PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".
Ali Imran 3:61
^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas :
1)Sedikit latar belakang kenapa diturunkan surah Ali Imran ayat
ke61 ini :
Ada riwayat mengatakan sekumpulan delegasi Nasrani dari Najran datang keMadinah pada tahun 9 Hijrah untuk berjumpa Rasulullah SAW. Ini adalah perutusan pertama setelah mereka menerima surat yang dikirim oleh baginda SAW kepada ketua kabilah mereka mempelawa dengan baik supaya puak mereka menganut Islam.
Perutusan mereka berkata kepada Rasulullah SAW, “Kenapa Tuan mencela sahabat kami ?” (Maksud nya adalah Nabi Isa AS).
Baginda bertanya, “Apa yang saya telah lakukan?”
Mereka berkata, “Tuan mengatakan dia (lsa) adalah hamba Allah.”
Baginda menjawab, “Memang dia adalah hamba Allah , RasulNya, dan kalimah Allah yang diberikanNya kepada seorang perawan suci, yang tiada bersuami.”
Lalu mereka marah dan berkata, “Pernahkah Tuan melihat seorang manusia lahir tanpa ayah? Jika Tuan benar, maka perlihatkan contohnya kepada kami?”
2)Allah SWT telah pun menjawab pertanyaan mereka itu dengan turunnya ayat al-Quran berikut ini,
إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِن تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُن فَيَكُونُ
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.
Ali Imran 3:59
Penciptaan Adam AS sebenarnya adalah lebih menakjubkan kerana baginda tidak mempunyai ibu dan ayah, sedangkan Isa AS masih ada seorang ibu. Kalau itu mereka jadikan dasar perbandingan , itu bermakna Adam AS adalah lebih layak mereka angkat menjadi tuhan. Tetapi Allah SWT tetap menolak semua logik akal mereka .
3)Allah SWT memberitahu kepada Rasulullah SAW bahawa sekiranya kaum Nasrani masih mahu menegakkan kepercayaan mereka, maka ajaklah kaum keluarga mereka seluruhnya bertemu untuk bermubahalah (sumpah kutukan) bagi menentukan kumpulan manakah berada dipihak yang benar atau kumpulan mana pula yang berdusta?
Apabila Rasulullah SAW mencabar mereka untuk mengadakan mubahalah, mereka minta masa untuk berbincang sesama mereka. Orang-orang Nasrani sangatlah gerun kerana kaum mukmin bersungguh-sungguh untuk mengadakan mubahalah itu sehinggakan kaum mukmin sanggup melibatkan para isteri dan anak-anak mereka.
Diriwayatkan, setelah turun ayat 61 dari surah Ali Imran ini, Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada Ali bin Abi Talib RA dan isterinya Fatimah mengenai doa mubahalah . Baginda juga meminta Abu Bakar RA , Umar RA , Uthman RA mempersiapkan keluarga mereka bagi menghadapi majlis mubahalah dengan puak Nasrani ini.
Begitulah seriusnya baginda menghadapi isu mubahalah ini.
5)Puak Nasrani Najran meminta tempoh tiga hari sebelum mereka boleh memberi jawaban kepada Rasulullah SAW.
Mereka pergi berbincang dengan para pemimpin kaum Yahudi diMadinah.
Mereka (kaum Yahudi) itu menasihatkan Nasrani Najran supaya tidak meneruskan mubahalah dengan kaum mukmin itu.
Puak Nasrani Najran akhirnya akur dengan nasihat seorang ‘alim (pendeta) dikalangan mereka, “Demi Allah, hai kaum ku , sungguh kalian telah ketahui bahawa Muhammad itu adalah Nabi yang diutus Tuhan. Dan dia telah menyampaikan kepada kalian tentang perkara sebenar mengenai junjungan kalian (Nabi Isa). Dan kalian sudah tahu, tidak ada suatu kaum yang bermubahalah dengan seorang Nabi Allah melainkan tidak ada tersisa lagi (terhapus) mereka dan anak cucu mereka. Sungguh jika kalian melakukannya juga maka kalian akan binasa. Kalau kalian masih sayangkan saudaramu Isa , tinggalkanlah Muhammad dan kembalilah kenegeri kalian.”
6)Kemudian mereka datang semula berjumpa Rasulullah SAW bagi menyampaikan keputusan keengganan mereka untuk bermubahalah dengan kaum mukmin.
Sesungguhnya perbuatan mereka itu menunjukkan sikap ragu-ragu mereka keatas keyakinan akidah mereka yang tidak benar mengenai Nabi Isa.
Sebenarnya dikalangan orang-orang Nasrani sendiri telah wujud berbagai pendapat mengenai status Nabi Isa.
Ada yang yakin bahwa Isa itu adalah Tuhan (Allah) kerana dipercayai dia boleh menghidupkan orang yang telah mati , boleh menyembuhkan pesakit kusta dan boleh mencipta burung dari tanah liat;
Ada pula yang yakin Isa itu adalah anak Allah (Son of God) kerana dia tiada bapa dan semasa bayi dia sudah boleh berkata-kata; Manakala kumpulan ketiga yakin bahawa Isa adalah salah satu dari Triniti (tiga cabang mengenai ketuhanan) seperti yang dipercayai ramai orang Kristian dihari ini.
Ini jelas menunjukkan pihak Nasrani tidak mempunyai keyakinan yang mantap terhadap Nabi Isa seperti apa yang dipercayai oleh kaum mukmin mengenainya. Mereka telah mengubah sesuka hati isi kandungan Kitab-Kitab yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa AS sebelum itu.
7)Akhirnya perutusan kaum Nasrani Najran bersetuju tidak mengadakan mubahalah dan sebaliknya bersetuju untuk membayar jizyah tahunan kepada pemerintahan Islam diMadinah . Maka Rasulullah SAW telah bersetuju melantik seorang sahabat bernama Abu Ubaidah al-Jarrah RA bagi menguruskan perkara jizyah itu.
Kesimpulan
Huraian ringkas diatas menunjukkan ketegasan baginda Rasulullah SAW dalam mempertahankan kesucian Nabi Isa AS sebagai seorang Rasul Allah dan bukannya Anak Allah ataupun Tuhan seperti yang percayai oleh puak Nasrani.
Oleh itu kita umat Islam mestilah berusaha menambah ilmu supaya tidak dikelirukan oleh puak Nasrani yang aktif berdakwah dikalangan masyarakat Islam dewasa ini. Umat Islam mesti jelas mengenai Konsep Tauhid seperti yang dijelaskan oleh surah Al-Ikhlas dan tidak boleh kompromi terhadap pihak yang ingin mengelirukan generasi anak-anak muda umat Islam.
Akhir sekali, mubahalah bukanlah sesuatu yang boleh diadakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak tanpa tujuan yang jelas seperti yang ditunjukkan oleh sirah Nabawiyyah SAW seperti diceritakan diatas. Maknanya sesiapa yang ingin melakukan mubahalah mestilah berdasarkan kepada nas-nas yang sahih.
Dalam kes seseorang yang menuduh isterinya berzina, dia mesti mendatangkan empat orang saksi .Sekiranya dia gagal , dia kena melakukan sumpah Li’an seperti yang dijelaskan pada surah An-Nur ayat 6 hingga 9.
Dan sekiranya mubahalah itu dibuat berkaitan sesuatu kes yang sedang dibicarakan dimahkamah, maka eloklah perkara itu serahkanlah kepada pihak hakim yang mengadili kes tersebut membuat keputusannya yakni setelah hakim itu mendengar fakta-fakta dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak pendakwa dan juga pihak pembela. Mubahalah sebegini tidak boleh mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah.
(Negara ini mempunyai undang-undang yang lengkap bagi sesuatu kes civil , jenayah atau pun kes syari’ah).
Allahu A’lam
Rujukan
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 2
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2
Sejarah Lengkap Rasulullah SAW oleh Prof Dr Ali Muhammad Ash-Shallabi - Jilid 2
Ikhlas Daripada
-Ir MahabobShuib-
IKRAM AJ
No comments:
Post a Comment