Friday, 2 September 2022

PELIHARALAH DIRIMU DARI AZAB ALLAH

 LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 7)

———————————————

PELIHARALAH DIRIMU DARI  AZAB ALLAH 

———————————————



Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah  siksaan  (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksaNya.

Al-Anfal 8:25


            ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian  ringkas mengenai ayat diatas:


1)Al-Fitnah : Cubaan ,  ujian ataupun bencana. 

Makna ayat: Peliharalah dirimu, jangan sampai terjadi dikalangan kamu bencana-bencana yang tidak khusus menimpa keatas orang yang melakukan maksiat  (dan kezaliman ), tidak dikhususkan kepada si pelaku maksiat sahaja atau yang melakukan perbuatan dosa. 

Cubaan dan ujian ini ditimpakan secara menyeluruh jika musibah itu tidak dicabut atau diangkat oleh Allah SWT.


Diantara perkara-perkara yang biasa  berlaku didalam masyarakat itu adalah 

kemungkaran yang wujud  secara berluasa , perpecahan suku-suku   kaum ataupun bangsa yang sangat meruncing yang mencetuskan api permusuhan , merebaknya amalan-amalan  bid’ah, penyelewengan akidah dan   amalan agama dan keburukan lainnya dalam bidang akhlak,  sosial dan ekonomi  dalam masyarakat.


Ketika hal sebegini terjadi , dikalangan ahli masyarakat didapati  sudah lemah dan terabai  usaha ‘amar maaruf dan pencegahan kemungkaran,  serta manusia sudah tidak memperdulikan kebobrokan yang berlaku disekelilingnya.Sikap anggota masyarakat  adalah terlalu individualistik atau tidak mahu mengambiltahu hal orang lain.


2)Ibnu Abbas  RA mengatakan mengenai penafsiran ayat ini: “Allah SWT melarang kaum muslimin untuk membiarkan kemungkaran terjadi dikalangan mereka,(sebab jika tidak ada pencegahan) maka Dia  akan menurunkan azab secara menyeluruh kepada mereka semuanya.


3)Hadis-hadis  yang ada kaitannya dengan ayat ini diantaranya: 


Hadis Pertama: 

Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dari Huzaifah bin al-Yaman RA, bahawasanya Nabi Saw bersabda, 

“Demi Dzat yang jiwaku ada ditanganNya, sungguh kalian akan beramar maaruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak dilaksanakan) hampir saja Allah akan

menimpakan  azab kepada kalian, kemudian kalian sungguh-sungguh berdoa kepadaNya (minta dicabutkan azab), tetapi Allah tidak menunaikannya.”


Hadis Kedua: 

Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dari Ibnu Jarir bin Abdillah RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda:

“Tidak ada suatu kelompok manusia dilakukan diantara mereka  pelanggaran terhadap batasan Allah (kerja maksiat) , pada hal orang yang tidak bermaksiat lebih kuat dan lebih  ramai dari orang yang melakukannya, namun mereka tidak mengubahnya, melainkan Allah akan merasakan hukuman kepada mereka semua.” 

(Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah).


Hadis Ketiga: 

Hadis riwayat Imam Ahmad dari Nu’man bin Bashir RA ini agak panjang . Secara ringkasnya : “Nabi SAW mengumpamakan suasana mereka yang belayar  didalam sebuah kapal. Mereka yang tinggal dibahagian ‘perut  kapal’ tidak mahu guna tenaga mereka  untuk naik keatas kapal  bagi mendapatkan air. Sebaliknya mereka mengambil jalan mudah dengan menebuk dinding kapal untuk dapatkan air. Sekiranya perbuatan yang buruk dan berbahaya   ini tidak ditegah oleh orang lain maka akan menyebabkan kapal jadi bocor dan karam. Akhirnya semua penumpang dan anak-anak kapal akan tenggelam . “

(Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari).


4)Dizaman para sahabat Nabi SAW sendiri  telah berlaku suatu fitnah yang besar sesudah  peristiwa pembunuhan Saidina Othman bin Affan RA . Pada masa itu berlakulah tidak puas hati  dikalangan para pengikut Muawiyah bin Abu Sufyan RA terhadap Khalifah  Ali bin Abi Talib KW sehingga berkesudahan dengan berlakunya   Fitnatul Jamal (peristiwa unta) di Siffin yang mana mengorbankan  ramai para sahabat Nabi SAW . Para perosak utama dalam masyarakat Islam pada masa itu adalah puak  zindiq Yahudi, Majusi dan lainnya yang berperanan sebagai penghasud dan penyebar berita palsu dikalangan penyokong kedua belah pihak yang berselisih. Inilah sejarah hitam yang berlaku dikalangan para sahabat Rasulullah SAW.


5)Allah SWT mengatakan bahawa  azab siksa Nya amat berat  terhadap peribadi atau kaum yang menyalahi sunnahNya tanpa mengira samada penduduk  yang menyalahi  ataupun yang mematuhi  perintah-perintahNya. Maknanya mereka yang melakukan kemungkaran dalam masyarakat akan menerima balasan azab dari Allah SWT, namun mereka yang berdiam diri dan  tidak mengambil langkah pencegahannya akan juga menerima kesan akibatnya sekali.


6)Al-Quran telah menasihatkan umat Islam supaya mengambil pelajaran dari saranan yang  terdapat  dalam surah Al-A’raf yang berikut ini:


وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ


Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka itu bertaqwa".

Al-A’raf 7:164


Ayat diatas mengajarkan bahawa  hendaklah sentiasa ada orang-orang yang  soleh dalam masyarakat yang bertindak sebagai penegur  kepada kaumnya yang berbuat salah  (iaitu Bani Israel  dalam kes ini) yang keluar menangkap ikan pada hari terlarang (Sabtu). Janganlah pula ada ahli masyarakat menjadi   seperti golongan yang ketiga  iaitu yang memperkecilkan usaha  orang yang  soleh memberi ingatan  kepada kumpulan yang melanggar perintah Tuhannya (Ashabul Sabat).


Kesimpulan


Semoga perkongsian diatas dapat dijadikan pengajaran kepada kita semua supaya sentiasa berasa sensitif dan mengambil berat keatas perkara yang terjadi dalam masyarakat ataupun dalam negara . Sekiranya masing-masing diam membisu sedangkan ada ahli masyarakat yang bertindak  jahat sebagai “penebuk dinding kapal”  , maka tunggulah mala petaka  besar yang akan berlaku dan kesannya akan menimpa  seluruh ahli masyarakat dan negara semuanya.

Allahu A’lam


Rujukan

Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 4

Tafsir Al-Maraghiy  - Jilid 5


Ikhlas Daripada

-Mahabob Shuib-

IKRAM AJ


#LembaranJuzukCintaIlahi

#wanitaIAJ

#IKRAMAJ

No comments:

Post a Comment