Friday, 23 October 2020

MANUSIA DIBERIKAN TANGGUNGJAWAB BERSESUAIAN DENGAN FITRAH KEJADIAN MASING-MASING

Panduan Buat Generasi Muda Masa Kini

MANUSIA DIBERIKAN TANGGUNGJAWAB  BERSESUAIAN DENGAN FITRAH KEJADIAN MASING-MASING

Sumber gambar: Hope Standard

Firman Allah Taala:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Surah An-Nisa’ 4:32. Yang bermaksud:

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Ayat di atas telah dihuraikan dalam program My#QuranTime di TV Al-Hijrah.

 ********

Nota-nota tambahan:

1. Seorang sahabat  Nabi Saw yang bernama Ikrimah meriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat di atas adalah mengenai kaum wanita menanyakan soal jihad (berperang), “Kami beringinan supaya Allah Swt turut mewajibkan berperang buat kami, sehingga kami memperolehi bahagian pahala sepertimana diperolehi oleh kaum lelaki.”

2. Allah Swt memerintahkan setiap lelaki dan perempuan supaya bekerja sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing. (Orang lelaki sesuai dengan pekerjaan di luar rumah, manakala orang perempuan sesuai dengan pembawaan mereka yang lemah-lembut terutama dibidang pendidikan, perubatan, kejururawatan  dan profession yang bersesuaian dengan wanita.)

Ini bersesuaian dengan firmanNya yang berikut yang bermakna,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya... "

(An-Nisa’ 4:34)

3. Mereka hendaklah memohon kepada Allah Swt supaya dikurniakan pertolongan dan kekuatan untuk melakukan tugas masing-masing. Janganlah ada satu pihak menginginkan  apa yang dimiliki oleh pihak lain. Mereka janganlah merasa irihati  terhadap kebolehan pihak lain. Keadaan fizikal masing-masing adalah jauh berbeza.

(Contohnya sifat wanita amat memikat pihak lelaki. Oleh itu disyariatkan wanita mesti menutup auratnya bagi mengelakkan berlakunya fitnah dalam masyarakat.)

4. Sheikh Muhammad Abduh mengatakan, “Orang  lelaki dan perempuan mempunyai kelebihan pada usaha-usaha yang dapat dilakukan sendiri dan janganlah merindukan sesuatu yang bukan merupakan usaha dan kegiatan  mereka.”

5. Orang  lelaki dan wanita hendaklah menumpukan bidang yang diceburi oleh masing-masing sesuai dengan potensi yang dikurniakan Allah Swt.

Hasil pencapaian bagi lelaki dan wanita sangat bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh masing-masing.

6. Allah Swt mencipta lelaki dan wanita adalah  berpasangan  dan saling  lengkap-melengkapi diantara mereka  sesuai dengan firmanNya yang bermaksud,

" Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."

(Yaasiin 36:36)

(Pada lazimnya tugas suami  mencari nafkah, manakala si isteri pula bertanggungjawab menjaga rumah tangga, melahir dan menjaga anak-anak dirumah.)

7. Bersyukurlah  kepada Allah Swt akan limpah kurnia yang dianugerahkan kepada pihak lelaki dan wanita. Dialah yang mengetahui sifat semula jadi yang dimiliki oleh para hamba ciptaanNya. 

(Janganlah ada wanita yang cuba menzahirkan sifat ‘kasar’ seperti orang lelaki, manakala orang lelaki pula menzahirkan sifat ‘lemah lembut’ seperti wanita. Ini semua akan menimbulkan ‘kecelaruan identiti’ dalam masyarakat kita.)

Semoga perkongsian di atas memberi  kesedaran dan manfaat kepada kita semua terutama generasi anak-anak kita.

Wallahua’lam

Rujukan: Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 3

- MBS -

Tuesday, 29 September 2020

ANALOGI AIR DAN KEHIDUPAN

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 


Assalamu’alaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

 

Segala pujian bagi Allah SWT Tuhan sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, keluarga serta para sahabat Baginda yang tercinta.

 

Selamat Hari Sungai Sedunia!! Buat seluruh rakyat Malaysia

- 27 September 2020 -

 

Sempena hari yang istimewa ini, saya kongsikan artikel bertajuk, “Analogi Air dan Kehidupan”. Saya memilih air sebagai perumpamaan, kerana nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih baik, lebih mulia dan lebih bermakna. Air sebagai sumber semula jadi dan tidak ternilai, perlu dipelihara pada setiap fasa dan proses kitarannya. 

