Friday, 15 July 2022

PERHATIKAN APAKAH BEKALAN YANG TELAH DISEDIAKAN UNTUK MENUJU AKHIRAT

PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN


Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

Al-Hasyr 59:18


          ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas :


1)Allah SWT membuka ayat ini dengan perintah supaya orang-orang yang beriman itu bertaqwa kepadaNya iaitu dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan laranganNya.

Perintah supaya bertaqwa ini juga ditekankan sebanyak dua kali oleh Allah SWT dalam firmanNya yang berikut ini:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا


Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut  namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

An-Nisa’ 4:1


2)Perhatikanlah apa yang telah kamu amalkan untuk bekalan akhirat kamu, iaitu sesuatu yang bermanfaat kepadamu pada Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan. 

Maknanya introspeksilah diri kalian sebelum kalian diintrospeksi dan lihatlah amalan soleh apakah yang kalian telah jadikan bekalan untuk hari kemudian (Kiamat).


Suasana apabila berlakunya hari Kiamat itu adalah sesuatu yang amat dahsyat sekali seperti yang digambarkan oleh firmanNya :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ


يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ


Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari Kiamat  itu suatu perkara yang amat besar.


Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Al-Hajj 22:1-2


3)Nabi SAW pernah memberikan motivasi kepada para sahabat baginda untuk menyediakan bekalan akhirat  walaupun bersedekah dengan hanya separuh tamar:

“Seseorang dapat bersedekah dengan dinarnya, dirhamnya atau dengan satu sha’ gandumnya, satu sha’ kurmanya,” sehinggalah baginda akhiri dengan bersabda, “Walaupun dengan hanya sebelah kurma”

Tiba-tiba datang lelaki Ansar membawa sekantong kurma , yang tangannya sendiri tidak mampu menggenggamnya. Kemudian orang lain mengikutinya sehingga kelihatan dua longgokan barang yang disedekah iaitu longgokan makanan dan pakaian.

Wajah Nabi SAW berseri-seri , maka baginda bersabda:

“Barangsiapa yang mencontohkan kebaikan dalam Islam, maka dia mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikitpun. Dan siapa yang mencontohi keburukan dalam Islam, maka dia akan mendapat dosanya dan dosa orang mengikutinya tanpa dikurangi pun.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


4)Perintah supaya bertaqwa kepada Allah SWT diulangi sekali lagi secara tegas dan kamu diperingatkan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui semua apa yang manusia lakukan. Tidak ada satu perkara pun yang luput dari pengetahuanNya.

Oleh itu berwaspadalah kamu dalam pekerjaanmu, baik amalan kecil mahupun amalan besar. 

Seterusnya ketahuilah Allah SWT akan menghisabmu dengan seadil-adilnya tanpa sedikitpun yang terlepas dari hitunganNya.

Perkara ini dinyatakan dalam firmanNya yang sering dibaca dalam surah al-Kahfi:


وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا


Dan ‘Kitab-kitab Amal’ juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:"Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Al-Kahfi 18:49


5)Ramai dikalangan orang beriman agak lalai dalam membuat persiapan untuk menemui Allah SWT   kerana mereka menyangkakan bahwa waktu ajalnya datang menjemput adalah masih lama lagi . Mereka ini diperingatkan oleh firmanNya yang berikut ini:


قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".

Al-Jumuah 62:8


Adalah jelas maut yang manusia cuba elakkan itu pasti  datang menemui mereka. Setelah dibangkitkan semula dihari Kiamat , manusia akan disoal tentang bekalan yang mereka persiapkan untuk bertemu Tuhannya. Segala perkara yang nyata dan ghaib semuanya berada didalam pengetahuan Allah SWT.


Kesimpulan


Orang mukmin sentiasa diperingatkan berulangkali supaya bertaqwa kepada Tuhannya dan mestilah mempersiapkan bekalan dirinya untuk   hari akhirat iaitu dengan mengerjakan  amal-amal soleh semasa hidup  didunia ini supaya terjamin  mendapat ganjaran balasan nikmat Syurga yang dijanjikan Allah SWT.

Sesungguhnya amat rugilah mereka yang lalai untuk menyediakan bekalan akhiratnya seperti yang dinyatakan oleh firmanNya:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (supaya menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Al-Munafiqun 63:9


Al-Quran juga menggambarkan dalam surah Sajdah (ayat 12) yang sering dibaca dipagi Jumaat , terdapat mereka yang sangat menyesal dihadapan Allah SWT dan merayu kepadaNya hendak  kembali kedunia untuk melakukan amal-amal  soleh , namun dikatakan kepada mereka  bahawa segalanya telah terlewat untuk mereka kembali kedunia untuk beramal.

Oleh itu sebelum terlewat buatlah persiapan yang sewajarnya sementara masih ada peluang beramal dihujung usia masing-masing didunia ini.

Allahu A’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 14

Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 9


Ikhlas Daripada

-Ir Mahabob Shuib-


IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment