Friday, 1 July 2016

[Tazkirah] Mencari Jalan Pulang - Memilih Teman di Syurga

MENCARI JALAN PULANG - MEMILIH TEMAN DI SYURGA

Firman Allah Taala

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا

An-Nisa' 4: 69

Yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, maka mereka akan (ditempatkan disyurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang
siddiqin, dan orang yang syahid, serta orang yang solih. Dan amat eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat)."

Ayat yang berikutnya:

ذَٰلِكَ الْفَضْلُ مِنَ اللَّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ عَلِيمًا

Yang bermaksud :

"Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya)."
--------------------


As-Siddiqin الصد يقين : Orang yang amat teguh percayanya kepada kebenaran. Atau orang yang benar dalam perkataan dan keyakinannya.

As-Shuhada'الشهداء
Orang yang bersaksikan kebenaran agama, kadang-kadang dengan hujjah agama, atau yang paling hebat dengan pedang dan senjata.

As-Solihin الصلحين
Orang yang mempunyai jiwa dan amalan yang baik (solih) , sementara jumlah perbuatan baiknya jauh melebihi perbuatan buruknya.

Setiap orang yang taat kepada Allah Swt dan rasulNya dengan melaksanakan semua perintahNya dan meninggalkan laranganNya, maka Allah janjikan dihari Kiamat nanti akan mempunyai teman dari keluarga orang yang paling dekat kepada Allah Swt dan paling tinggi lagi mulia martabatnya.

Terdapat empat (4) jenis orang yang disebutkan oleh ayat diatas. Mereka ialah para hamba Allah yang terpilih bahkan memang ada pada setiap umat. Sesiapa dikalangan umat yang taat kepada Allah dan rasulNya pada masa itu, mereka termasuk kedalam golongan yang empat itu; dan pada hari Kiamat mereka akan dikumpulkan bersama-sama.

Para nabi, siddiqin, shuhada' dan solihin akan menjadi teman-teman dirinya kerana mereka itu sangat mencintainya dan amat senang sekali melihatnya.

Menurut Aisyah R.ha , ayat ini diturunkan kerana ada diantara sahabat Rasulullah Saw yang meluahkan perasaan rindunya yang tak terhingga untuk menatap wajah Rasulullah Saw. Sahabat berkenaan meluahkan kerisauannya takut tidak dapat bertemu dengan baginda di Akhirat kelak.

Allah Swt turunkan ayat ini sebagai motivasi kepada para sahabah yang ingin bersama hamba-hamba Allah yang empat golongan itu , dengan syarat mereka mestilah sentiasa taat kepada Allah Swt dan baginda Rasulullah Saw.

Dengan kata lain mereka yang ingin memasuki syurga Allah Swt mestilah memenuhi syarat paling utama iaitu taat kepada Allah Swt dan Rasulullah Swt dalam segenap aspek hidup mereka.

Perkataan taat dan takwa kepada Allah Swt bukanlah sesuatu yang mudah disebutkan dengan lidah manusia yang mengaku dirinya beriman tanpa ianya benar-benar
diterjemahkan dalam ucapan dan perlakuan hidup seharian.

Arahan supaya taati Allah dan Nabi Saw tercantum dalam suatu firman Allah yang berbunyi:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Ali-Imran 3:31

Yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) : "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, niscaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Sebagai persediaan untuk melayakkan diri kita bersama-sama dengan empat golongan ini, hidup kita mestilah dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seharian yang sejajar dengan amalan para nabi, siddiqin, syuhada' dan solihin.
Para nabi dan orang-orang bertakwa lainnya bukanlah makhluk yang super-natural
bahkan mereka bekerja, berumah-tangga, bermasyarakat seperti manusia biasa. Yang menjadikan mereka mulia disisi Allah Swt adalah derajat ketaatan mereka yang tinggi.

Mereka itu meletakkan kepentingan taat kepada Allah dan rasulNya melebihi
daripada kepentingan diri sendiri , keluarga , dan manusia lainnya.

Inilah kriteria yang dimiliki oleh sebahagian besar para sahabah baginda Nabi Saw dan juga para tabi'in selepas itu.

Akhirnya , hendaknya kita muhasabah diri kita sendiri dibulan yang mulia ini, apakah diri-diri kita ini mempunyai kelayakan untuk dimasukkan kedalam salah satu daripada empat kumpulan yang disebutkan diatas?

Amatlah rugi kalau baki usia yang terbatas ini kita habiskan dengan aktiviti-aktiviti hidup yang kurang berfaedah dan tidak mendapat ganjaran pahala dan keredhaan Allah Swt .

Insaflah ketika didunia lagi, dan janganlah kita menyesal diYaumil Mahsyar nanti , merayu kepada Allah untuk minta balik kedunia (walaupun seketika ) untuk meneruskan amal-amal solih yang telah kita lalaikan
sedangkan banyak peluang diberikan Tuhan semasa hidup didunia.

Wallahua'lam

Rujukan:
Tafsir Sheikh Mustaffa Al-Maraghiy -Jilid 3

Oleh
Abu Harith
IKRAM AJ

25 Ramadan 1437H

No comments:

Post a Comment