 

ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ , Syukur kita kehadrat Illahi, Malaysia dirahmati Allah dengan sumber air dari sungai-sungai yang diumpamakan sebagai nadi kehidupan. Air adalah anugerah yang tidak ternilai yang juga salah satu makhluk ciptaan Allah, memiliki banyak keunikan dan keistimewaannya. Di dalam Al Quran, perkataan air (iaitu  الماء ) itu sendiri telah disebut sebanyak 62 kali. Selain itu, air juga digambarkan dalam pelbagai fasa, sama ada dari segi proses kejadiannya (seperti kitaran hidrologi, pembentukan awan, hujan, mata air, sungai, laut) atau air juga digambarkan sebagai fenomena rahmat dan bencana berkaitan air dalam lebih daripada 100 ayat dalam Al Quran.

 

Air dalam al-Qur’an mempunyai makna senada dengan perspektif sains dan kejuruteraan, walaupun dalam al-Qur’an, air disebutkan sebagai perumpamaan, balasan, dan ibrah bagi orang-orang yang mengkajinya.

 

Air adalah sumber kehidupan semua mahkluk hidup, mempunyai fasa, kitaran dan manfaat serta risiko bagi kelangsungan hidup. Begitu juga dengan manusia yang dijadikan oleh Allah sebagai makhluk terbaik yang diamanahkan untuk berperanan sebagai khalifah yang memakmurkan bumi. Manusia juga mempunyai beberapa fasa kehidupan, manfaat dan risiko dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Allah dan sesama umat manusia.

 

Kitaran sumber air bermula dari titisan hujan, yang jatuh ke bumi, lalu mengalir sebagai sungai. Disamping itu, terdapat juga air yang menyerap ke bumi membentuk aliran air bawah tanah dan mata air yang bergabung mengalir ke dataran yang lebih rendah dan seterusnya keluar ke laut. Kitaran ini berterusan, apabila air disejat dan membentuk awan serta turun kembali sebagai titisan hujan. Sepanjang kitaran tersebut, terdapat pelbagai faktor dan aktiviti lain yang akan membentuk dan menentukan ciri-ciri air, sama ada dari segi fizikalnya, nilai kuantiti dan kualitinya.

 

71 peratus  daripada permukaan bumi diliputi air, manakala purata air dalam badan manusia pula adalah 50 – 78 % berbeza mengikut peringkat umur. Oleh itu, dari sudut keperluan terhadap air, tidaklah keterlaluan jika kita menyebut, “jika tiada air, maka tiadalah kehidupan”.

 

Sebagai contoh pertanyaan Allah dalam firmanNya;

 

 “Dan kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman.”


Banyak perumpamaan berkaitan air direka sebagai kiasan gambaran kehidupan dan pengajaran buat kita , contohnya,  


  • Mana sungai yang tidak berhulu – yang mengkiaskan bahawa setiap sesuatu ada permulaan dan mempunyai asal usul
  • Air yang dicencang tidak akan putus – yang merujuk kepada silaturahim dalam kekeluarga 
  • Laut mana yang tidak bergelora – yang mengajar kita bahawa semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan
  • Manakala peribahasa ‘menangguk di air keruh’ – menggambarkan dalam lumrah kehidupan, ada yang mengambil kesempatan
  • Sediakan payung sebelum hujan - yang menyarankan kita beringat-ingat sebelum ditimpa kesusahan
  • Setitik dijadikan laut, sekepal dijadikan gunung – yang menganjurkan kita berusaha secara berterusan untuk menghasilkan kejayaan
  • Fenomena banjir juga dijadikan perumpamaan seperti, ‘Sekali air bah, sekali pasir berubah’ - yang memberi contoh apabila berlaku pertukaran pemerintah, corak pemerintahan juga berubah.


Asalnya air bersifat suci lagi menyucikan. Sekiranya penggunaan air dipantau dan terpelihara, maka kekallah air sebagai sumber yang lestari. Akan tetapi, sekiranya sumber air itu tercemar dan tidak diuruskan dengan baik, maka bertukarlah air, yang asalnya sebagai sumber kehidupan menjadi sebaliknya.

 

Contohnya kesan akibat pembuangan sampah sarap dan bahan toksik, degradasi kawasan tadahan air serta pembaziran air, akan menjejas kualiti air. Tanpa pemantauan dan usaha pemuliharaan yang berkesan, maka air yang asalnya sebagai sumber kehidupan menjadi sebaliknya, iaitu menjadi agen yang membawa kepada kemudharatan dan krisis kehidupan seperti banjir, kemarau dan penyakit berasas air.

 

Oleh itu, dua pilihan yang kita ada iaitu,

  • Pilihan pertama: menjadi pengguna air yang bijak dengan memelihara kelestarian air sebagai anugerah Allah, atau
  • Pilihan ke dua: mengambil kesempatan dan membazirkan anugerah Allah ini yang akhirnya merugikan diri kita sendiri dan generasi seterusnya.  

