PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran 3:26
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut ini adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:
1)Serba ringkas mengenai sebab ayat ini diturunkan:
Al-Wahidiy meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA dan Anas bin Malik RA bahawa sewaktu Rasulullah SAW menakluk kota Makkah pada tahun ke8 Hijrah , baginda menjanjikan bahawa suatu hari nanti kerajaan Parsi dan Rom akan umat Islam kuasai. Mendengarkan janji baginda itu, puak munafik mengatakan perkara itu adalah mustahil dicapai kerana mereka beranggapan kedua kuasa besar itu adalah terlalu kuat buat umat Islam kerana mereka mempunyai tentera yang ramai dan kelengkapan perang yang sangat hebat. Sebagai menjawab ejekan puak munafik itu , lalu Jibril AS turun menyampaikan ayat Ali Imran 3 :26 diatas.
2)Allah lah yang berkuasa memberikan kuasa pemerintahan kepada seseorang dan Dia juga yang berkuasa menarik semula kuasa itu daripada sesiapa yang telah diberikan kuasa itu. Apa yang Dia kehendaki pasti akan terjadi. Maksudnya Dialah yang Mengendalikan semua ciptaanNya menurut kehendakNya.
3)Allah SWT telah membuktikan Dia berkuasa mengalihkan kerasulan dari Bani Israil kepada seorang Rasul dari keturunan Arab, dari suku Quraisy diMakkah bagi menutup seluruh Rasul dimuka bumi ini dengan kehendakNya yang mutlak.
Dia telah mengangkat Nabi Muhammad SAW, seorang insan yang ummi dengan memberikan syari’at Islam yang lengkap dan pengetahuan mengenai perkara yang ghaib melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibril AS.
4)Allah SWT telah memberikan kuasa kepada Nabi SAW untuk mengalahkan puak kafir musyrik Makkah yang sebelum itu telah menindas dan memusuhi kaum mukminin lebih tiga belas tahun lamanya.
Perkara ini tidak pernah terfikir oleh puak musyrik Makkah yang pada awalnya mereka memandang rendah pada kaum mukminin pimpinan Nabi Muhammad SAW.
5)Dengan kekuasaan Allah juga lah umat Islam dizaman pemerintahan para sahabat telah berjaya mengalahkan kuasa besar pada masa itu iaitu Parsi dan Rom(Timur).
Adalah diriwayatkan semasa membuat persiapan perang Ahzab, para sahabat yang mengorek parit (khandak) telah terjumpa sebuah batu besar. Mereka tak berjaya memecahkannya dan meminta Rasulullah SAW melakukannya. Baginda telah menggunakan alat pemecah batu dan menghentakkan kebatu itu sebanyak tiga kali sehingga batu itu pecah. Pada hentakan yang pertama baginda berdoa agar Allah kurniakan kunci Istana dinegeri Sham (Rom Timur) kepada umat Islam. Pada hentakan kedua baginda berdoa agar dikurniakan kunci Istana Parsi. Pada hentakan ketiga pula baginda berdoa agar dikurniakan kunci Istana Yaman.
Apabila diceritakan doa Rasulullah ini kepada para sahabat , ramai dari kalangan puak munafik yang mendengar telah mempersendakannya. Puak munafik menyangka perkara yang dihajati oleh baginda itu adalah sesuatu yang amat mustahil dicapai.
Namun begitu sejarah telah membuktikan bahawa Allah SWT telah menunaikan doa baginda SAW itu dengan menganugerahkan kuasa pemerintahan Rom, Parsi dan Yaman kepada kaum mukminin selang tidak berapa lama setelah itu.
Begitulah Allah SWT telah mengangkat derajat bangsa Arab padang pasir yang sebelum itu dianggap sebagai bangsa yang lemah dan mundur yang tidak mungkin dapat mengalahkan kuasa-kuasa besar seperti Parsi dan Rom.
6)Allah SWT juga mengkhabarkan Dialah yang berhak mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki.
Begitulah Dia yang menentukan kejatuhan sesebuah kerajaan disesuatu era.
