Friday, 16 December 2022

ALLAH TIDAK MENGUBAH NIKMAT BAGI SESUATU KAUM MELAINKAN KAUM ITU YANG MENGUBAHNYA

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN


Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِّعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَىٰ قَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ


Yang  demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Al-Anfal 8:53


              ^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)Allah SWT menjelaskan tentang kesempurnaan keadilanNya dalam segenap hukum-hukumNya kerana Dia tidak akan mengubah nikmat-nikmat yang telah diberikanNya pada seseorang atau sesuatu kaum kecuali disebabkan kesalahan-kesalahan  yang dilakukan oleh seseorang  atau sesuatu kaum itu. 

Dalam konteks ayat diatas, azab yang ditimpa kepada orang-orang musyrikin  Quraisy Makkah kerana mereka  telah kufur kepada nikmat-nikmat Allah SWT yang diberikan kepada mereka . Nikmat terbesar yang mereka ingkar  adalah nikmat  diturunkan seorang Rasul Allah dikalangan mereka  suku bangsa Arab yang hidup  mundur dipadang pasir yang gersang dan panas. Padahal kaum Yahudi dan Nasrani dari kalangan ahli-ahli Kitab di bumi para anbiya menunggu-nunggu kemunculan seorang Rasul Allah  yang terakhir dari kalangan kaum mereka. 


Disebabkan orang-orang Quraisy Makkah itu jahil mengenai ramalan  yang terdapat pada Kitab-Kitab orang Yahudi dan Nasrani itu , mereka telah begitu mudah menolak kehadiran seorang Rasul bernama Muhammad  yang muncul ditengah-tengah masyarakat mereka .

Oleh yang demikian , tinggallah kebanyakan dari mereka dalam suasana kejahilan dan kegelapan disebabkan mereka tidak mahu menerima  nur (agama ) Islam, sebaliknya mereka meneruskan penyembahan berhala-berhala yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.


2)Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa keberkatan terhadap sesuatu nikmat itu bergantung kepada aqidah yang benar , amal yang baik dan akhlak yang tinggi. Sebaliknya hilangnya sesuatu nikmat adalah disebabkan oleh kekufuran , melakukan kerusakan, akhlak yang buruk dan sifat lalai dan sombong yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai suatu ujian dalam kemewahan (istidraj) sepertimana firmanNya:


فَذَرْنِي وَمَن يُكَذِّبُ بِهَٰذَا الْحَدِيثِ سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ


Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.

Al-Qalam 68:44


Peluang keemasan menjadi umat yang beriman kepada seorang Rasul ditengah-tengah umat Arab telah disia-siakan oleh musyrikin Quraisy disebabkan oleh sikap sombong dan kejahilan mereka sendiri.


3)Allah SWT memperlakukan orang-orang musyrikin Makkah yang mendustakan risalah Nabi Muhammad adalah serupa keadaannya sebagaimana yang dilakukanNya pada umat-umat terdahulu yang juga telah mendustakan para Nabi mereka.

Kekufuran orang musyrikin Makkah itu  sama seperti kufurnya Firaun dan para pengikutnya kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun AS.

Firaun dan para pengikutnya telah diazab oleh Allah SWT dengan ditenggelamkan mereka didalam laut , makakala kaum musyrikin Makkah dan para pemimpin mereka telah dibunuh begitu ramai semasa Perang Badar.


4)Ayat Al-Anfal 8:53 diatas mempunyai kaitan yang rapat dengan firmanNya yang lain didalam surah Ar-Ra’d yang berikut ini:


 إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ


…..Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Ar-Ra’d 13:11


Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum berupa kehidupan yang selesa, kesihatan yang baik, kemakmuran yang berpanjangan, kesejahteraan dan kenikmatan  yang menyeluruh. Yakni Allah SWT tidak menarik kembali nikmatNya dari mereka itu sehinggalah mereka sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka seperti suasana hidup yang baik itu digantikan dengan kehidupan yang buruk yang mana dipenuhi dengan kesusahan, kemelaratan, kehinaan dan kacau-bilau penuh dengan persengkitaan penduduk didalamnya. 

Perkara-perkara ini berlaku apabila masyarakat telah mula tidak bersyukur kepada begitu banyak nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Kebanyakan mereka telah mengabaikan nilai-nilai akhlak yang murni, bertambahnya aktiviti-aktiviti maksiat dan mereka saling tidak menghormati  sesama mereka.


5)Realiti dan fakta sejarah Islam pada abad-abad yang lalu menunjukkan dengan sangat jelas bahawa Allah SWT tidak mengubah keadaan  dan kondisi umat Islam yang mulia, kuat, makmur, sejahtera, merdeka dan unggul dalam bidang keilmuan, politik, ekonomi dan sosial, melainkan setelah mereka  mengubah diri mereka dengan mengabaikan ajaran  agama Islam, meninggalkan Al-Quran dan sunnah NabiNya , dan meniru cara hidup orang kafir dan tiada lagi budaya tolong menolong serta terhakisnya usaha-usaha menyeru kepada yang maaruf dan mencegah berlakunya kemungkaran dalam masyarakat. Penyakit yang paling melemahkan umat Islam ialah apabila mereka berlumba-lumba mencari harta kekayaan dunia  dan mula mengabaikan tanggung-jawab berdakwah kepada umat manusia yang non muslim. 

