Sunday, 31 March 2019

BERISTIQAMAH (TETAP TEGUH) DI JALAN ISLAM HINGGA KE AKHIR HAYAT


Suatu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, at-Tirmizi dan an-Nasaie, daripada al-‘Irbadh bin Sariyah, Nabi Saw bersabda yang bermaksud:

Allah membuat perbandingan dengan sebatang jalan yang lurus. Di kiri-kanannya terdapat dua tembok dan kedua-duanya mempunyai pintu-pintu yang terbuka. Pada semua pintu itu terdapat tirai yang dilabuhkan.

Dipermulaan jalan yang lurus itu ada penyeru yang berkata: “Wahai manusia, masuklah kejalan yang lurus secara keseluruhan dan janganlah kamu menyimpang.” Ada pula seorang penyeru yang menyeru dari pertengahan jalan yang lurus itu.

Apabila ada manusia yang ingin membuka salah satu pintu tersebut, penyeru itu membentak: “Celaka kamu! Jangan kamu buka pintu tersebut. Jika kamu membuka, pasti kamu akan masuk kedalamnya.” Jalan lurus tersebut adalah Islam. Dua tembok itu ada had batasan Allah. Pintu-pintu yang terbuka itu adalah segala perkara yang diharamkan oleh Allah. Penyeru dipangkal jalan adalah al-Quran, dan penyeru diatas jalan adalah pemberi peringatan yang dijadikan oleh Allah dalam hati setiap Muslim. 

Imam at-Tirmizi menambah, Allah Taala berfirman  dalam surah Yunus 10:25

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Yang bermaksud :
(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). 

Dalam perumpamaan yang dibuat oleh Nabi Saw diatas, difahami bahawa Islam adalah jalan yang lurus yang Allah perintahkan manusia beristiqamah diatasnya.

Dia turut melarang daripada melanggar segala jalan yang ditetapkan itu. Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang haram, dia telah melampaui batas hukum Allah Swt.

Perkara yang dilarang keras adalah mensyirikkan Allah, melakukan maksiat dan kemungkaran serta berlaku zalim sesama manusia.

Ingatlah firman Allah yang berikut ini

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Surah Fussilat 41:30

Yang bermaksud :
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Semoga kita sentiasa berada dijalan yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya supaya kita sentiasa selamat didunia dan di akhirat.

Wallahua’lam

Rujukan:
Himpunan Ilmu dan Hikmah oleh Ibnu Rajab Al-Hambali - Jilid 1


MBS

No comments:

Post a Comment