Seumpama air, manusia dilahirkan dengan fitrah suci bersih. Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu, ia berkata:


قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ إِلاَّ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ

 

Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah.”

 

Islam mengajar permulaan kehidupan manusia bermula dengan baik melalui perkahwinan yang diikat suci dari akad yang dituntut agama. Jika air suci lagi menyucikan, sifat kita sebagai khalifah pula perlulah soleh dan musleh, iaitu berusaha memperbaiki diri menjadi baik dan turut mengislahkan orang lain menjadi baik. Namun tidak dinafikan, dalam melalui fasa-fasa kehidupan harian, kita terdedah kepada  pelbagai pengaruh baik dan buruk yang akan membentuk keperibadian diri kita.

 

Sebagaimana air tadi, yang memerlukan pengurusan yang baik, pemeliharaan dan pemuliharaan agar terus kekal sebagai sumber air yang lestari dan terkawal dari mengakibatkan sebarang bencana yang memudaratkan. Begitu juga dengan kehidupan setiap hamba Allah ini, memerlukan pengurusan diri yang baik, peliharaan dan pemulihan dari kesan-kesan negatif serta kawalan diri daripada reaksi dan tindakan yang memudharat dan merosakkan.

 

Contohnya; jika pencemaran air berlaku, usaha untuk membaikpulih selalunya memerlukan tindakan segera dan perbelanjaan yang tinggi. Jika alam bertindakbalas melalui hukum dan peraturan semulajadinya, begitu juga dengan kehidupan kita. Oleh itu, untuk mengekang kiri dari terjebak kepada perkara-perkara yang menyeronokkan tetapi memudharatkan serta melanggar syariat, ianya memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi dan istiqomah. Kerana, jika kita tersilap langkah dalam percaturan hidup, selalunya untuk kembali ke pangkal jalan, ianya melibatkan usaha, masa dan kewangan yang lebih serta perjalanan yang lebih panjang  untuk kita kembali dan membaikinya. Namun, Allah itu Maha Pengampun dan melihat kepada usaha. Setiap Langkah dan usaha kita ke arah kebaikan akan dikurniai ganjaran.

 

Dengan itu, marilah kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah yang tidak pernah putus memberi kita peluang dan ruang untuk mengaturkan kehidupan yang lebih baik, dan Allah itu sentiasa bersama kita. Semakin kita berpegang teguh dan kuat memelihara syariat-syariat Allah, semakin dekat kita rasai kehadiran Allah memelihara diri kita.

 

Akhir kalam ‘Urus penggunaan air secara lebih efisyen kerana ianya nadi kehidupan, Uruslah kehidupan kita di dunia ini dengan cara yang diredhai Allah kerana itulah matlamat kehidupan dan dunia ini hanyalah jambatan kita ke Syurga Allah’. In sha Allah.

 

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

******************

Ir Mazura Nor Zulkifli

Ketua Wanita IKRAM Ampang Jaya

Kepakaran: Hydraulics Engineering and River Basin Development


Wednesday, 2 September 2020

PAGI AHAD TAK TIDO (PATT) MERDEKA 3 GENERASI


KEPONG, Kuala Lumpur - Kira-kira seramai 60 orang dewasa dan 30 kanak-kanak telah menyertai program Pagi Ahad Tak Tido (PATT) pada 30 Ogos 2020 yang diadakan di Taman Metropolitan, Kepong.

Program Pagi Ahad Tak Tido (PATT) yang diadakan setiap bulan kali ini membawa tema Merdeka 3 Generasi sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-63. Program ini berobjektif membudayakan bangun pagi dan tidak tidur selepas subuh, serta mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga disamping mengamalkan norma baharu dalam masyarakat dikala cabaran pandemik COVID-19 yang diharungi seluruh rakyat Malaysia ketika ini.





Program yang dianjurkan oleh Unit PEKA IKRAM Ampang Jaya ini dimulakan dengan peserta hadir ke Pusat Komuniti IKRAM Ampang Jaya (PKIAJ) seawal jam 7.00 pagi secara drive-thru untuk pendaftaran dan menjalani imbas suhu bagi memastikan semua peserta sihat untuk berekreasi dan mematuhi garis panduan dan Standard Operating Procedures (SOP) COVID-19 yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Makanan dan cenderahati (goodies) seperti bendera Malaysia juga disampaikan kepada peserta semasa drive-thru tersebut. Peserta kemudian langsung bergerak ke Taman Metropolitan bagi aktiviti seterusnya.


