Friday, 8 March 2019

Nasib Yang Berbeza Ke Atas Orang Yang Kufur & Orang Yang Beriman

NASIB YANG BERBEZA KE ATAS ORANG YANG KUFUR DAN ORANG YANG BERIMAN
—————————————-

Firman Allah Taala

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

An-Nisa’ 4:56

Yang bermaksud

*Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. *

Ayat yang berikutnya

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا لَّهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَنُدْخِلُهُمْ ظِلًّا ظَلِيلًا

An-Nisa’ 4:57

Yang bermaksud

*Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi. *

*********

Allah SWT menerangkan bahawa Dia menyediakan azab yang sangat pedih bagi sesiapa yang kufur iaitu yang mengingkari ayat-ayat yang difirmankan Allah melalui para NabiNya.

Setiap kali kulit manusia yang disiksa itu hangus terbakar, Allah akan menggantikan dengan kulit yang baru pula.

Mengikut penemuan sains perubatan moden, bahagian tubuh manusia yang paling merasa sakit adalah dibahagian kulit, sedangkan lapisan tubuh yang lainnya adalah kurang dari itu sakitnya.

Allah SWT menceritakan bahawa setiap kali api neraka telah membakar seluruh lapisan kulit, maka Dia akan menggantikan dengan kulit yang lain dan disiksa keatas manusia itu terus menerus.

Sesungguhnya ayat ini telah diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. lebih awal lagi sebelum ahli perubatan moden menemukan kesan kesakitan yang paling tinggi sekali adalah pada kulit manusia. Secara kebetulan pula, kulit mempunyai kawasan permukaan yang paling luas pada anggota manusia.

Setelah diberitahu oleh Allah SWT tentang azab yang diterima itu adalah suatu azab yang berterusan, adalah amat malang kepada sesiapa yang boleh berfikir dengan akalnya terus kufur kepada perintah Allah dan RasulNya didunia ini.

Ingatlah bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa dan tiada siapa yang dapat menghalang perlaksanaan janji-janjiNya.

Bagi sesiapa yang beriman dan patuh kepada ajaran Allah dan RasulNya, mereka akan dimasukkan ke dalam SyurgaNya dan menikmati balasan yang setimpal dengan amalan soleh yang telah mereka lakukan didunia ini.

Mereka itu disediakan pasangan yang sempurna dari sebarang cacat jasmaniah dan akhlak. Mereka akan ditempatkan ditaman yang mulia diSyurga Allah yang penuh dengan kesejahteraan, yang mana manusia itu sendiri tidak mampu membayangkannya didunia ini.

Demikianlah perbezaan nasib yang bakal diterima di Akhirat kelak oleh orang yang kufur berbanding dengan orang sentiasa patuh dan taat kepada setiap ajaran Allah dan RasulNya.

Semoga kita mendapat manfaat dan pengajaran dari dua ayat Al-Quran yang disebutkan diatas.

Wallahua’lam

Rujukan

Tafsir Sh Mustaffa Al-Maraghiy - Jilid 3

MBS

No comments:

Post a Comment