LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 9)
——————————————————————————————
ORANG BERIMAN PASTI DIUJI
——————————————————————————————
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
-Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
-Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Al-Ankabut 29:2-3
^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat-ayat diatas :
1)Dalam ayat-ayat diatas Allah SWT telah mengajukan pertanyaan kepada hamba-hambaNya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengaku beriman tanpa diuji dengan sesuatu ujian?”
Sekali-kali tidak. Sesungguhnya Allah SWT akan menguji mereka dengan tanggung-jawab yang berat, umpamanya umat Islam yang ditindas diMakkah, mereka terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halaman, berjihad dimedan perang, berjuang melawan keinginan hawa nafsu, melaksanakan ketaatan kepadaNya dan sanggup menerima pelbagai musibah melibatkan harta dan nyawa.
Ujian ini semuanya bertujuan untuk mengenali diantara mereka siapakah orang-orang yang ikhlas berpegang teguh pada agama Islam berbanding dengan orang yang masih was-was terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
2)Sesungguhnya Allah SWT membalas setiap diri orang beriman setimpal dengan martabat setiap amalannya bersesuaian dengan firmanNya :
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
Ali Imran 3:142
3)Allah SWT menegaskan bahawa Dia telahpun menguji para pengikut nabi-nabi terdahulu dengan pelbagai bencana kesusahan dan kesengsaraan, malah mereka tetap bersabar dan berpegang teguh terhadap agama mereka. Contohnya ialah berbagai jenis siksaan yang dilalui oleh para pengikut Nabi Musa dan juga Nabi Isa AS seperti yang diceritakan dalam al-Quran. Ada diantara mereka mengadu kepada nabi mereka bilakah akan datang pertolongan dari Allah?
Jawaban kepada pertanyaan mereka itu ada dinyatakan dalam firmanNya yang berikut:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Al-Baqarah 2:214
4)Imam al-Bukhari, Abu Dawud dan Al-Nasa’ie ada meriwayatkan daripada Khabbab ibn al-‘Arat RA yang berkata,
“Kami mengadu kepada Rasulullah setelah kami menerima penganiayaan dari kaum musyrikin. Kemudian kami pun bertanya, “Mengapa tuan tidak memohon perlindungan untuk tuan dan juga untuk kami?” Lantas baginda menjawab, “Dulu pernah ada orang sebelum kamu yang diseret, lalu digalikan lobang dan dia ditanam sehingga paras leher. Kemudian kepalanya digergaji menjadi dua , manakala daging serta tulangnya dipanggang. Namun keadaan itu tidak menghalang mereka dari berpegang teguh kepada agamanya.Demi Allah! Sesungguhnya Dia akan memberi pertolongan sehinggakan orang yang menaiki kenderaan dari San’a ke Hadramaut tidak lagi berasa takut, kecuali kepada Allah sahaja dan takut kepada serigala yang akan menerkam kambingnya.
Tetapi mengapa kamu terburu-buru meminta kemenangan?”
5)Allah SWT sentiasa memberikan ujian kepada hamba-hambaNya yang beriman sesuai dengan derajat keimanan yang dimiliki oleh seseorang. Hal ini sebagai mana terdapat dalam sebuah hadis sahih yang berikut:
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang soleh, kemudian disusuli orang-orang mulia berikutnya. Seseorang diuji dengan kadar pengalaman agamanya. Bila dalam mengamalkan agama nya ia begitu kuat, maka makin keras pula cubaannya.”
(Hadis sahih dari At-Tirmizi dan Ahmad.
Disahihkan oleh Sheikh al-Albani).
6)Orang-orang yang mengaku telah beriman mestilah kekal istiqamah dan tahan menempuh sebarang cubaan atau ujian. Malangnya ramai yang menganggap ujian yang dihadapi itu seolah-olah sebagai siksaan dari Allah keatas dirinya.
Perkara ini ada disebutkan oleh al-Quran dalam firmanNya yang berikut ini:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ وَلَئِن جَاءَ نَصْرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِي صُدُورِ الْعَالَمِينَ
Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: "Kami beriman kepada Allah"; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: "Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu". (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?
Al-Ankabut 29:10
7)Berikut ini adalah pesanan Allah SWT kepada hamba-hamba yang berjihad dijalan agamaNya:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.
Muhammad 47:31
Kesimpulan
Allah SWT mengingatkan orang-orang yang beriman bahawa kalian pasti akan diuji bagi membuktikan kita benar-benar telah beriman. Perkara ini telah pun dilalui oleh orang-orang mukmin terdahulu. Ramai dari mereka diuji dengan kemiskinan, kesusahan dan ancaman kepada jasad dan nyawa mereka.
Allah SWT juga mengingatkan kepada kita bahawa janganlah kita menyangka Dia menciptakan kita sewenang-wenang tanpa sebarang tujuan. Malah Dia menciptakan kita supaya mentaati perintahNya ,agar dapat menaikkan martabat kita kederajat yang lebih mulia dan lebih tinggi melalui berbagai ujian dan musibah dengan penuh sabar .
Bagi kita orang awam , ujian pertama yang mesti dilalui setelah mengaku beriman adalah menjalankan tuntutan ketaatan kepada perintah-perintah Allah SWT seperti mendirikan solat (dimana saja dan dalam keadaan sihat atau sakit) , menunaikan zakat, menutup aurat , menjaga akhlak dan tidak melakukan perbuatan lain yang diharamkan oleh syara’.
Tingkat keimanan kita akan lagi diuji sebaik sahaja kita mula berdakwah dan melakukan seruan kearah perkara yang ma’aruf dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat.
Begitulah seterusnya , keimanan kita akan terus diuji apabila kita bergiat di arena yang lebih mencabar lagi. Itulah apa yang difahami sebagai “Sunnatullah” dalam kerja berdakwah dan berjihad.
Allahu A’lam
Rujukan
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 10
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 7
Ikhlas Daripada
-MahabobShuib-
#LembaranJuzukCintaIlahi
#wanitaIAJ
#IKRAMAJ
#tazkirahringkas
No comments:
Post a Comment