بسم الله الرحمن
الرحيم
Assalamu’alaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
Segala pujian bagi Allah SWT Tuhan sekelian
alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, keluarga serta
para sahabat Baginda yang tercinta.
Selamat Hari Sungai Sedunia!! Buat seluruh rakyat Malaysia
- 27 September 2020 -
Sempena hari yang istimewa ini, saya kongsikan artikel
bertajuk, “Analogi Air dan Kehidupan”. Saya memilih air sebagai
perumpamaan, kerana nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih baik,
lebih mulia dan lebih bermakna. Air sebagai sumber semula jadi dan tidak
ternilai, perlu dipelihara pada setiap fasa dan proses kitarannya.
ٱلْحَمْدُ
لِلَّٰهِ , Syukur kita kehadrat Illahi, Malaysia dirahmati
Allah dengan sumber air dari sungai-sungai yang diumpamakan sebagai nadi
kehidupan. Air adalah anugerah yang tidak ternilai yang juga salah satu makhluk
ciptaan Allah, memiliki banyak keunikan dan keistimewaannya. Di dalam Al Quran,
perkataan air (iaitu الماء ) itu sendiri
telah disebut sebanyak 62 kali. Selain itu, air juga digambarkan dalam pelbagai
fasa, sama ada dari segi proses kejadiannya (seperti kitaran hidrologi,
pembentukan awan, hujan, mata air, sungai, laut) atau air juga digambarkan
sebagai fenomena rahmat dan bencana berkaitan air dalam lebih daripada 100 ayat
dalam Al Quran.
Air dalam al-Qur’an mempunyai makna senada dengan
perspektif sains dan kejuruteraan, walaupun dalam al-Qur’an, air disebutkan
sebagai perumpamaan, balasan, dan ibrah bagi orang-orang yang mengkajinya.
Air adalah sumber kehidupan semua mahkluk hidup, mempunyai
fasa, kitaran dan manfaat serta risiko bagi kelangsungan hidup. Begitu juga
dengan manusia yang dijadikan oleh Allah sebagai makhluk terbaik yang
diamanahkan untuk berperanan sebagai khalifah yang memakmurkan bumi. Manusia
juga mempunyai beberapa fasa kehidupan, manfaat dan risiko dalam menjalani
kehidupan sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Allah dan sesama umat
manusia.
Kitaran sumber air bermula dari titisan hujan, yang jatuh
ke bumi, lalu mengalir sebagai sungai. Disamping itu, terdapat juga air yang
menyerap ke bumi membentuk aliran air bawah tanah dan mata air yang bergabung mengalir
ke dataran yang lebih rendah dan seterusnya keluar ke laut. Kitaran ini
berterusan, apabila air disejat dan membentuk awan serta turun kembali sebagai
titisan hujan. Sepanjang kitaran tersebut, terdapat pelbagai faktor dan
aktiviti lain yang akan membentuk dan menentukan ciri-ciri air, sama ada dari
segi fizikalnya, nilai kuantiti dan kualitinya.
71 peratus
daripada permukaan bumi diliputi air, manakala purata air dalam badan
manusia pula adalah 50 – 78 % berbeza mengikut peringkat umur. Oleh itu, dari
sudut keperluan terhadap air, tidaklah keterlaluan jika kita menyebut,
“jika tiada air, maka tiadalah kehidupan”.
Sebagai contoh pertanyaan Allah dalam firmanNya;
“Dan kami jadikan dari air, tiap-tiap benda
yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman.”
Banyak perumpamaan berkaitan air direka sebagai kiasan gambaran
kehidupan dan pengajaran buat kita , contohnya,
- Mana sungai yang tidak berhulu – yang
mengkiaskan bahawa setiap sesuatu ada permulaan dan mempunyai asal usul
- Air yang dicencang tidak akan putus – yang
merujuk kepada silaturahim dalam kekeluarga
- Laut mana yang tidak bergelora – yang mengajar
kita bahawa semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan
- Manakala peribahasa ‘menangguk di air keruh’ –
menggambarkan dalam lumrah kehidupan, ada yang mengambil kesempatan
- Sediakan payung sebelum hujan - yang menyarankan
kita beringat-ingat sebelum ditimpa kesusahan
- Setitik dijadikan laut, sekepal dijadikan gunung
– yang menganjurkan kita berusaha secara berterusan untuk menghasilkan kejayaan
- Fenomena banjir juga dijadikan perumpamaan
seperti, ‘Sekali air bah, sekali pasir berubah’ - yang memberi contoh apabila berlaku
pertukaran pemerintah, corak pemerintahan juga berubah.
Asalnya air bersifat suci lagi menyucikan. Sekiranya
penggunaan air dipantau dan terpelihara, maka kekallah air sebagai sumber yang
lestari. Akan tetapi, sekiranya sumber air itu tercemar dan tidak diuruskan
dengan baik, maka bertukarlah air, yang asalnya sebagai sumber kehidupan
menjadi sebaliknya.
Contohnya kesan akibat pembuangan sampah sarap dan bahan
toksik, degradasi kawasan tadahan air serta pembaziran air, akan menjejas
kualiti air. Tanpa pemantauan dan usaha pemuliharaan yang berkesan, maka air yang
asalnya sebagai sumber kehidupan menjadi sebaliknya, iaitu menjadi agen yang
membawa kepada kemudharatan dan krisis kehidupan seperti banjir, kemarau dan
penyakit berasas air.
Oleh itu, dua pilihan yang kita ada iaitu,
- Pilihan
pertama: menjadi pengguna air yang bijak dengan memelihara kelestarian air
sebagai anugerah Allah, atau
- Pilihan
ke dua: mengambil kesempatan dan membazirkan anugerah Allah ini yang akhirnya
merugikan diri kita sendiri dan generasi seterusnya.
Seumpama air, manusia dilahirkan dengan fitrah suci
bersih. Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu, ia berkata:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : مَا مِنْ
مَوْلُوْدٍ إِلاَّ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ
Rasulullah
Shallallahu alaihi wassalam bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan
fitrah.”
Islam mengajar permulaan kehidupan manusia bermula dengan
baik melalui perkahwinan yang diikat suci dari akad yang dituntut agama. Jika
air suci lagi menyucikan, sifat kita sebagai khalifah pula perlulah soleh dan musleh,
iaitu berusaha memperbaiki diri menjadi baik dan turut mengislahkan orang lain
menjadi baik. Namun tidak dinafikan, dalam melalui fasa-fasa kehidupan harian,
kita terdedah kepada pelbagai pengaruh
baik dan buruk yang akan membentuk keperibadian diri kita.
Sebagaimana air tadi, yang memerlukan pengurusan yang
baik, pemeliharaan dan pemuliharaan agar terus kekal sebagai sumber air yang
lestari dan terkawal dari mengakibatkan sebarang bencana yang memudaratkan. Begitu
juga dengan kehidupan setiap hamba Allah ini, memerlukan pengurusan diri yang
baik, peliharaan dan pemulihan dari kesan-kesan negatif serta kawalan diri
daripada reaksi dan tindakan yang memudharat dan merosakkan.
Contohnya; jika pencemaran air berlaku, usaha untuk
membaikpulih selalunya memerlukan tindakan segera dan perbelanjaan yang tinggi.
Jika alam bertindakbalas melalui hukum dan peraturan semulajadinya, begitu juga
dengan kehidupan kita. Oleh itu, untuk mengekang kiri dari terjebak kepada perkara-perkara
yang menyeronokkan tetapi memudharatkan serta melanggar syariat, ianya memerlukan
pengorbanan yang sangat tinggi dan istiqomah. Kerana, jika kita tersilap
langkah dalam percaturan hidup, selalunya untuk kembali ke pangkal jalan, ianya
melibatkan usaha, masa dan kewangan yang lebih serta perjalanan yang lebih panjang
untuk kita kembali dan membaikinya. Namun,
Allah itu Maha Pengampun dan melihat kepada usaha. Setiap Langkah dan usaha
kita ke arah kebaikan akan dikurniai ganjaran.
Dengan itu, marilah kita sentiasa berbaik sangka dengan
Allah yang tidak pernah putus memberi kita peluang dan ruang untuk mengaturkan
kehidupan yang lebih baik, dan Allah itu sentiasa bersama kita. Semakin kita
berpegang teguh dan kuat memelihara syariat-syariat Allah, semakin dekat kita
rasai kehadiran Allah memelihara diri kita.
Akhir kalam ‘Urus penggunaan air secara lebih efisyen
kerana ianya nadi kehidupan, Uruslah kehidupan kita di dunia ini dengan cara yang
diredhai Allah kerana itulah matlamat kehidupan dan dunia ini hanyalah jambatan
kita ke Syurga Allah’. In sha Allah.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
******************
Ir Mazura
Nor Zulkifli
Ketua
Wanita IKRAM Ampang Jaya
Kepakaran:
Hydraulics Engineering and River Basin Development