Disamping itu pihak pemerintah atasan  umat Islam mula menzalimi dan menindas rakyat bawahan tanpa pembelaan keatas nasib mereka yang hidup dalam kesusahan..

Kebanyakan  kerajaan Islam yang hancur atau dikalahkan oleh pihak musuh adalah apabila  mereka mula mengabaikan semua ciri-ciri kebaikan yang disebutkan diatas.

Sebagai contoh yang mudah , lihatlah apakah puncanya yang menyebabkan  kejatuhan kerajaan Bani Abbasiyah di Baghdad dan kemudian kejatuhan yang sangat hina kerajaan Islam Andalusia diSepanyol.

Namun begitu sejarah juga telah membuktikan apabila umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan istiqamah dalam memperjuangkan Islam , Allah SWT telah menganugerahkan mereka kemenangan besar keatas  kerajaan Farsi dan Rom (Timur) yang gagah perkasa.


Kesimpulan


Apabila kita membincangkan ayat diatas kita tidak boleh lari dari mengaitkan dengan nasib umat Islam diseluruh dunia pada hari  ini.

Samada kita suka atau tidak , kita mestilah menerima hakikat bahawa umat Islam diarena antarabangsa  masih jauh ketinggalan dibelakang orang-orang non muslim dalam banyak  bidang penting terutamanya disektor politik, ekonomi, perniagaan , industri, teknologi, pertahanan, pendidikan, hartanah , pertanian, sebaran am  dan berbagai sektor lain.

Seperti yang kita semua sedari  Masjidil Aqsa (diBaitul Maqdis) adalah tempat ketiga martabat kemuliaannya bagi umat Islam setelah Masjidil Haram (diMakkah) dan Masjid Nabawi (diMadinah). Namun begitu disebabkan lemahnya kesatuan dan keupayaan ketenteraan umat Islam, sehingga kehari ini Masjidil Aqsa masih dijajah oleh pihak regim Yahudi Israel semenjak tahun 1948 dahulu.

Apakah kota suci ini dapat dikembalikan semula kepada kekuasaan  umat Islam dalam keadaan kita umat Islam masih lemah dan berpecah belah pada hari ini?

Hal ini sukar dijawab kerana umat Islam masih terus berpecah-pecah dan setiap negara tidak mahu mencampuri urusan negara yang lain dan kekuatan ketenteraan negara-negara Islam masih jauh ketinggalan berbanding dengan kuasa-kuasa Barat yang melindungi negara regim Yahudi Israel itu pada hari ini.

Persoalan yang terakhir sekali adalah mengenai nasib umat Islam dinegara ini yang masih ketinggalan dibelakang dalam banyak sektor terutamanya dibidang ekonomi, pendidikan, perniagaan, industri , hartanah dan lainnya. 

Umat Islam dinegara ini adalah penduduk yang paling ramai tetapi mereka rata-rata sangat miskin berbanding orang-orang  berasal dari Tanah Besar China  yang merupakan golongan minoriti yang sangat kaya dinegara ini. 

Umat Islam mestilah membuka minda dan mengubah sikap supaya cepat sedar bagaimanakah caranya  untuk membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan yang berpanjangan meskipun orang Islam sendiri  telah memegang tampuk pemerintahan negara ini semenjak merdeka tahun 1957 lagi hingga sekarang.

Oleh itu ingatlah bahawa  Allah SWT tidak akan mengubah nasib  ataupun nikmat sesuatu kaum melainkan kaum itu yang mengubahnya sendiri. Orang lain tidak mampu melaksanakan perubahan ini, sekiranya tidak ada kesedaran yang timbul dikalangan umat Islam sendiri.

Umat Islam perlu melantik para pemimpin yang boleh membawa perubahan bagi meningkatkan tahap pencapaian mereka dibidang pendidikan, ekonomi, perniagaan dan latihan vokasional bagi mengwujudkan banyak peluang pekerjaan 

bagi generasi  anak-anak muda dinegara ini. Perkara ini sukar untuk dicapai sekiranya umat Islam masih dipimpin oleh para pembesar negara yang tidak amanah , salah guna-kuasa , mengamalkan rasuah dan tidak kompeten dan tidak bersungguh-sungguh mahu memajukan  ekonomi umat Islam  yang rata-rata masih ketinggalan jauh dibelakang dipelbagai bidang.

Allahu A’lam


Rujukan

Tafsir Al-Munir -Jilid 5 , 7


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment