Sunday, 3 March 2019

Keyakinan Kita Terhadap Nabi Isa AS



Sumber gambar : Wikipedia


Kita umat Islam mestilah menyedari bahawa agama Kristian hari ini telah meletakkan kedudukan baginda Isa As disuatu martabat yang lebih tinggi dari tahap seorang Pesuruh Allah (Messenger) . Hari ini Nabi Isa diberikan kedudukan sebagai Anak Tuhan oleh para penganut Kristian atau pihak gereja.

Firman Allah Taala dalam surah An-Nisa’ 4:171 , yang bermaksud:

*Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (atau TRINITI)". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu.Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).*

Sebagai umat Islam kita dituntut beriman terhadap kerasulan Nabi Isa As sama seperti rasul-rasul yang lain. Bahkan Nabi Isa adalah salah seorang rasul Ulul Azmi yang banyak menerima ujian didalam kerja dakwah baginda.

Kita berkeyakinan Nabi Isa dikurniakan banyak kelebihannya(mukjizat) sebagai kemuliaan baginda :-

1) Dilahirkan tanpa berbapa, berbeza dengan manusia biasa
2) Berkata-kata semasa kecilnya dalam pangkuan Maryam ibunya, wanita yang suci
3) Dapat menyembuhkan orang berpenyakit kusta
4) Dapat mencelikkan orang yang buta
5) Dapat menghidupkan orang yang mati
6) Dikurniakan kitab Injil
7) Digelar Al-Masih

Kehebatan (mukjizat) yang berlaku semuanya diatas izin Allah SWT.

Perkara diatas dijelaskan dalam Kitab Al-Quran sendiri.

Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran 3:45-51 yang bermaksud:

(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).

"Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."

Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."

Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".

Semua fakta ini tidak diketahui sendiri oleh baginda Rasulullah S.A.W. melainkan melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail AS kepadanya.

Semoga paparan diatas memberikan ilmu tambahan kepada kita semua.

Wallahua’lam


Rujukan
Buku Kristian Apa Umat Islam Perlu Ketahui - Oleh Nicholes Sylvester & Abdullah Din


MBS

No comments:

Post a Comment