PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
-Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya.
-Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
As-Saff 61:2-3
^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat-ayat diatas:
1)Allah SWT bertanyakan orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya:
Mengapakah kalian mengatakan sesuatu perkataan, namun perbuatan kalian tidak sama, tidak sejalan, tidak selaras dengan apa yang kalian perkatakan itu?
Inilah suatu kecaman dan cercaan terhadap orang yang berjanji atau mengatakan suatu perkataan yang tidak ia penuhi dan kotakan.
Ada ulama salaf menjadikan ayat ini sebagai landasan dalil tentang kewajiban
menunaikan janji secara mutlak, baik apakah berkonsekuensi (mengakibatkan) mesti memikul suatu tanggungan mahupun tidak. Dalam hal ini, mereka juga berpegang pada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tanda orang munafik itu ada tiga: Pertama jika berbicara maka dia berdusta; Kedua jika berjanji maka dia melanggarnya; Ketiga , jika dia dipercayai suatu amanat , maka dia mengkhianati.”
Dalam satu hadis yang lain , dinyatakan bahawa terdapat tanda munafik yang keempat iaitu : Jika dia bersengketa (dengan seseorang) , dia melampaui batas (menghalalkan segala cara).
2)Ada pendapat ulama tafsir mengatakan bahawa ayat diatas diturunkan ketika orang-orang Islam diMadinah mengharapkan diwajibkannya jihad keatas mereka. Ketika jihad (perang) sebenarnya diwajibkan keatas mereka, ada sebagian mereka yang takut dan mundur. Perkara ini disebutkan dalam firmanNya yang berikut:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah solat serta berikanlah zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun".
An-Nisa’ 4:77
Dalam firmanNya yang lain pula:
وَيَقُولُ الَّذِينَ آمَنُوا لَوْلَا نُزِّلَتْ سُورَةٌ فَإِذَا أُنزِلَتْ سُورَةٌ مُّحْكَمَةٌ وَذُكِرَ فِيهَا الْقِتَالُ رَأَيْتَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ نَظَرَ الْمَغْشِيِّ عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ فَأَوْلَىٰ لَهُمْ
Dan (kerana gemarkan pahala berjuang menegakkan Islam) orang-orang yang beriman berkata: "Alangkah baiknya sekiranya diturunkan satu surah (dari Al-Quran, yang memerintahkan kami berjuang)?" Maka apabila diturunkan satu surah (dari Al-Quran) yang tegas keterangannya dan tersebut padanya hukum-hukum yang mewajibkan perang Jihad (menentang pencerobohan musuh), sudah tentu engkau akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya memandang kepadamu dengan terbeliak matanya kerana gerun takut menghadapi mati; dengan yang demikian, maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka.
Muhammad 47:20
3)Allah SWT memberi amaran : Sangat besar dosanya kalian mengatakan sesuatu , namun kalian melakukan sesuatu yang lain, berjanji begini tetapi kalian melakukan begitu. Sesungguhnya melanggar janji adalah bukti sikap tidak bertanggung-jawab, egoisme, merugikan kemaslahatan bersama, tidak hormat orang lain, merusakkan kepercayaan diantara individu dan masyarakat.
Betapa jeleknya perbuatan melanggar janji dan betapa buruknya akhlak si pelakunya. Kerana itu orang sedemikian akhlaknya dibenci dan akan dihukum Allah SWT , sebagaimana dia juga menjadi orang yang sangat dibenci, dikecam dan dicela dimata manusia semuanya.
4)Sebagai bandingan celaan dan cercaan terhadap orang-orang yang tidak mahu ikut berperang dan lari dari kewajiban berjihad menghadapi musuh, Allah SWT pun memuji dan menyanjung orang-orang yang dengan penuh semangat ikut berperang melawan musuh:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya , dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
As-Saff 61:4
5)Dalam aspek kekeluargaan pula, ada suatu hadis menceritakan tentang tanggung-jawab atau peranan ibu bapa.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Dawud dari Abdullah bin Amir bin Rabi’ah RA, ia berkata, “Ketika saya masih kecil, Rasulullah SAW datang kepada kami, maka saya pun pergi untuk bermain. Ibuku berkata, ‘Wahai Abdullah , kesinilah nanti ibu beri sesuatu.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Apa yang ingin kamu berikan?’ Dia berkata, ‘Kurma.’ Baginda bersabda:
‘Ketahuilah , seandainya kamu tidak memberikannya maka kamu telah berdusta kepadanya.”
-Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud
Kesimpulan
Sesungguhnya perbuatan melanggar janji adalah satu tindakan yang tercela secara syari’at, akan menyebabkan si pelakunya mendapat dosa dan hukuman dari Allah SWT. Kerana sikap mengklaim dan mengaku telah melakukan suatu kebaikan yang sebenarnya tidak pernah dilakukannya adalah satu pembohongan. Sedangkan berjanji melakukan suatu kebaikan , namun terbukti tidak melakukannya adalah tindakan melanggar janji dan sebagai satu pendustaan dan tidak konsisten dalam berbicara. Semuanya itu adalah sikap yang tercela iaitu si pelakunya telah mempamirkan sikap orang munafik.
Oleh itu waspadalah terhadap para pemimpin yang berikrar hendak melaksanakan berbagai projek kemudahan asas untuk rakyat , mengwujudkan banyak peluang pekerjaan baru dan berjanji hendak melaksanakan undang-undang yang lebih baik untuk umat Islam, namun begitu setelah mereka diberi peluang melaksanakan apa yang telah dijanjikan itu , tiba-tiba mereka mungkir janji dan memberikan berbagai alasan sedangkan mereka boleh mengkotakan perkara-perkara yang dijanjikannya itu.
Begitulah buruknya sikap dan perangai para pemimpin yang tidak melakukan apa yang mereka ucapkan seperti yang terdapat dikalangan ramai pemimpin mutakhir ini.
Allahu A’lam
Rujukan
Tafsir Al-Munir -Jilid 14
Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 9
Ikhlas Daripada
-Ir MahabobShuib-
IKRAM AJ
No comments:
Post a Comment