Monday, 16 February 2015

Allah S.W.T. Sebaik-baik Perancang

MANUSIA BOLEH MERANCANG APA SAJA DIDUNIA INI, TETAPI ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PERANCANG

Firman Allah Taala:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

And they planned and Allah (also) planned, and Allah is the best of planners.
Surah Ali Imran 3/ Ayat 54.

Maksudnya:

"Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, maka Allah membalas tipu daya mereka. Dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."
---------------------

Ayat ini secara khususnya adalah ditujukan kepada kaum Bani Israel , namun ianya terpakai kepada umat manusia seluruhnya.

Kaum Yahudi diceritakan merancang untuk membunuh Nabi Isa A.S. dengan mengupah seseorang. Sebaliknya rancangan mereka telah digagalkan oleh Allah S.W.T. dengan mengangkat Nabi Isa A.S. kelangit dan baginda dijelmakan berupa seorang yang mirip seperti wajahnya. Kaum Yahudi terlalu yakin yang disalib  itu adalah Nabi Isa A.S.

Adalah jelas tipu daya Allah S.W.T. itu mengatasi semua tipu daya manusia dibumi ini.

Di dalam Quran Allah S.W.T. menceritakan kisah kaum Nabi Lut A.S. yang merancang hendak meliwat para pemuda yang tampan yang bertamu kerumah baginda. Dengan kuasa Allah S.W.T. para pemuda yang diutus itu adalah para malaikat yang diutuskan untuk memusnahkan kaum Nabi Lut A.S. termasuklah isteri baginda yang curang yang telah membocorkan rahsia kedatangan para pemuda itu.

Begitu juga dengan rancangan Firaun untuk memalukan Nabi Musa A.S. dihadapan ahli-ahli sihirnya. Allah SWT telah memberikan mukjizat besar kepada NabiNya sehingga semua ular pesihir-pesihir itu telah ditelan oleh ular yang ditampilkan Allah SWT sebaik saja Nabi Musa A.S. melemparkan tongkatnya.

Demikian  juga dengan kisah hijrah Rasulullah S.A.W. Kaum Quraisy musyrikin telah mengatur strategi yang rapi untuk membunuh baginda dirumahnya. Namun Allah S.W.T. telah menggagalkan rancangan mereka itu , dan baginda telah selamat keluar tanpa disedari untuk bertemu sahabat baginda Saidina Abu Bakar R.A.

Begitu juga dengan kisah Perjanjian Hudaibiyah yang kelihatan memberikan kelebihan kepada kaum Quraisy Makkah. Walau pun ramai sahabat menentang pada awalnya, namun dengan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W. terbukti perjanjian itu lebih menguntungkan dipihak golongan muslimin.

Dalam sejarah terdekat ini kita telah membaca bagaimana pemimpin zalim di Mesir telah memenjara dan akhirnya membunuh Asy Syahid Sayyid Qutb dalam tahun 1965. Akibatnya dalam tahun 1967 mereka telah mendapat malu yang besar apabila  tentera Mesir  yang kononnya dianggap terkuat di Timur Tengah telah ditewaskan dengan mudah oleh regim Israel dalam perang hanya selama beberapa hari saja. Banyak jajahan Masir ditawan Israel termasuk  Semenanjung Sinai.

Demikianlah diantara lakaran sejarah yang berlaku yang dapat kita amati. Musuh-musuh Islam telah mengatur berbagai tipu muslihat , namun rancangan mereka itu digagalkan Allah S.W.T. Namun begitu ramai manusia pada hari ini tidak mengambil pengajaran dari ketentuan2 Allah S.W.T. itu.

Mereka yang  berkuasa dan zalim akan mengatur berbagai rancangan untuk menipu dan menindas golongan yang lemah. Segala sumber kekuatan  negara digunakan bagi melaksanakan rancangan jahat mereka. Walau bagaimana pun mereka lupa yang Allah S.W.T. mendengar rintihan pihak yang tertindas itu dan pasti akan mengaturkan satu rancangan untuk menggagalkan rancangan mereka, ataupun Allah S.W.T. akan mendatang suatu balasan yang setimpal keatas kejahatan yang dilakukan oleh mereka yang zalim itu.

Inilah sunnatullah bahawa setiap kezaliman itu pasti dibalas oleh Allah S.W.T. sama ada didunia ini atau diakhirat kelak.

Biasanya mereka yang zalim itu terlupa bahwa doa dari mereka yang dizalimi itu tidak ada hijab diantara mereka dengan Allah S.W.T. Pertolongan daripada Allah S.W.T. pasti akan datang bagi membantu kaum yang dizalimi itu.

Mereka yang ingin melakukan penipuan didunia ini biasanya lupa yang ilmu mereka adalah terhad berbanding dengan ilmu Allah S.W.T. Itulah sebabnya kita sering mendapati penipuan mereka dalam apa bentuk sekalipun tidak dapat disorokkan dan akhirnya mereka tertewas dan penipuan itu akan terbongkar. Mereka lupa yang penipuan mereka itu diperhatikan Allah Swt Yang Maha Berkuasa lagi Mengetahui segalanya.

Wallahua'lam

Rujukan:
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 2


Disediakan oleh;
Mahbub
Setiawangsa UtamaKL

No comments:

Post a Comment