Friday, 26 August 2022

ALLAH MENGUJI SESEORANG DENGAN KESENANGAN

 LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 6)

————————————————————————

ALLAH MENGUJI SESEORANG DENGAN KESENANGAN

————————————————————————




Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ


Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Al-An’am 6:44


       ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian  ringkas mengenai ayat diatas :


1) Allah SWT menceritakan perihal sekumpulan manusia yang ‘amat berjaya dalam hidupnya’ tetapi mereka  mengabaikan atau berpaling dari  melaksanakan perintahNya. Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berkuasa, berjawatan besar dan memiliki harta kekayaan yang melimpah-ruah .

Mereka ini tahu tentang  adanya suruhan dan tegahan Tuhannya   , akan tetapi mereka berterusan mengabaikan perintah Allah dan   RasulNya .

Mereka itu makin hari  semakin lalai dari mematuhi ajaran agamanya.


2) Allah   SWT akan menguji mereka dengan  berbagai  jenis kesenangan dan kemewahan hidup. Semua perniagaan yang diceburi  amat berjaya dan mendapat keuntungan besar .  Disamping itu mereka  terus dianugerahkan pangkat dan jawatan  tinggi , mendapat banyak bintang kebesaran  dan dalam masa yang sama keadaan kesihatan   mereka   sangat baik dan tidak ditimpa sebarang penyakit. Mereka dikira amat ‘berjaya’ sekali dalam  hidupnya.


3) Kesenangan yang diperolehi ini 

menjadikan mereka golongan yang tidak bersyukur kepada Allah SWT. Pelbagai nikmat dunia yang diterima tidak mendidik mereka menjadi manusia yang tawaddu’ , malahan mereka menjadi angkuh dan makin ingkar terhadap perintah-perintah Tuhannya . Ini menyebabkan hati mereka makin keras dan jauh dari mahu mengingati Allah SWT.


4) Keadaan mereka ini ibarat anak-anak yang dimanjakan  oleh ibu bapa mereka yang mana segala apa yang diminta sentiasa ditunaikan dan tidak pernah dihampakan. Begitulah mudahnya mereka mempunyai peluang untuk menambah harta sebanyak yang dikehendaki iaitu seolah-olah Tuhannya sangat menyayangi atau memanjakan mereka.


5) Mereka ini terus menyangka bahawa kemewahan dan kesenangan itu sudah menjadi ‘hak istimewa’ bagi mereka . Tahap keingkaran mereka kepada Allah SWT   makin meningkat dan mereka semakin angkuh dengan pangkat besar , kuasa yang dimiliki dan tambahan pula mempunyai bilangan para pengikut atau penyokong   yang semakin ramai.


6) Sifat  takabbur  mereka itu  tidak teragak-agak  mendorong mereka  melakukan kemungkaran dan mengabaikan ajaran al-Quran, maka  ini telah menyebabkan Allah SWT   menjadi murka kepada mereka.   Akibatnya mereka ditimpa ujian   berbentuk musibah secara tiba-tiba yang mana menyebabkan kekayaan yang mereka miliki  hilang secara mengejut . Allah  SWT juga mendatangkan ujian berbentuk bala bencana  atau  serangan wabak penyakit yang tidak disangka-sangka yang memusnahkan kekayaan mereka secara tiba-tiba. Mereka itu  kemudiannya menjadi golongan yang berputus asa setelah semua kemewahan yang dimiliki telah lenyap daripada mereka satu demi satu .


7) Mereka yang diuji   sedemikian ini adalah mereka yang lupa dengan kebesaran Allah SWT dan mereka ini tidak pernah bersyukur semasa mereka mendapat kemewahan , kesenangan dan kuasa yang dianugerahkan oleh Tuhannya.

Setelah Allah SWT menarik balik  kekuasaan dan kekayaan yang dipinjamkan kepadanya itu barulah mereka tersentak dan mahu menyesal , lantas hendak kembali semula mematuhi perintah Allah dan RasulNya. 


8)Al-Hasan al-Bashri RA mengatakan , “Barangsiapa yang diluaskan oleh Allah SWT  (rezekinya) namun dia tidak melihat (tidak sedar) bahwa Allah SWT itu memperdayanya, bererti dia tidak mempunyai fikiran. Barangsiapa yang disempitkan oleh Allah SWT  namun dia tidak melihat (tidak sedar) bahwa Allah SWT menangguhkan (kesenangan untuknya) bererti dia tidak punyai fikiran.”

Kemudian dia membaca ayat (Al-An’am:44) berikut ini:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ


Al-Hasan RA berkata: Demi Rabb Ka’bah, Dia (Allah) menipu ( memperdaya) mereka dengan cara mereka diberi segala keperluannya kemudian mereka disiksa.”

(Diriwayat oleh Ibnu Abi Hatim)


Kesimpulan


Orang-orang beriman mestilah mengambil pelajaran  bahawa Allah SWT  berkuasa mencuba mereka dalam berbagai bentuk ujian. 

Adakalanya mereka tidak sedar bahawa kekuasaan dan kesenangan yang mereka miliki secara terus menerus itu adalah ‘ujian besar’ dari Allah  SWT.


Sesungguhnya Allah SWT mendatangkan cobaan untuk melihat sejauh mana kepatuhan mereka kepadaNya tatkala kemewahan itu datang mencurah-curah kepada mereka.

Ramai manusia tidak sedar bahawa  ujian  dalam bentuk  kesenangan itu ada lah  proses ISTIDRAJ yang  dikenakan Allah SWT  keatas diri mereka.


Bagi mereka yang dibukakan pintu hatinya untuk kembali kepada Tuhannya, mereka akan sedar keatas segala kesilapan yang mereka lakukan. 

Bagi mereka yang tidak mahu kembali kepada Tuhannya , mereka akan terus menerus lalai dan makin kuat penolakan mereka kepada perintah-perintah Allah SWT.


Semoga perkongsian diatas dapat mengingatkan kita supaya menjadi golongan yang bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan Allah SWT . Ingatlah lawan kepada syukur adalah kufur kepada nikmatNya .

Ingatlah kepada firmanNya:


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Ibrahim 14:7


Allahu A’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 4

Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 3


Ikhlas Daripada

-Mahabob Shuib-

IKRAM AJ


#LembaranJuzukCintaIlahi

#wanitaIAJ

#IKRAMAJ

#IKRAMAmpangJaya

No comments:

Post a Comment