Friday, 26 August 2022

KAMU BERIMAN DAN BERSYUKUR ALLAH TAMBAH NIKMATNYA, KAMU KUFUR ALLAH DATANGKAN AZABNYA

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN


Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Al-A’raf 7:96


           ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)Jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, dimana  hati mereka menerima dan mengiktiraf  segala ajaran yang dibawa oleh Rasul Allah  serta membenarkan dan mengikuti ajarannya, pastilah Allah akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit seperti air hujan  yang membawa rezeki dengan cara menghidupkan pelbagai tumbuhan   dibumi dengannya manusia dapati berbagai jenis makanan yang mengenyangkan dan menyelerakan.


2)Allah SWT memberi amaran sekiranya para penduduk negeri itu mendustakan ajaran RasulNya , maka Dia akan hukum mereka dengan kebinasaan akibat perbuatan dosa,kemungkaran  dan maksiat yang mereka lakukan.


3)Ada mufassir yang mengaitkan ayat ini dengan keadaan yang berlaku diMakkah pada masa itu.

Jika para penduduk Makkah dan disekitarnya mahu beriman kepada apa yang diserukan oleh Nabi Muhammad SAW dan mahu menjauhi  perlakuan syirik kepada Allah Yang Maha Esa serta menjauhi perbuatan keji dan dosa, sudah pasti Allah SWT bukakan untuk mereka pelbagai berkat dari langit dan bumi yang mereka belum nikmati  sebelum itu.

Seandainya mereka mahu beriman beramai-ramai nescaya Allah SWT berikan rezeki yang sangat luas dari setiap penjuru alam kepada mereka. 


Panduan yang dibawa oleh al-Quran ialah  iman dan agama yang hak adalah faktor utama menyebabkan munculnya kebahagian didunia kerana selain orang-orang mukmin, orang-orang kafir dapat menikmatinya bersama selagi mana mereka tidak melakukan kemaksiatan dan kemungkaran secara meluas  didalam negerinya.


4)Penduduk Makkah sangat bertuah kerana sebelum mereka telah ada seorang Rasul Allah yang telah mendoakan kesejahteraan bumi mereka. Perkara ini telah dirakamkan oleh al-Quran dalam ayat yang berikut ini,


وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ


Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

Al-Baqarah 2:126


5)Al-Quran memberi ingatan bahawa pintu kesenangan yang dibuka kepada penduduk sesuatu negeri itu adalah sebagai satu cubaan dan ujian bagi mereka, yang menyebabkan sebahagian dari mereka terutama mereka yang kaya jadi lupa daratan dan semakin jahat serta takabbur. Disebabkan mereka tidak bersyukur kepada Tuhan mereka, lalu kesenangan dan kemewahan itu berubah menjadi fitnah dan musibah besar yang menimpa  keatas mereka. 

Perkara ini telah digambarkan oleh al-Quran dalam ayat yang berikut ini,


فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ


Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Al-An’am 6:44


Bagi orang-orang yang melupai Allah, pintu kesenangan dibuka luas supaya mereka itu mahu bersyukur kepadaNya diatas banyaknya rezeki yang dilimpahkan kepada mereka, namun mereka gunakannya untuk tujuan membuat kerosakan. Oleh kerana itu mereka mendapat balasan bencana atau mala petaka  yang diturunkan  secara tiba-tiba kepada mereka   seperti kemarau panjang, wabak penyakit , peperangan dan huru-hara dalam dunia  yang menyebabkan kekayaan mereka  terjejas dan turut lenyap dengan begitu cepat sekali.


6)Hukuman yang Allah SWT turunkan kepada penduduk sesuatu negeri ada diceritakan dalam al-Quran oleh firmanNya yang berikut ini,


لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ


فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ


Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.


Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.

Saba’ 34:15-16


Demikianlah balasan Allah SWT keatas penduduk negeri Saba’ (di Yaman) disebabkan oleh kekufuran mereka keatas banyak nikmat rezeki yang diterima dari Tuhan mereka.


7)Kepada penduduk sesebuah negeri yang melampaui batas dengan melakukan berbagai kerosakan didalamnya, Allah SWT melemparkan satu soalan kepada mereka, 


أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ


Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Al-A’raf 7:99


Begitulah kesannya apabila Allah SWT menurunkan suatu azab secara menyeluruh keatas sebuah negeri , maka kesemua penduduknya (samada kafir ataupun beriman) akan turut rugi dan  menderita kerana menerima hukuman dari Tuhannya.


Kesimpulan


Begitulah paparan ringkas keatas ayat diatas (Al-A’raf 96) yang menceritakan nasib yang menimpa para penduduk sebuah negeri disebabkan oleh perilaku mereka sendiri. Allah SWT menjanjikan kemakmuran dan barakah sekiranya mereka beriman dan bersyukur kepada Tuhan mereka. Walau bagaimanapun sekiranya mereka ingkar  atau kufur kepada perintahNya  dan melakukan berbagai kerosakan didalam negeri itu, maka Dia akan mendatangkan  berbagai ujian  dan musibah yang merugikan diri mereka sendiri.


Akhir sekali renungkanlah firmanNya ini,


فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ


Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Al-Baqarah 2:152


Semoga perkara yang dibincangkan diatas dapat mendatangkan banyak manfaat kepada kita semua.

Allahu A’lam


Rujukan 

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 5

Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 3


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment