Thursday, 13 May 2021

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1442H/2021 YDP IKRAM Ampang Jaya

Aidilfitri Satu Kemenangan



Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd

Setelah sebulan melalui madrasah Ramadhan, sekali lagi Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba. Hari yang disambut umat Islam sebagai lambang kemenangan kita menjadi orang yang berjaya mengawal nafsu kejahatan dan simbol kembalinya kita kepada fitrah asal seorang manusia yang suci.

1 Syawal 1442H kali ini buat kali keduanya disambut dengan norma baru di mana kita mematuhi segala SOP yang ditetapkan PKP seperti mengerjakan solat Aidilfitri di rumah masing-masing, menziarahi keluarga dan sahabat handai secara maya untuk membendung penularan Covid-19.

Walaupun kita masih diuji dengan penularan pandemik COVID-19, ia tetap disambut dengan roh kemenangan, suasana gembira dan sederhana serta kreatif menggunakan talian maya bersama ahli keluarga tersayang. Islam menganjurkan untuk kita saling menziarahi dan menjalin silaturahim sesama manusia. Menjadi fitrah seorang manusia itu sentiasa menginginkan kehidupan bermasyarakat yang penuh rahmat. Maka, amalan ziarah-menziarahi ini walaupun secara maya menjadi asas kepada terlunasnya keinginan tersebut. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari:

‎من لا يَرحم، لا يُرحم

“Sesiapa yang tidak merahmati, dia tidak akan dirahmati”.

Sebagai seorang muslim kita yakin disebalik ujian Covid-19 yang sedang kita hadapi ini, sudah tentu ada banyak hikmahnya yang tersendiri dan kita hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah swt yang Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Firman Allah dalam Surah Ash-Syarh;

A005

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap kesukaran disertai kemudahan,

A006

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan

 

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua umat Islam yang telah melaksanakan ibadah di bulan Ramadan ini dengan sepurna dengan berpuasa, bersolat tarawih, bersedekah, bertadabbur dan bertadarrus Alquran di rumah  bersama keluarga dan secara maya.

Kita juga perlu mengambil kesempatan ini untuk sama-sama mendoakan saudara-saudara kita yang sedang berjuang dengan jiwa dan raga di Palestin. Mereka berganding bahu memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa daripada ditawan Zionis laknatullah.

Bersempena dengan ketibaan Syawal 1442 H ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri  Maaf Zahir & Batin kepada seluruh ahli Pertubuhan IKRAM Ampang Jaya. Insya Allah semoga semua amalan kita diterima Allah swt dan ketaqwaan kita meningkat dan kita menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat. Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu am wa antum bikhoir. Maaf zahir batin.

Wassalam.

Roslan Abu Mansur
YDP IKRAM Ampang Jaya

No comments:

Post a Comment