Saturday, 4 September 2021

KEPIMPINAN : Mencipta Sinergi antara Pemimpin dan yang Dipimpin

 


Saidina Umar r.a pernah berkata: Sesungguhnya tidak ada Islam kecuali dengan berjama’ah, dan tidak ada jama’ah kecuali dengan adanya kepemimpinan, dan tidak ada (gunanya) kepemimpinan kecuali dengan ketaatan.

Kepimpinan yang mantap adalah asas kepada kejayaan sebuah perjuangan. Walaubagaimanapun kunci kepada kepimpinan yang berjaya adalah pendokong perjuangan yang memberikan ketaatan sepenuhnya pada pemimpin.

Dalam Islam, jawatan kepimpinan adalah satu amanah dan bukannya keistimewaan. Qudwah pemimpin yang terbaik adalah Muhammad Rasulullah s.a.w sendiri, diikuti dengan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Penganalisa dan penulis konsep kepemimpinan banyak menyebutkan kualiti Rasulullah s.a.w yang unik sebagai pemimpin.

Dalam konteks kualiti pemimpin yang sentiasa dihormati dan disayangi oleh pengikut, Rasulullah s.a.w memilik sifat ‘servant-leadership’ iaitu memimpin dengan tauladan, beliau turun ke padang merasai kepayahan dan kepenatan perjuangan yang dilalui orang bawahannya. Pada masa yang sama beliau mampu memberikan inspirasi dan motivasi pada pengikutnya, menunjukkan mereka konsep, halatuju dan makna perjuangan dengan jelas.

Beliau juga mengamalkan konsep syura yang meluas dalam mengambil keputusan yang melibatkan strategi untuk menang (contoh beliau mengambil pendapat sahabat yang menganjurkan untuk keluar dari Madinah dalam peperangan Uhud). Sifat-sifat seperti ini menjadikan pengikut lebih senang untuk memberikan ketaatan sepenuhnya.

Jika ada yang memahami kepatuhan pada pemimpin adalah kerana hebatnya peribadi pemimpin itu semata-mata, Rasulullah telah mengajarkan konsep ketaatan pada pemimpin berdasarkan ‘dengar dan taat selagi tidak disuruh kepada maksiat’. Sabdanya: “Aku wasiatkan kalian agar bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun ia seorang hamba sahaya habasyah”. (HR Tarmizi)

Biarpun Islam mensyaratkan ketaatan yang mutlak di atas, seorang pemimpin semestinya memiliki kepemimpinan yang kompeten, berintegriti, penyayang dan adil – di samping kualiti asas kepimpinan seperti visi yang jelas, sifat berani dan tegas dalam membuat keputusan. Ia bermula dengan pemilihan pemimpin itu yang berdasarkan quwwah (kualiti kepimpinan) dan amanah. Seterusnya pemimpin yang dapat memahami dan prihatin terhadap pengikutnya. Nabi berpesan: “Siapa yang mengemban tugas mengurusi umatku kemudian dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia. Siapa yang mengemban tugas mengurusi umatku dan memudahkan mereka, maka mudahkanlah dia.” (HR Muslim)

Seorang pemimpin juga pastilah sentiasa peka dan insaf dengan amanah memimpin, kerana ia adalah satu tanggungjawab yang akan dihisab. “Tidaklah seseorang diamanahi memimpin suatu kaum kemudian ia meninggal dalam keadaan curang terhadap rakyatnya, maka diharamkan baginya surga” (HR Bukhari-Muslim)

Pemimpin yang hebat tidak mungkin berjaya tanpa ujudnya pengikut yang berkualiti. Ketaatan kepada pemimpin bukannya atas dasar ‘pak turut’ yang semata mahu memuaskan hati ketuanya. Sebaliknya pengikut yang bersifat proaktif, berani memberi pendapat dan kritikan, bersedia menyumbang tenaga demi melonjakkan organisasi atau jamaah tetapi pada masa yang sama bersikap ‘sami’na wa ato’na’ (dengar dan taat selagi tidak disuruh pada maksiat).

Sebuah organisasi, institusi maupun kepimpinan negara – jika diibaratkan seperti pasukan bola – di mana setiap orang adalah ‘players’ atau pemain, yang bertanggungjawab terhadap kemenangan atau kekalahan pasukkanya. Tiada seorang pemain yang ‘redundat’ tidak mempunyai apa-apa peranan, sebaliknya setiap orang berada pada satu kedudukan strategik dan tidak boleh membiarkan kedudukannya menjadi punca kelemahan yang membawa kekalahan pada pasukannya.

Biarpun ia telah berlalu ribuan tahun lamanya, namun contoh ‘the best army’ yang dipaparkan dalam Al-Quran amat menyentuh jiwa kita. Inilah kerajaan Sulaiman, yang juga kerajaan yang diakui paling kuat dan unik – lebih-lebih lagi kerana ia menggabungkan antara manusia, binatang, jin, angin dan lautan. Kepimpinan yang bijak dan quwwah ini berjaya menyatukan makhluk yang mempunyai kerenah berbagai untuk menghasilkan kekuatan yang dapat menakluk seluruh dunia untuk menaikkan syiar Allah. Bagaimana Sulaiman memenangi Balkis, bermula dengan adegan seekor burung hud-hud, mengintai peluang untuk membawa Balkis dan pengikutnya kepada Islam. Ia juga menyaksikan kombinasi jin dan manusia yang berilmu tinggi untuk menawan takhta Balkis dalam masa beberapa detik sahaja. Malahan kehebatan Sulaiman diakui oleh Balkis bila ia menjejakkan kaki ke istana Sulaiman yang dibuat dari kaca berkualiti tinggi. Di sebalik kehebatan ini, fokus Sulaiman dan tenteranya sangat jelas, untuk memenangkan Ad-Din Allah dan membawa manusia pada menyembahNya.



Begitulah, sinkroni antara pemimpin dan pendokong menghasilkan satu kebangkitan atau kemenangan untuk membawa risalahNya ke tahap yang tinggi.

Begitulah kombinasi pemimpin yang hebat dan pendokong yang berkualiti akan menghasilkan sinkroni resepi kejayaan perjuangan. Sebaliknya pengikut yang lemah atau tidak berkualiti akan hanya menjadi beban dan punca perpecahan. Saidina Ali pernah ditanya mengapa di zaman pemerintahannya berlaku kekacauan dan pemberontakan yang tak henti-henti sedangkan di zaman Rasulullah dan Khalifah yang lain keadaan amat terkawal. Beliau lalu menjawab: Kerana, pada zaman nabi dan Khalifah yang awal, mereka punya pengikut orang-orang seperti aku, zaman aku ini pengikut adalah orang macam kamu iaitu degil, kurang kualiti dan sebagainya. Ini bermaksud kepemimpinan yang berjaya bergantung kepada dokongan dari pengikut yang berkualiti.


Wallahua'lam.


Disediakan oleh:

Datin Wan Norsiah Wan Abdullah

Ketua Wanita IKRAM Kawasan Ampang Jaya (Sesi 2021~22)


No comments:

Post a Comment