Semua peserta bersama keluarga yang tiba di Taman Metropolitan bebas memilih tempat bersantai masing-masing dengan mematuhi SOP COVID -19. Antara aktiviti yang dijalankan semasa program adalah rekreasi bersama keluarga dan pertandingan berkongsi momen indah melalui foto beserta slogan atau kata-kata motivasi sempena sambutan Kemerdekaan. Hadiah bagi pertandingan berkongsi momen indah disampaikan di Taman Metropolitan dan telah dimenangi oleh Encik Muhammad Nazril Laharadi (tempat Pertama), Puan Nur Kauthar Fadzil (tempat Kedua) dan Tuan Hj Wan Ahmad Nizar Zakaria (tempat Ketiga). Manakala hadiah saguhati dimenangi oleh Puan Rose Ashikin Abu Bakar dan Ahmad Hudhayfa Norhisam. Hadiah istimewa bagi kategori kanak-kanak pula dimenangi oleh Wan Ulfah Fauziah Wan Ahmad Nizar.





Acara ‘free & easy’ bersama keluarga seperti berbasikal, bermain layang-layang, bermain scooter, badminton dan ‘frisbee’ adalah antara aktiviti rekreasi peserta bersama keluarga yang kelihatan berlangsung sehingga bersurai jam 10.30 pagi.

Maklumbalas peserta kebanyakannya kelihatan gembira dengan program yang ringkas, kreatif dan santai ini. Program ini memberi mesej mengenai pendekatan baharu dalam berprogram dengan mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP COVID-19. Masa lapang telah dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan 3 generasi dalam satu keluarga dan seterusnya bersama keluarga besar IKRAM Ampang Jaya.

Laporan bergambar penuh, sila layari: 

https://www.facebook.com/media/set/?vanity=ikramampangjaya&set=a.3270740839648410

Laporan disediakan oleh Noor Ashikeen bt Ab Hamid (Pengarah Program PATT Merdeka 3 Generasi)


Monday, 31 August 2020

Merdeka – Kekalkan Kemesraan, Eratkan Persaudaraan

 


Alhamdulillah, hari ini, seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-63. Setiap tahun, pada 31 Ogos kita raikan Hari Kebangsaan ini sebagai memperingati hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 daripada penjajah British.

Apabila membincangkan erti kemerdekaan, setiap individu mungkin mentafsirkannya dengan pandangan yang berbeza mengikut kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan fizikal sesebuah negara daripada cengkaman kuasa asing semata-mata. Ia juga boleh dilihat daripada sudut spiritual dan intelektual sebagai pembebasan daripada segala bentuk penjajahan pemikiran anasir-anasir fahaman songsang dan salah.

Kemerdekaan dicapai dengan penuh kesukaran dan pengorbanan oleh pejuang-pejuang nenek moyang kita serta seluruh rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. Kebebasan dan nikmat kemerdekaan ini haruslah sentiasa dijaga, dipelihara dan sentiasa dipantau agar negara dan jiwa kita tidak dijajah oleh mana-mana negara atau pemikiran dan pemahaman songsang yang  bercanggah dengan agama, budaya dan cara hidup. Pada hari ini, anasir luar ini sangat mudah menyerap masuk secara halus ke dalam kehidupan seharian melalui media-media sosial dan hiburan terutamanya. 

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, kaum dan agama. Kepelbagaian ini bukan suatu kelemahan malah ianya sesuatu yang unik yang telah menjadi kekuatan negara. Sebagai umat Islam, saya menyakini kepelbagaian ini adalah anugerah daripada Allah yang tidak diberikan kepada mana-mana negara lain di dunia ini. Kita seharusnya mengambil peluang atas kelebihan ini untuk berkenal-kenalan dan menyebarluaskan fahaman Islam kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini sebagaimana yang disarankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Hujurat (49:13), yang bermaksud : 

Wahai Umat Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan dan  telah Kami ciptakan kamu semua pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu semua saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia (di antara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kenal

Mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia Kawasan Ampang Jaya, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua ahli IKRAM khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Artikel oleh Hj Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos (TYDP, IKRAM Ampang Jaya)

Wednesday, 19 August 2020

DOA AKHIR & AWAL TAHUN HIJRAH

 



• Doa akhir tahun (1441H) dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (akhir waktu Asar atau selepas solat Asar) pada 29 Zulhijjah 1441 Hijrah bersamaan 19 Ogos 2020 Masihi (Rabu)


• Doa awal tahun (1442H) pula dibaca selepas menyempurnakan fardhu Maghrib pada 29 Zulhijjah 1441 bersamaan 19 Ogos 2020 (malam 1 Muharram 1442H)