LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 5)
———————————————
PERINTAH BERBUAT BAIK KEPADA KELUARGA, TETANGGA DAN LAINNYA
———————————————
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri.
An-Nisa’ 4:36
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut ini adalah huraian ringkas keatas ayat diatas :
1) Allah SWT memerintahkan agar kita beribadah hanya kepadaNya. Dialah Pencipta, Pemberi rezeki dan nikmat serta Pemberi kurnia kepada makhlukNya, dalam setiap keadaan. Maka Dia pulalah yang berhak di-Esa-kan, tidak disekutukan dengan sesuatu pun dari makhlukNya.
2)Allah SWT berwasiat supaya kita sentiasa berbuat baik kepada kedua orang tua kita. Dia yang menjadikan kedua-dua mereka sebagai penyebab kita lahir kedunia ini.
Allah SWT sentiasa menggandingkan antara ibadah kepadaNya dengan buat baik kepada orang tua mu. Seperti firmanNya dalam surah Luqman ayat 13 dan 14 yang berikut ini:
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
3)Setelah itu dilanjutkan perintah berbuat baik kepada kaum kerabat , baik lelaki atau perempuan. Sebagai mana disebutkan dalam hadis berikut , yang bermakna:
“Sedekah kepada orang miskin terhitung satu sedekah. Dan sedekah kepada kerabat terhitung sedekah dan penyambung tali silaturrahim.
(Hadis sahih dari Imam At-Tirmizi dan Imam Ahmad, dari sahabat Salman bin Amir RA)
4)Kemudian Allah SWT perintahkan berbuat baik dan menjaga kebajikan anak-yatim yang telah kehilangan orang yang menjaga kemaslahatan dan nafkah mereka.
5)Kewajiban kita juga adalah berbuat baik dan membantu orang-orang miskin yang memerlukan pertolongan bagi memenuhi keperluan hidup seharian mereka.
Menolong anak yatim ini sering dikaitkan dengan menolong orang miskin seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Maun ayat 1-3.
أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ
Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?
فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ
Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ
Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
5)Allah SWT memerintahkan berbuat baik kepada jiran tetangga.
Jiran yang dekat adalah orang-orang memiliki hubungan kerabat dengan kita, sedangkan tetangga yang jauh adalah orang-orang yang tidak memiliki hubungan dengan kita.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Jibril sentiasa mewasiatkan aku agar berbuat baik kepada tetangga , sehinggakan aku menyangka mereka akan diwarisi”
Hasan al-Basriy RA pernah menetapkan bahwa jarak lingkungan jiran adalah kekanan 40 rumah, dan kekiri 40 rumah , kehadapan 40 rumah , dan kebelakang 40 rumah.
Salah satu bentuk menghormati jiran adalah sering memberikan hadiah berupa makanan atau lainnya , saling berziarah terutama nya apabila ada jiran yang sakit.
6)Allah SWT perintahkan juga berbuat baik kepada rakan sejawatan dan juga orang musafir yang terlantar sakit dalam perjalanan yang bertujuan baik.
7)Dalam ayat diatas , Allah SWT juga perintahkan berbuat baik kepada hamba sahaya kerana kedudukan mereka yang lemah disebabkan tertawan ditangan manusia. Oleh itu disaat akhir menjelang kewafatannya baginda berwasiat kepada umatnya dengan sabdanya:
“Jagalah solat, jagalah solat dan (perhatikan) hamba sahaya mu”
Baginda terus mengulangi sabdanya hingga lisannya tidak mampu lagi berucap.
(Hadis oleh An-Nasaie yang disohihkan oleh Sheik al-Albani)
Imam Ahmad meriwayatkan dari al-Miqdam RA , dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Makanan yang engkau makan untuk dirimu sendiri, maka itu sedekah bagimu. Demikian pula yang engkau berikan kepada kepada anakmu juga sedekah bagimu. Makanan yang engkau berikan kepada isterimu itu juga sedekah bagimu. Dan makanan yang engkau berikan kepada pembantumu, maka itu pun sedekah bagi mu”
(Hadis dari Imam Ahmad, disahihkan oleh Sheikh al-Albani)
8)Allah SWT tidak menyukai orang-orang sombong dan membangga diri dan angkuh terhadap orang lain. Ia sentiasa melihat dirinya lebih baik dari orang lain . Orang-orang begini tidak bersyukur dengan nikmat kesenangan yang Allah SWT berikan kepadanya. Orang yang sombong ini digambarkan oleh al-Quran dalam firmanNya yang berikut :
وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
Al-Isra’ 17:37
Kesimpulan
Pada permulaannya kita diperingatkan supaya taat beribadah kepadaNya dan jangan menyengutukanNya dengan sesiapa makhluk yang lain.Ini diikuti dengan perintah berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawatan , musafir yang terlantar dan hamba (pembantu) yang dimiliki.
Adalah mustahil perkara diatas dapat dilaksanakan sekiranya kita memiliki sifat sombong dan takabbur terhadap orang lain.
Oleh itu hendaklah kita tanamkan sifat pemurah dan tawadu’ dalam hidup seharian ,semoga hidup kita penuh dengan penuh barakah dan sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.
Allahu A’lam
Rujukan
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 3
Ikhlas Daripada
-Mahabob Shuib-
IKRAM AJ
#LembaranJuzukCintaIlahi
#wanitaIAJ
#IKRAMAJ
No comments:
Post a Comment