Friday, 11 November 2022

PERIHAL ORANG YANG SERING INGKAR KEPADA PERINTAH ALLAH

PERKONGSIAN ILMU DARI SURAH AL-KAHFI

Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا


Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

Al-Kahfi 18:57


      ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian  ringkas mengenai ayat diatas:


1)Allah SWT menjelaskan tidak ada seorang pun yang lebih zalim atau menganiaya dirinya sendiri daripada orang yang telah  ditunjukkan jalan kebenaran dan diberi nasihat supaya mentaati Tuhannya tetapi dia tetap tidak menghiraukannya. Bahkan dia melupakan segala kekufuran dan kemaksiatan yang telah dia kerjakan sebelum ini. Dia tidak memikirkan tentang akibatnya apabila dia tidak mahu bertaubat dari segala kemungkaran yang dilakukannya  ,seolah-olah dia yakin bahwa dia tidak akan kembali  menemui Tuhannya.


2)Apakah yang menyebabkan mereka mengabaikan amaran Allah SWT dan dia terus menerus melakukan kejahatan dan kemaksiatan?

Mereka tidak mahu mengikut ajaran Allah SWT  dan RasulNya kerana pintu  hati mereka telah tertutup rapat sehinggakan mereka tidak mahu memahami amaran-amaran yang telah diperingatkan, sehingga Allah SWT jadikan telinga mereka seperti tersumbat dan enggan mendengar amaran dan nasihat yang diberikan  kepadanya buat selama-lamanya.


3)Mereka tidak bersedia untuk menerima nasihat atau bimbingan kearah kebaikan kerana segala perbuatan buruk mereka itu telah menyebabkan timbul bintik-bintik hitam yang terus menerus mengotorkan hati mereka sehingga menjadi keras , ini ditambah pula tabiat melakukan kemungkaran secara berterusan itu menyebabkan mereka makin jauh dari Allah SWT. Sehingga akhirnya terjadilah dinding tebal  yang menghalangi  hati nurani mereka dari  menerima kebenaran . 

Ini bersesuaian dengan firmanNya yang berikut ini:


كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

Al-Mutaffifin 83:14


Allah SWT telah menyebutkan sikap mereka itu dalam surah Al-Baqarah :


خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ


(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan (mengunci) atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Al-Baqarah 2:7


4)Allah SWT sentiasa kasihkan hamba-hambaNya dan dijadikanNya al-Quran sebagai peringat bagi mereka. Ini ditegaskan oleh firmanNya yang berikut :


وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ


Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Al-Qamar 54:17


Namun begitu , orang yang berpaling daripada  ajaran Allah SWT dan RasulNya tetap tidak mahu kembali taat kepada jalan kebenaran kerana hati mereka telah rosak dan  mereka terus menderhaka kepada Tuhannya. Oleh sebab itu segala nasihat yang diberikan oleh  al-Quran  tidak lagi berguna bagi diri mereka.


Kesimpulan


Demikianlah Allah SWT menceritakan sikap hamba-hambaNya yang sentiasa melakukan berbagai perbuatan keji dan mungkar sehinggakan mereka menjadi semakin jauh dari jalan kebenaran  disebabkan pintu hati mereka telah tertutup. Walau bagaimana pun disebabkan sifat Allah Yang Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya, Dia sentiasa membuka peluang supaya hamba-hambaNya yang lalai itu kembali bertaubat dan meninggalkan segala kerja maksiat yang telah dilakukannya.


Firman Allah Ta’ala 


وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ الْمَثُلَاتُ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ الْعِقَابِ


Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir seperti mereka, dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).

Al-Ra’d 13:6


Oleh itu bersama-samalah kita bertaubat kepada Allah SWT keatas dosa-dosa yang pernah kita lakukan samada  secara disedari atau pun tidak . Moga-moga kita kembali menjadi hamba-hamba yang taat melakukan  segala yang diperintahkan dan menjauhi segala yang dilarang olehNya.

Allahu A’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid  8


Ikhlas Daripada

-Ir Mahabob Shuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment