maka, amalan ziarah-menziarahi ini walaupun secara maya menjadi asas kepada terlunasnya keinginan tersebut. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari:

‎من لا يَرحم، لا يُرحم

“Sesiapa yang tidak merahmati, dia tidak akan dirahmati”.

Sebagai seorang muslim kita yakin disebalik ujian Covid-19 yang sedang kita hadapi ini, sudah tentu ada banyak hikmahnya yang tersendiri dan kita hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah swt yang Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Firman Allah dalam Surah Ash-Syarh;

A005

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap kesukaran disertai kemudahan,

A006

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan

 

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua umat Islam yang telah melaksanakan ibadah di bulan Ramadan ini dengan sepurna dengan berpuasa, bersolat tarawih, bersedekah, bertadabbur dan bertadarrus Alquran di rumah  bersama keluarga dan secara maya.

Kita juga perlu mengambil kesempatan ini untuk sama-sama mendoakan saudara-saudara kita yang sedang berjuang dengan jiwa dan raga di Palestin. Mereka berganding bahu memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa daripada ditawan Zionis laknatullah.

Bersempena dengan ketibaan Syawal 1442 H ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri  Maaf Zahir & Batin kepada seluruh ahli Pertubuhan IKRAM Ampang Jaya. Insya Allah semoga semua amalan kita diterima Allah swt dan ketaqwaan kita meningkat dan kita menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat. Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu am wa antum bikhoir. Maaf zahir batin.

Wassalam.

Roslan Abu Mansur
YDP IKRAM Ampang Jaya

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442H

 



Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir & Batin

Semoga segala amal kita diterima Allah dan

Semoga kita berada di dalam kebaikan sepanjang tahun


daripada

IKRAM Ampang Jaya

Sunday, 9 May 2021

Program Ihya' Ramadan - Agihan Sumbangan dan Bubur Lambuk



HULU KELANG - Seramai kira-kira 40 ahli IKRAM Ampang Jaya dan Lembah Jaya melibatkan diri dalam Program Ihya' Ramadan yang telah diadakan pada 1 dan 2 Mei 2021. Program yang mendapat tajaan daripada beberapa penyumbang individu dan institusi ini dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Hulu Kelang, iaitu di Tapak Surau Baharu Kg Kemensah, Flat Keramat Pangsa Surau Madrasatul Islamiah, Surau Taman Permata dan Dewan Komuniti Flat Keramat Permai AU1B.



Seramai 400 orang penduduk menerima bubur lambuk dan air soya atau air tebu, 50 orang penduduk B40 menerima sumbangan makanan asas dan 8 peniaga tempatan juga menerima manfaat agihan sumbangan melalui program ini.





Program yang berobjektifkan membina hubungan dengan masyarakat setempat di samping sebagai persediaan menjalani ibadah di bulan Ramadan. Program ini juga bertujuan menanam fikrah saling bantu membantu serta membantu usahawan setempat.




Yang Dipertua IKRAM Ampang Jaya, Hj Roslan Abu Mansur bersama Timbalan Yang Dipertua IKRAM Ampang Jaya, Hj Muhammad Fakharuddin B Abdul Kudos dan Ketua Wanita IKRAM Ampang Jaya, Datin Wan Norsiah Wan Abdullah turut terlibat secara langsung di dalam pengagihan sumbangan ini. Program ini berjaya mengukuhkan lagi hubungan IKRAM bersama tokoh-tokoh masyarakat setempat dengan usahasama menjalankan program ini. Program ini bekerjasama dengan surau atau persatuan penduduk di empat lokasi tersebut. 




Melalui program ini, rakan usahasama iaitu AJK Surau dan Persatuan penduduk berterima kasih atas kesudian IKRAM untuk bersama-sama menjalankan program di lokasi mereka. Beberapa penerima turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat dari IKRAM.




Ramadan bukan sahaja bulan untuk setiap umat Islam beribadah khusus malah peluang untuk membantu dan berinfaq. usaha kecil IKRAM Ampang Jaya ini insyaAllah mampu mendekatkan lagi masyarakat setempat merapati dan mengenali IKRAM. Sharing is Caring.


Yang melapor,

Hj Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos, TYDP IKRAM AJ dan Pengarah Program


Link gambar:

https://www.instagram.com/p/COo7NONnA0O/

https://www.instagram.com/p/COo7Wffn8lL/