Satu contoh yang ingin dipaparkan disini adalah mengenai kejatuhan kerajaan Islam Abbasiyah diBaghdad kepada puak Monggol pada tahun 656H/1258M.
Secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa kejatuhan kerajaan Islam diBaghdad adalah disebabkan usaha-usaha dakwah dan jihad telah tidak dihiraukan oleh pihak pemerintah pada masa itu. Kerajaan Abbasiyah yang asalnya dibangunkan berasaskan kritikan kuat terhadap kelemahan dan kelalaian kerajaan Bani Umayyah dalam menegakkan keadilan Islam akhirnya berkubur diwaktu mereka juga terjebak kedalam fitnah yang sama. Umat Islam pada masa itu lalai dengan kemajuan kebendaan atau menjadi “hamba dirham dan dinar” sehingga lupa aspek bersiap sedia dari segi ketenteraan
bagi menangkis ancaman musuh. Para ulama dan sarjana Islam terlalu sibuk membahaskan perkara-perkara yang furu’ atau pun mereka lebih menumpukan bidang berfalsafah sahaja.
Penyelewengan aqidah juga tidak terbendung lagi dimasa itu.
Fahaman Mu’tazilah, gerakan Batiniyyah dan ajaran Syi’ah bebas berkembang yang justeru melemahkan kesatuan dan perjuangan umat Islam. Akhirnya Baghdad telah diserang oleh tentera Monggol dengan rakus nya , sedangkan rata-rata kaum muslimin yang ramai itu tidak terdaya untuk melawan mereka.
Disamping itu terdapat juga dikalangan penasihat istana yang belot kepada pihak musuh.
Apa yang berlaku itu adalah perancangan Allah Yang Maha Bijaksana untuk memberi pengajaran kepada umat Islam keseluruhannya.
7)Pengalaman pahit yang dialami oleh kerajaan Abbasiyah dikota Baghdad pada tahun 1258M itu , sekali lagi berulang keatas kerajaan Islam di Andalusia sehingga menyebabkan kejatuhannya pada tahun 1492M.
Umat Islam yang berkuasa melebihi tujuh abad itu telah jatuh dalam keadaan terhina ditangan pihak Kristian Sepanyol.
Setelah begitu lama berkuasa, pemerintahan Islam diAndalusia mula lemah dipenghujungnya disebabkan mereka mula hidup bermewahan, kerja dakwah semakin diabaikan , sesama umat Islam mula berpecah-belah kerana semangat kebangsaan antara umat Islam dari puak pendatang (Afrika Utara) dan puak kelahiran tempatan. Diatas perpecahan inilah pihak Kristian mengambil kesempatan melaga-lagakan puak-puak umat Islam yang bersengketa. Puak Islam berpecah kepada lebih dua puluh kumpulan dan mereka saling berebut kuasa sesama sendiri . Ada puak Islam yang tanpa malu meminta pertolongan puak Kristian bagi mengalahkan kumpulan yang lain.
Ada kumpulan Islam yang sanggup membayar ufti bagi mendapatkan pertolongan dari puak Kristian. Begitulah parahnya perpecahan umat Islam pada masa itu sehinggakan pihak pemerintahan diGranada tidak dapat mengawalnya. Akhirnya kerajaan Islam jatuh dan dihalau dalam keadaan amat memalukan dan hina. Puluhan ribu umat Islam telah disembelih dengan kejamnya.
8)Begitu juga diabad moden ini kita dapat saksikan beberapa kerajaan didunia yang telah berkuasa begitu lama dinegaranya, akhirnya telah dapat ditumbangkan oleh rakyat jelata mereka sendiri . Contoh yang mudah difahami adalah pemerintahan Dinasti Pahlavi diIran . Pemerintahnya yang terakhir iaitu Shah Iran telah dapat ditumbangkan oleh rakyat melalui revolusi pada tahun 1979M.
Kuasa pemerintahan dibanyak negeri atau negara bertukar ganti mengikut perancangan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Ada para pemimpin yang begitu lama berkuasa dengan penuh tipu muslihat dan kekejaman telah dapat dijatuhkan . Begitu juga ada pemimpin yang pernah dizalimi dan dipenjarakan telah berupaya mengambil-alih tampuk pemerintahan dinegaranya.
