Thursday, 12 February 2015

Kisah Nabi Musa, Firaun dan Ahli Sihir

Secebis Kisah Dari Al-Quranul-Karim


Firman Allah SWT

قَالَ آمَنتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبْقَىٰ


Surah Thaahaa 20/ Ayat 71.

Maksudnya:
"Berkata Firaun: "Apakah kamu telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepada kamu sekalian? Sesungguhnya ia adalah pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepada mu sekalian. Maka sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu sekalian dengan bersilang secara bertimbal balik, sesungguhnya aku akan menyalib kalian pada pangkal pohon kurma dan sesungguhnya kamu akan ketahui siapa diantara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksanya."
----------------------------

Ayat diatas diteruskan lagi dengan pesihir2 yang telah beriman itu menjawab:

"Mereka berkata: "Kami sekali2 tidak mengutamakan kamu dari bukti-bukti yang nyata ( mukjizat) yang telah datang kepada kami dan daripada Tuhan yang telah menciptakan kami; maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya dapat memutuskan  pada kehidupan dunia  ini sahaja." (Ayat 72).

Dua ayat diatas memberikan pengajaran berikut, diantaranya:

1) Firaun yang mengaku dia yang amat berkuasa sangat terperanjat melihat pesihir-pesihirnya tersungkur sujud setelah melihat mukjizat yang dipersembahkan oleh Nabi Musa a.s.

2) Firaun jadi marah kerana sebelum ini tiada rakyatnya yang berani berpihak kepada Nabi Musa dan Harun a.s. (Beliau belum pernah tercabar sebelum Allah mengutuskan Nabi Musa dan Harun menghadapi beliau)

3) Firaun memilih memotong kaki dan tangan pesihir-pesihir itu secara bersilang itu dengan harapan dapat membinasakan hidup mereka didunia kerana kaki dan tangan sangat besar fungsinya. Ibnu Abbas r.a. berkata, Firaunlah orang pertama dalam sejarah yang menghukum manusia cara begini.

4) Hukuman menyalib dipohon kurma itu adalah untuk menambah lagi penderitaan mereka dan memalukan lagi dikhalayak ramai. Strategi Firaun ialah menyiksa musuhnya secara siksaan fizikal dan memalukan mereka.

5) Firaun ingin menunjukkan kepada Nabi Musa dan Harun siksaan nya adalah sangat kejam dan paling mendera sekali. Majoriti rakyatnya tak tergambar bentuk siksaan sebegini.

6) Pesihir-pesihir yang telah beriman memilih tidak berganjak dengan iman mereka setelah yakin dengan kebesaran mukjizat yang dibawa oleh Nabi Musa itu. Yang mereka lihat itu adalah jauh mengatasi ilmu-ilmu sihir mereka.

7) Demi kekuatan iman yang ada pada mereka, pesihir-pesihir sanggup berkata : "Putuskanlah apa yang engkau mahu, sesungguhnya engkau hanya dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini saja."

Pesihir-pesihir itu yakin bahawa kuasa yang ada pada manusia ini hanyalah kecil dan berbentuk sementara saja. Sesungguhnya kuasa Tuhan Rabb adalah mengatasi segala kehebatan manusia didunia ini.

Ayat-ayat diatas mesti dijadikan iktibar dan pengajaran mengenai ketabahan dan kekuatan iman mereka yang tertindas yang sangat yakin bahawa kekuatan Tuhan mengatasi kehebatan seorang  pemerintah. Buktinya mereka berani melontarkan kata-kata bahawa pemerintah itu hanya dapat kuasai mereka semasa didunia ini saja, sedang dunia ini bumi yang fana' dan mereka hanya menghendaki negeri yang abadi.

Itulah sebenarnya hakikat yang berlaku didunia sekarang ini, pihak yang berkuasa akan terus menindas mereka yang cuba menentang perintah mereka semasa didunia ini. Berbagai hukuman dikenakan bagi memastikan kuasa mereka berkekalan.

Begitulah hakikatnya, kisah yang terjadi dalam Al-Quran itu akan terus berulang-ulang dari zaman ke zaman. Pihak yang berkuasa akan terus menindas siapa sahaja yang berani menentang perintahnya.

Bagi mereka kuasa itu adalah lesen untuk melaksanakan berbagai bentuk kezaliman didunia ini.

Mereka lupa bahwa Firaun yang gagah perkasa itu juga akan menerima balasan azab dari Allah SWT jua akhirnya.

Wallahua'lam.

Rujukan:
Tafsir Mustaffa Al- Maraghiy - Jilid 8.
Sahih Tafsir Ibnu Katsir -Jilid 8


Disediakan oleh;
Mahbub
Setiawangsa UtamaKL

No comments:

Post a Comment