PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Al-Maidah 5:8
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas :
1)Wahai orang-orang beriman hendaklah kalian sentiasa menegakkan
‘al-haqq’ (kebenaran) kerana Allah SWT , bukan kerana faktor manusia dan ‘sum’ah’ (mencari populariti). Dan jadilah kalian ‘saksi yang adil’ , yakni bukannya saksi yang zalim atau berdusta.
Menegakkan keadilan ini adalah sebahagian daripada usaha menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran.
2)Seorang sahabat iaitu an-Nukman bin Basyir RA mengatakan, “Ayahku memberi satu pemberian kepadaku , maka ibuku mengatakan kepadanya , ‘Aku tidak redha hingga engkau jadikan Rasulullah SAW sebagai saksinya’. Ia pun datang kepada baginda untuk memintanya sebagai saksi, maka baginda bertanya, ‘Apakah semua anakmu telah kamu berikan seperti itu?’
Ia menjawab, ‘Tidak’ .
Mendengar hal itu baginda pun bersabda,
‘Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu’. Baginda menyambung lagi, ‘Aku tidak menjadi saksi atas kezaliman.’
Ayahku pun pulang dan menarik sedekahnya kembali.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim )
3)Janganlah disebabkan kebencian kamu kepada sesuatu kaum mendorong kalian untuk tidak berlaku adil terhadap mereka.Tapi berlaku adillah pada setiap orang, baik kawan ataupun musuh. Kerana itu Allah SWT berfirman , “Berlaku adillah , kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.” Yakni keadilan kalian itu lebih dekat kepada ketaqwaan , berbanding sekiranya kalian meninggalkan sifat adil itu.
4)Selepas itu Allah SWT mengingatkan supaya kalian sentiasa bertaqwa kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui apa yang kalian lakukan. Yakni Dia akan memberi balasan kepada kalian berdasarkan apa yang kalian lakukan. Jika baik , maka Dia membalasnya dengan kebaikan , dan jika buruk , maka Dia membalasnya dengan keburukan. Makna perbuatan berlaku adil atau berlaku zalim itu mempunyai konsekuen atau pertanggung-jawaban sehingga keakhirat.
Dalam satu perbicaraan didunia , seorang saksi atau hakim yang tidak adil boleh lepas dari tanggung-jawab, namun diMahkamah Allah dia tetap dipertanggung-jawabkan dengan seadil-adilnya.
5)Allah SWT menyeru kepada orang-orang yang beriman apabila menetapkan sesuatu hukum diantara manusia hendaklah dilakukan secara adil . Perintah ini telah dinyatakan dalam firmanNya yang berikut ini:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
An-Nisa’ 4:58
Begitu pentingnya sikap berlaku adil ini sehinggakan Nabi Daud AS telah diperingatkan oleh Allah SWT melalui firmanNya supaya jangan bertindak mengikut hawa nafsu :
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syari’at) yang adil (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
Sad 38:26
Kesimpulan
Allah SWT telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh bahwa mereka mendapat keampunan bagi dosa-dosa mereka dengan mengurniakan Syurga sebagai rahmat Allah SWT keatas hamba-hambaNya yang menegakkan keadilan.
Berlaku adil adalah satu kewajiban dalam agama dan bukannya satu pilihan (option) secara sukarela.
Keadilan itu dikatakan oleh ayat diatas lebih mendekatkan diri untuk mencapai ketaqwaan serta keredhaan Allah SWT, dan dalam erti kata lain menjauhkan manusia dari kemurkaanNya disebabkan sesiapa yang bertindak tidak adil dalam membuat satu keputusan secara sengaja telah melakukan salah satu dosa besar. Ini kerana ketidakadilan yang dilakukan akan menimbulkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan bersosial, memutuskan hubungan dalam sebuah keluarga, satu masyarakat dan akhirnya mendatangkan krisis atau musibah yang lebih besar lagi.
Oleh itu sekiranya kita takutkan kemurkaan Allah SWT yang mana akan mendatangkan azab yang pedih diakhirat kelak , maka hendaklah kita mengelakkan diri dari berlaku tidak adil dalam hidup seharian kita . Sesungguhnya Allah SWT mengetahui apa yang kita lakukan .
Allahu A’lam
Rujukan
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 3
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 3
Ikhlas Daripada
-Ir Mahabob Shuib-
IKRAM AJ
No comments:
Post a Comment