9)Umat Islam telah bergembira dengan kejayaan pasukan Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Constantinople pada tahun 1453H. Namun begitu sejarah pahit umat Islam terus berulang apabila kerajaan Khilafah Othmaniyah diTurki yang berkuasa begitu lama telah dapat dijatuhkan oleh musuh-musuh Islam (dari luar dan dalam negara sendiri) pada tahun 1924M. Ini sekali lagi membuktikan bahawa Allah SWT Berkuasa mencabut kuasa pemerintahan daripada siapa yang Dia Kehendaki.
Semenjak dari tarikh itu kita lihat sekali lagi negara-negara umat Islam telah berpecah-pecah dan mudah dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat terutama Amerika dan Eropah. Sejarah yang paling malang bagi umat Islam adalah apabila bumi umat Islam Palestin diserahkan kepada pihak Yahudi pada tahun 1948 dan tertubuhnya negara haram Israel. Pihak Yahudi Zionist telah merancang kerja jahat mereka semenjak selepas Perang Dunia Pertama. Mereka telah gunakan kuasa-kuasa besar dunia di Barat , terutamanya Britain bagi membantu melaksanakan impian jahat mereka.
Beginilah putaran sejarah yang berlaku keatas umat Islam lebih 1,400 tahun yang lalu. Dalam tempoh yang lama ini telah berlaku beberapa siri Perang Salib diantara umat Islam dan Kristian .
Kesimpulan
Sekarang ini umat Islam meskipun ramai jumlahnya , namun mereka berada pada keadaan yang sangat lemah terutama dari aspek ekonomi , ketenteraan, industri, teknologi , pendidikan dan penguasaan media massa antara bangsa.
Amat sayang sekali , umat Islam mempunyai al-Quran bersama mereka , tetapi hampir kebanyakan pemimpin negara umat Islam telah mengabaikan peringatan dari Allah SWT sehingga menyebabkan umat Islam dipandang rendah oleh masyarakat dunia pada masa ini.
Ingatlah firmanNya:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
An-Nuur 24:55
Sayang sekali apabila para pemimpin dan umat Islam dihari ini telah semakin jauh daripada ajaran Allah dan RasulNya, beginilah kehinaan yang menimpa kita semuanya.
Umat Islam hanya akan bangkit kembali sekiranya mereka sedar dan membina kekuatan serta kesatuan ummah berpandukan surah An-Nuur 24:55 diatas.
Aspek yang perlu diutamakan adalah akidah, kesatuan dan ekonomi umat Islam perlu diperkasakan semula.
Oleh kerana itu umat Islam perlu dipimpin oleh para pemimpin yang bertaqwa, berilmu, amanah , bijaksana, tegas dan berwawasan jauh bagi mengembalikan kekuatan ummah ini secara menyeluruh.
Nasib ummah tidak akan terbela sekiranya kita masih dipimpin oleh para pemimpin yang tidak amanah dan tiada integriti , mementingkan kekayaan peribadi , tidak mempunyai keupayaan merancang dan membangunkan ekonomi umat Islam dinegara ini.
Ciri-ciri minima yang mesti ada pada para pemimpin yang beriman dan bertaqwa itu ialah memiliki sifat kepimpinan yang ada pada Nabi Musa AS iaitu Kuat dan Amanah seperti yang disebut pada surah Al-Qasas berikut:
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia (Musa) memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
Al-Qasas 28:26
Semoga apa yang diutarakan diatas membolehkan kita berfikir dengan baik sebelum memilih barisan para pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan dan kebaikan umat Islam dan rakyat jelata dinegara ini.
Allahu A’lam
Rujukan
-Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2,
-Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 2,
-Sirah Nabawiyyah SAW oleh Safiyyu Al- Rahman Al-Mubarakfuri,
-Inilah Sejarah Kita oleh Thoriq Ahmad
Ikhlas Daripada
-Ir MahabobShuib-
IKRAM AJ
No comments:
Post a Comment