PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
An-Nisa’ 4:58
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:
1)Kisah turunnya ayat ini:
Ibnu Jarir RA meriwayatkan dari Ibnu Juraij RA, dia berkata, “Ayat ini diturunkan berkenaan Uthman bin Talhah (pemegang kunci Ka’bah) diketika Rasulullah SAW mengambil kunci Ka’bah darinya (pada hari Fathu Makkah). Baginda lalu memasuki kedalamnya . Disaat baginda keluar , baginda membaca ayat (An-Nisa’ 4:58 ) yakni “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menunaikan amanah kepada ahlinya …….”
Baginda pun lalu memanggil Uthman bin Talhah dan menyerahkan kembali kunci itu kepadanya.”
Ibnu Jarir menambah lagi, “Pada saat Rasulullah SAW keluar dari Ka’bah sambil membaca ayat ini , lalu Umar bin al-Khattab mengatakan dia belum pernah mendengar ayat tersebut .”
-Ath-Thabari (VIII/492)
Allah SWT mengkhabar kepada Rasulullah SAW supaya mengekalkan tanggung-jawab penjagaan Ka’bah ini terus kepada Uthman bin Talhah diatas sifat amanahnya menjalan tugas dengan baik sebelum itu. Uthman bin Talhah sangat tertarik dengan budipekerti baginda dan akhirnya beliau memeluk Islam.
2)Allah SWT menegaskan bahawa Dia memerintahkan orang beriman supaya menunaikan amanat kepada ahlinya (kepada yang berhak). Didalam hadis al-Hasan RA dari Samurah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tunaikanlah amanah kepada yang memberikan amanah dan jangan khianati orang yang mengkhianati kepadamu.”
-Hadis riwayat Imam Ahmad dan para penulis kitab Sunan.
3)Amanah itu ada beberapa jenis, diantaranya:
i)Pertama: Adalah mencakupi seluruh amanah yang wajib bagi manusia, berupa hak-hak Allah terhadap para hambaNya seperti solat, zakat, puasa, bayar kafarat, tunaikan nadzar dan yang semisal dengannya. Semuanya itu merupakan amanah yang dipikulkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
ii)Kedua: Adalah hak-hak sebahagian hamba atas bahagian yang lainnya seperti urusan penyimpanan harta , tidak melakukan penyelewengan , tidak khianat dan seumpamanya , yang merupakan amanah yang dipercayakan dari seseorang kepada orang yang lain.
Maka Allah SWT memerintahkan agar menunaikannya. Barang siapa yang tidak melakukan didunia , dia akan dipertanggung-jawabkan pada hari Kiamat kelak.
iii)Ketiga: Adalah amanah seorang kepada dirinya sendiri . Contohnya ialah membuat pilihan sesuatu yang bermanfaat untuk kesihatan diri dan juga agamanya.
4)Allah SWT memerintahkan seseorang menetapkan hukuman diantara manusia mestilah dilakukan secara adil.
Muhammad bin Ka’ab, Za’id bin Azlam dan Syahr bin Hausyab berkata: “Sesungguhnya ayat (An-Nisa’ :58) ini untuk para umara’ iaitu yang diberi amanah memutuskan sesuatu hukum diantara manusia.”
-Ath-Thabari (VIII/490)
5)Allah SWT menyuruh melakukan keadilan seperti yang diperintahkan dalam beberapa ayat al-Quran, contohnya:
i)Surah Al-Maidah 5:8
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
ii)Surah Al-Hujurat 49:9
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang (bersengketa) maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
iii)Surah Al-An’am 6:152
وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
"Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".
6)Didalam satu hadis disebutkan:
“Sesungguhnya Allah akan selalu bersama seorang hakim selagi dia tidak berlaku zalim. Apabila dia berlaku zalim , maka Allah akan membiarkan ia dengan dirinya sendiri.”
-Ibnu Majah (No.2312) dan at-Tirmizi (No.1330).
7)Al-Quran telah menunjukkan satu kaedah bagaimana cara menyerahkan sesuatu jawatan kepada seseorang.
Perkara ini telah dicadangkan oleh anak perempuan Nabi Syuaib AS sewaktu mencadangkan kepada ayahnya supaya memilih seorang yang bermusafir (iaitu Nabi Musa AS) menjadi pengembala kambing bagi keluarganya.
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
Al-Qasas 28:2)
Ini menunjukkan disamping memiliki kekuatan , kepandaian serta kecerdasan peribadi, sifat amanah itu amatlah diutamakan dalam melantik seseorang.
Kesimpulan
Ayat yang dibincangkan diatas menegaskan pentingnya menunaikan amanah dan menjalankan hukum keatas manusia dengan adil.
Seperti yang disebutkan, kedua-dua tanggung-jawab menunaikan amanah dan berlaku adil itu adalah mendekatkan seseorang dengan sifat taqwa kepada Allah SWT.
Dengan sendirinya bererti apa yang ditekankan oleh Allah SWT ini adalah untuk kebaikan , kebahagiaan dan keberuntungan manusia itu sendiri baik untuk kesejahteraan hidup didunia dan juga bagi mengelakkan azab Tuhannya diakhirat .
Oleh itu bagi melantik seorang ketua atau pemimpin, mestilah dipastikan seseorang itu benar-benar memiliki sifat amanah, sentiasa menegakkan keadilan disamping memiliki sifat bertaqwa dan mematuhi perintah-perintah Allah dan RasulNya.
Allahu A’lam
Rujukan
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 3
Ikhlas Daripada
-Ir MahabobShuib-
IKRAM AJ
No comments:
Post a Comment