PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman :
إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا
إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا
وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا
إِلَّا الْمُصَلِّينَ
الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ
-Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat keluh-kesah (lagi bakhil kedekut);
-Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;
-Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;
-Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat,
-Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.
Al-Ma’arij 70:19-23
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat-ayat diatas :
1)Manusia itu dijadikan bersifat keluh- kesah, mudah hilang sabar dan tamak. Apabila dia ditimpa kesusahan, miskin, gagal dalam sesuatu ujian atau menanggung kesakitan , dia mula mengadu kepada orang lain dan berasa keluh-kesah.
Apabila dia menjadi senang , kaya atau sihat sejahtera , dia enggan berbuat baik dan menjadi bakhil dengan hartanya itu.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah RA , dia mengatakan Rasulullah SAW bersabda:
“Seburuk-buruk perkara pada seseorang adalah kekikiran yang disertai kegelisahan dan ketakutan yang berlebihan.”
-Imam Ahmad (II/302)
2)Manusia yang memiliki sifat-sifat tercela seperti tamak , bakhil dan tidak mahu membantu orang lain yang susah itu layak menerima kemurkaan Tuhannya kecuali orang yang memohon supaya Allah SWT mempermudahkan urusan peribadinya melalui amalan solat. Dia mesti lah melakukan solatnya tepat pada waktunya
dan tidak disibukkan dengan urusan-urusan peribadi yang lain.
Solat fardhu lima kali sehari itu adalah agenda atau rutin tetap hariannya yang tidak boleh dikompromi dengan aktiviti lain dari segi prioriti nya.
Orang yang tekun mengerjakan solat secara konsisten, dia dijaga oleh Allah SWT, dibimbing dan diberi taufik olehNya menuju jalan kebaikan. Dia akan dimudahkan untuk mengerjakan solat sekiranya pekerjaannya itu dilakukan dengan ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Tuhannya.
3)Ada yang berpendapat orang yang tetap melakukan solat itu bererti dia sentiasa melakukannya dengan tenang dan khusyu’. Ini sesuai dengan firmanNya:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
-Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
-Iaitu mereka yang khusyu’ dalam solatnya;
Al-Mukminun 23: 1-2
Orang yang khusyu’ dalam solatnya adalah ia melakukannya dengan tenang dan tidak terburu-buru yakni dia bukannya hanya “mematuk-matuk seperti burung gagak” yang sedang makan.
Orang yang bersolat seperti ini tidak beruntung dalam solatnya.
Orang yang melakukan solat secara terus menerus itu adalah menepati sebuah hadis dari Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Perbuatan yang paling disukai Allah adalah yang terus menerus dilakukan, meskipun sedikit.”
-Hadis riwayat Imam Muslim (No.785).
4)Perbuatan solat sering dihubung-kaitkan dengan usaha mencegah kemungkaran seperti mana disebutkan
melalui firmanNya dalam al-Quran:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Al-Ankabut 29:45
Maksudnya solat itu mencakupi dua pengertian:
Pertamanya , solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana pelakunya sering berjanji didalam solatnya
meminta Tuhan membimbingnya kejalan yang benar (lurus).
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah RA, bahawa dia berkata, “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW seraya berkata, ‘Ada seorang si Fulan sering melakukan solat malam, namun keesokan harinya dia mencuri.’
Maka baginda menjawab:
“Sungguh , (jika solat yang dilakukan itu benar), pasti akan mencegahnya dari perbuatan itu.”
Keduanya, solat yang mencakupi upaya zikrullah dapat membentuk peribadi seseorang . Inilah tujuan yang paling besar. Oleh sebab itu, ayat (Al-Ankabut : 45) tersebut menekankan zikir kepada Allah itu adalah sangat besar faedahnya
kepada diri seseorang.
5)Manusia juga diperintahkan memohon pertolongan kepada Allah SWT dengan sabar dan solat.
Ini dinyatakan pada firmanNya yang berikut ini:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
-Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu’;
-(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
Al-Baqarah 2:45-46
Dengan firmanNya ini , Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk meraih kebaikan didunia dan diakhirat yang mereka dambakan itu dengan cara menjadikan kesabaran dan solat sebagai penolong mereka.
Yang dimaksudkan dengan sabar itu adalah menahan diri dari melakukan perbuatan maksiat . Perbuatan maksiat ini hanya dapat dielakkan sekiranya seseorang itu melakukan solatnya dengan khusyu’ dan tenang serta memohon pertolongan supaya Allah SWT melindungi dirinya setiap masa dari gangguan Syaitan yang ingin menyesatkannya.
6)Sifat keluh-kesah itu tidak dapat diubati sekiranya seseorang itu lalai terhadap solatnya . Ayat al-Quran yang sering dibaca seharian adalah :
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ
الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
-(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat;
-(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya;
Al-Ma’un 107:4-5
Lalai disini mencakupi:
i)Lalai dengan tidak mengerjakannya pada awal waktu, sehingga dia selalu menunda-nundanya sampai akhir waktu.
ii)Lalai dengan tidak melakukan rukun-rukun dan syarat-syaratnya menurut kaedah yang sepatutnya.
iii)Lalai dengan tidak khusyu’ dalam solatnya.
iv)Lalai dengan tidak memahami dan merenungkan makna bacaan solat itu.
7)Allah SWT menegur orang yang bersolat tetapi ibarat solatnya orang munafik.
Perkara ini dinyatakan dalam firmanNya yang berikut ini:
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya’ (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
An-Nisa’ 4:142
Kesimpulan
Ada manfaatnya diakhir perbincangan ini dibawakan firmanNya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
Al-Baqarah 2:153
Bagi orang yang dirundung perasaan keluh-kesah , sebenarnya tidak boleh lari dari melakukan dua perkara penting iaitu sabar dan solat.
Bagi seseorang yang menghadapi masalah besar dalam hidupnya , dia perlu bersabar dalam mengenalpasti punca sebenar isu yang hadapi nya itu dan cuba mencari jalan penyelesaiannya berdasarkan kaedah yang digariskan oleh syari’at Islam.
Setelah melakukan berbagai cara penyelesaiannya, semua tindakan itu mestilah disusuli dengan meminta pertolongan kepada Allah SWT iaitu melakukan solat dengan khusyu’ dan banyak berdoa kepadaNya supaya ditemukakan jawabannya.
Kalau masalah kehilangan harta-benda yang menyebabkan dia resah gelisah, maka dia perlu rasa bersyukur bahawa diluar sana ramai orang yang lebih susah daripadanya.
Jadi orang yang keluh-kesah mestilah lebih mendekatkan diri dengan Tuhannya kerana Allah SWT sangat hampir kepada hambaNya dan dia bersedia memperkenankan setiap doa dari hambaNya.
Hal ini bersesuaian dengan firmanNya :
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
Al-Baqarah 2:186
Allahu A’lam.
Rujukan
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 1,7,9
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 15
Ikhlas Daripada
-Ir MahabobShuib-
IKRAM AJ
No comments:
Post a Comment