Friday, 12 August 2022

DERAJAT KEMULIAAN SESEORANG TIDAK DIUKUR PADA BANYAKNYA HARTA DAN RAMAINYA ANAK

PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN

Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


وَمَا أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُم بِالَّتِي تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَىٰ إِلَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ لَهُمْ جَزَاءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا وَهُمْ فِي الْغُرُفَاتِ آمِنُونَ


Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.

Saba’ 34:37


             ^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)Allah SWT menyatakan bahawa  harta benda yang melimpah banyaknya dan anak-anak yang ramai  itu bukanlah suatu petanda yang Dia menyayangi kalian.

Hakikatnya iman dan amal soleh seseorang itulah yang mendekatkan kalian kepada Tuhannya. Dia berikan pahala yang berlipat ganda kepada hamba-hambaNya yang berbuat baik dan akan menempatkan kalian  didalam Syurga yang aman dan tenteram, bebas dari segala kecemasan , ketakutan, penyakit dan hal-hal buruk lainnya.


2)Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah RA , yang berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk rupa dan harta kalian, namun yang Allah lihat hanyalah hati dan amal perbuatan kalian.”


Allah SWT sentiasa memberikan penekanan kepada soal  keimanan (hati) dan amal soleh (perbuatan) seseorang hambanya , Dia tidak  menjadikan faktor kekayaan dan ramainya anak-anak seseorang itu sebagai ‘kayu ukur’  yang menyebabkan kalian berada dikedudukan yang hampir disisiNya. 

Sebenarnya sifat-sifat  ketaqwaan , ketaatan dan amalan  seseorang hamba itulah yang mendekatkan dirinya disisi Allah SWT.


3)Ibnu Abi Hatim RA meriwayatkan dari Ali bin Abi Talib KW, dia berkata Rasulullah SAW telah bersabda,

“Sungguh didalam Syurga itu terdapat bangunan-bangunan tinggi nan indah, yang bagian luarnya boleh dilihat dari dalam , dan bagian dalamnya boleh dilihat dari luar.” Seorang lelaki dari suku pendalaman bertanya, ‘Untuk siapakah bangunan tinggi itu?’  Rasulullah SAW menjawab, “Untuk orang yang tutur-katanya baik, memberikan sedekah makanan kepada orang miskin, selalu berpuasa dan melakukan solat dimalam hari ketika orang lain lena tidur.”

-Hadis Hasan oleh  at-Tirmidzi (No.1984)


4)Allah SWT menyeru kepada Rasulullah SAW supaya memberitahu kepada hamba-hambaNya bahawasanya rezeki mereka ditentukan oleh Allah SWT

 melalui firmanNya,


قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi Rezeki".

Saba’ 34:39


Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa  meluaskan  rezeki  dan menyempitkan rezeki seseorang. Justeru janganlah kalian 

takut hidup dalam kemiskinan disebabkan kalian belanjakan harta kejalan yang boleh mendekatkan diri kalian kepadaNya supaya kalian beroleh rahmat dan keredhaan dariNya.

Apa saja yang kalian belanjakan  sudah pasti Allah akan menggantikannya dengan pahala diakhirat.

Allah SWT adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki yang boleh memberikanmu  rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka. (Rujuk surah At-Talaq ayat 2-3 )


5)Allah SWT menyatakan orang yang membelanjakan hartanya dijalan  agamaNya, ibarat orang itu memberikan pinjaman kepada Tuhannya. Balasannya adalah pahala yang berlipat-ganda yang akan dianugerahkan diakhirat nanti.

Allah Azza wa Jalla  menegaskan perkara ini dalam ayat-ayat berikut:


i)Surah Al-Baqarah 2:245


مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ


Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Menyempit dan Yang Meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.


ii)Surah Al-Hadid 57:11


مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجْرٌ كَرِيمٌ


Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!


6)Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Pada setiap pagi , seseorang hamba akan didatangi oleh dua orang malaikat, yang satu ini berdoa, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang membelanjakan hartanya,” manakala yang satu lagi berdoa, “Ya Allah! Berikanlah kehancuran keatas orang yang kedekut untuk membelanjakan hartanya.”

-Hadis sahih dari Imam al-Bukhari dan Muslim.


7)Allah SWT mengingatkan hamba-hambaNya bahawasanya harta benda dan anak-anak itu adalah perhiasan dan ujian keatas mereka. 

Janganlah dua perkara ini yang melalaikan kalian dari mengingatiNya. Dia tegaskan perkara ini dibeberapa ayat berikut:


i)Surah Al-Kahfi 18:46


الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا


Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.


ii)Surah Al-Munafikun 63:9


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.


Sesungguhnya mereka yang dilalaikan oleh urusan harta benda dan anak pinak adalah golongan yang rugi. Perkara inilah yang mestilah dijauhi oleh orang-orang beriman.


Kesimpulan


Menurut penjelasan diatas, Allah SWT menjanjikan kepada orang-orang beriman dan yang beramal soleh, kelak mereka akan diberikan kenikmatan ditempat yang tinggi lagi mulia diSyurga dalam keadaan aman dan tenteram.

Dia juga menjanjikan pula kepada orang yang menafkahkan hartanya dijalan agama Allah , bahawa apa yang dinafkahkan itu akan digantikan olehNya diakhirat berlipat kali ganda banyaknya.


Akhir sekali berlumba-lumbalah kita mencari nikmat kedudukan  yang tinggi  diakhirat  supaya dapat berada disisi hamba-hamba Allah SWT yang mulia seperti yang dinyatakan dalam firmanNya yang berikut ini,


وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا


Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang Solehin. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

An-Nisa’ 4:69

Allahu A’lam


Rujukan

Sohih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 7

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 11


Ikhlas Daripada

-Ir Mahabob Shuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment