Friday, 22 July 2022

MASJID DHIRAR YANG MENDATANGKAN MUDHARAT

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN

 Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ


Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:

“Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

At-Taubah 9:107


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)Siapakah penggerak utama pembinaan Masjid Dhirar ini?

Sebelum Rasulullah SAW berhijrah keMadinah, terdapat seorang  pendita Nasrani dari suku Khazraj  yang dikenali sebagai  Abu Amir Al-Rahib. Beliau sangat dimuliakan oleh kaumnya. Selepas kaum mukminin beroleh kejayaan diPerang Badar, kebencian beliau terhadap Rasulullah SAW  dan kaum mukminin kian meningkat. Beliau telah pergi keMakkah bertujuan meniupkan api permusuhan orang-orang musyrikin Makkah  terhadap kaum mukminin di Madinah. 

Hasil dari hasutan beliau keatas puak musyrikin Makkah dan beberapa kabilah Arab lainnya , maka berlakulah Perang Uhud pada tahun ke 3Hijrah.

Diriwayatkan beliau ini bersama para pengikutnya telah menggali  banyak lobang dimedan pertempuran  Uhud bagi

memastikan tentera yang bertempur itu tergelincir atau terjatuh kedalamnya. Target utamanya adalah kepada tentera muslimin. Akibatnya semasa tentera Islam kelam-kabut , Rasulullah SAW sendiri telah terjatuh kedalam salah satu dari lobang-lobang itu  dan baginda mengalami kecederaan ketika menangkis serangan hebat  pihak musuh. 

Baginda telah dapat diselamatkan oleh para sahabat yang berada disekeliling baginda.

Sebelum berlaku pertempuran Uhud, Abu Amir ini  telah  berpidatu membangkitkan semangat kebencian keatas  puak mukminin  dari orang-orang Ansar  terutama dari suku Khazraj supaya meninggalkan perjuangan Rasulullah SAW , tapi usaha jahat beliau itu tidak berjaya.


2)Sesudah tamat Perang Uhud , Rasulullah SAW ada mempelawa beliau memeluk Islam tetapi beliau menolaknya dengan angkuh. Rasulullah SAW  telah mendoakan  supaya  beliau itu menemui ajal jauh dari kampung halamannya. Doa baginda itu benar-benar berlaku keatas dirinya  diakhir usia beliau. Setelah beliau dapati umat Islam masih mampu bertahan dibumi Madinah , beliau membuat keputusan  pergi menemui Heraklius Kaisar Rom dan dia meyakinkan   para pengikutnya diMadinah bahawa beliau akan membawa tentera Rom datang menewaskan tentera Islam dan seterusnya menawan Madinah. 


3)Abu Amir Al-Rahib telah tinggal ditempat Kaisar Rom dan dari sana dia mengutus surat kepada  para pengikutnya  (yang terdiri dari ramai orang-orang munafik Madinah ) supaya membina sebuah bangunan untuk dijadikan pusat merancang aktiviti jahat mereka. Bagi menggabui mata umat Islam  Madinah, mereka telah menukar pusat kegiatan

mereka itu sebagai sebuah masjid. Masjid yang dicadangkan itu adalah tidak berapa jauh dari Masjid Quba’ yang telah sedia ada.

Mereka telah bekerja keras bagi memastikan masjid tersebut dapat  disiap segera dan  setelah siap pembinaannya mereka telah  merancang mempelawa Rasulullah SAW solat didalamnya sebelum baginda berangkat keTabuk. Tujuan mereka adalah untuk mendapatkan restu atau pengiktirafan dari Rasulullah SAW sendiri keatas masjid yang mereka bina itu. 

Allah SWT telah menjaga kesucian RasulNya dari diperdaya oleh puak munafik , maka baginda telah memberikan alasan akan hanya hadir  setelah kembali  pulang dari Perang Tabuk.


4)Semasa  Rasulullah SAW kembali dari Tabuk menuju keMadinah iaitu selang beberapa hari hampir tiba , Malaikat Jibril AS memberitahu  baginda tentang  perihal masjid Dhirar itu dan tujuan sebenar pembinaannya. 

Masjid tersebut dibina diatas dasar kekufuran dan bertujuan memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Padahal Masjid Quba’ yang dibina diatas dasar takwa terletak sangat berhampiran dengannya. Orang-orang munafik  bercadang menjadikan masjid itu sebagai tempat mengintip atau  mengumpul maklumat aktiviti pemerintahan Islam diMadinah dan juga tempat mereka menyambut kepulangan Abu Amir sekiranya  dia berjaya menawan Madinah bersama tentera Rom.

Maka Rasulullah SAW mengirim satu pasukan umat Islam yang dipimpin oleh Ammar bin Yasir RA  dan Malik bin Dukhsyum  RA untuk menghancurkan masjid itu menjelang  beberapa hari sebelum kembalinya baginda dari Tabuk.

Para sahabat baginda  telah meroboh dan membakar masjid Dhirar itu seperti yang diperintahkan oleh baginda.


5)Sesungguhnya Allah SWT  telah memuliakan Masjid Quba melalui firmanNya:


لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ


Jangan engkau solat  di masjid (Dhirar)  itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat  padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

At-Taubah 9:108.


Ayat berikutnya menjelaskan keburukan masjid Dhirar ini:


أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ


Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

At-Taubah 9:109


6)Kisah masjid Dhirar itu memberikan banyak pelajaran dan teladan. 

Diantaranya ialah :-


i)Allah SWT mendedahkan niat jahat orang kafir seperti Abu Amir yang merancang untuk memusnahkan kewujudan  kerajaan Islam dibumi Madinah. Maha Benar Allah melalui firmanNya:


وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ


Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.

Al-Anfal 8:73


ii)Usaha puak munafik hendak menipu atau memanipulasi syariat Islam telah dibongkarkan oleh Allah SWT. Mereka cuba menipu Rasulullah SAW , namun kesucian baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT dengan tidak menjejakkan kaki baginda kemasjid itu.


iii)Allah SWT sentiasa membongkarkan niat jahat kaum munafik yang pada zahirnya kelakuan mereka nampak baik dan murni , namun mereka mempunyai agenda yang jahat terhadap kaum mukminin.


iv)Rasulullah SAW  bersikap tegas sekalipun perintah yang diambil oleh baginda itu adalah meroboh dan melenyapkan sebuah masjid yang telah siap dibina.


v) Allah SWT telah mendatangkan  suatu hukum yang jelas mengenai pembinaan sebuah masjid yang mana  dibina tidak berdasarkan kepada iman dan takwa.


Kesimpulan


Semoga kisah diatas mendatangkan kesedaran kepada kita semua supaya  berwaspada bahawa terdapat  golongan yang melaksanakan sesuatu projek amal  termasuk pembinaan rumah ibadah dan pusat pendidikan agama Islam bukannya benar-benar jujur dan ikhlas kerana Allah SWT. Mereka berselindung disebalik  label Islam ataupun diwar-warkan sebagai projek  ‘amal kebajikan bagi menyorokkan niat  sebenar mereka daripada diketahui oleh orang-orang yang beriman.


Allah SWT telah mengingatkan kita supaya  mendatangi masjid Allah dalam keadaan beriman lagi takut kepadaNya seperti yang disebut melalui firmanNya yang berikut ini:


إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ


Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

At-Taubah 9:18


Allahu A’lam


Rujukan

Sahih Tafsir Ibnu Katsir -Jilid 4

Sejarah Lengkap Rasulullah SAW - Prof Dr Ali Muhammad Ash-Shallabi


Ikhlas Daripada

-Ir Mahabob Shuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment