Friday, 9 September 2022

ALLAH BERKUASA MENENTUKAN KEPADA SIAPAKAH KUASA PEMERINTAHAN HENDAK DISERAHKANNYA

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN


Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Ali Imran 3:26


         ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut ini adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)Serba ringkas mengenai sebab ayat ini  diturunkan:

Al-Wahidiy meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA dan Anas bin Malik RA bahawa sewaktu Rasulullah SAW menakluk kota Makkah, baginda menjanjikan kerajaan Parsi dan Romawi  akan umat Islam kuasai. Mendengarkan janji baginda itu, puak munafik mengatakan perkara itu adalah mustahil dicapai kerana mereka beranggapan kedua kuasa besar itu adalah terlalu kuat buat umat Islam  kerana mereka mempunyai tentera yang ramai dan kelengkapan perang yang sangat hebat. Sebagai menjawab ejekan puak munafik itu , lalu Jibril AS turun menyampaikan ayat Ali Imran :26 diatas.


2)Allah lah yang berkuasa memberikan kuasa pemerintahan kepada seseorang  dan Dia juga yang berkuasa menarik semula kuasa itu daripada sesiapa yang telah diberikan kuasa itu. Apa yang Dia kehendaki pasti akan terjadi. Maksudnya Dialah yang Mengendalikan semua ciptaanNya menurut kehendakNya.


3)Allah SWT telah membuktikan Dia berkuasa  mengalihkan kerasulan  dari Bani Israil kepada seorang Rasul dari keturunan Arab, dari suku Quraisy diMakkah bagi menutup seluruh Rasul dimuka bumi ini dengan kehendakNya yang mutlak. 

Dia telah mengangkat Nabi Muhammad SAW, seorang insan   yang ummi dengan memberikan syari’at Islam yang lengkap dan pengetahuan  mengenai perkara yang ghaib melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibril AS.


4)Allah SWT telah memberikan kuasa kepada Nabi SAW untuk mengalahkan puak kafir musyrik Makkah yang sebelum itu telah menindas  dan memusuhi kaum mukminin lebih dua puluh tahun lamanya.

Perkara ini tidak pernah terfikir oleh puak musyrik Makkah  yang pada awalnya memandang rendah pada kaum mukminin pimpinan Nabi Muhammad SAW.


5)Dengan kekuasaan Allah SWT juga lah umat Islam  dizaman pemerintahan para sahabat telah berjaya mengalahkan kuasa besar pada masa itu iaitu Romawi  dan Parsi.

Adalah diriwayatkan semasa membuat persiapan perang Ahzab, para sahabat yang mengorek  parit (khandak) telah terjumpa sebuah batu besar. Mereka tak berjaya memecahkannya  dan meminta Rasulullah SAW melakukannya. Baginda telah menggunakan alat pemecah batu dan menghentakkan kebatu itu sebanyak tiga kali sehingga batu itu pecah. Pada hentakan yang pertama baginda berdoa agar Allah kurniakan kunci Istana dinegeri Sham (Romawi Timur) kepada umat Islam. Pada hentakan kedua baginda berdoa agar dikurniakan kunci Istana Parsi. Pada hentakan ketiga pula baginda berdoa agar dikurniakan  kunci Istana Yaman.

Apabila diceritakan doa Rasulullah ini kepada para sahabat , ramai dari kalangan puak munafik yang mendengar telah mempersendakannya. Puak  munafik  menyangka perkara  yang dihajati oleh baginda itu adalah sesuatu yang amat mustahil dicapai.

Namun begitu sejarah  telah membuktikan bahawa Allah SWT telah  menunaikan doa baginda  SAW itu dengan menganugerahkan  kuasa pemerintahan  Romawi, Parsi dan Yaman kepada kaum mukminin selang tidak berapa lama setelah itu.

Begitulah Allah SWT telah mengangkat derajat bangsa Arab padang pasir  yang sebelum itu dianggap  sebagai bangsa yang lemah dan mundur yang tidak mungkin dapat mengalahkan kuasa-kuasa  besar seperti Romawi dan Parsi.


6)Allah SWT juga mengkhabarkan Dialah yang berhak mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki. 

Begitulah Dia  yang menentukan kejatuhan sesebuah kerajaan disesuatu era.

Satu  contoh yang ingin dipaparkan disini adalah mengenai kejatuhan kerajaan Islam Abbasiyah diBaghdad  kepada  puak Monggol pada tahun 656H/1258M.

Secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa kejatuhan kerajaan Islam diBaghdad adalah disebabkan  usaha-usaha  dakwah dan jihad telah  tidak dihiraukan  oleh pihak pemerintah pada masa itu. Kerajaan Abbasiyah yang asalnya dibangunkan berasaskan kritikan kuat terhadap kelemahan dan kelalaian kerajaan Bani Umayyah dalam menegakkan keadilan Islam akhirnya berkubur diwaktu  mereka juga  terjebak kedalam fitnah yang sama. Umat Islam pada masa itu lalai dengan kemajuan kebendaan  atau menjadi  “hamba dirham dan dinar”  sehingga lupa aspek  bersiap sedia dari segi ketenteraan 

bagi menangkis ancaman musuh. Para ulama dan sarjana Islam terlalu sibuk membahaskan perkara-perkara yang furu’  atau pun mereka lebih menumpukan bidang berfalsafah sahaja.

Penyelewengan aqidah juga tidak terbendung lagi dimasa itu.

Fahaman mu’tazilah, gerakan batiniyah dan ajaran Syi’ah bebas berkembang yang justeru melemahkan kesatuan dan perjuangan umat Islam. Akhirnya Baghdad telah diserang oleh tentera Monggol  dengan rakus nya , sedangkan rata-rata kaum muslimin yang ramai itu tidak terdaya untuk melawan mereka.

Disamping itu terdapat juga dikalangan  penasihat istana yang belot kepada pihak musuh. 

Apa yang berlaku itu adalah  perancangan Allah  Yang  Maha Bijaksana untuk memberi pengajaran kepada umat Islam keseluruhannya.


7)Pengalaman  pahit yang dialami oleh kerajaan Abbasiyah dikota Baghdad pada tahun 1258M itu , sekali lagi berulang keatas kerajaan Islam di Andalusia sehingga menyebabkan kejatuhannya  pada tahun 1492M.

Umat Islam yang berkuasa hampir 8 abad itu telah jatuh dalam keadaan terhina ditangan pihak Kristian Sepanyol.

Setelah begitu lama berkuasa, pemerintahan  diAndalusia mula lemah dipenghujungnya disebabkan mereka mula hidup bermewahan, kerja dakwah semakin diabaikan , sesama umat Islam mula berpecah-belah kerana semangat kebangsaan  antara umat Islam dari puak pendatang (Afrika Utara) dan puak  kelahiran tempatan. Diatas perpecahan inilah pihak Kristian mengambil kesempatan melaga-lagakan puak-puak umat Islam yang bersengketa. Puak Islam berpecah kepada lebih dua puluh kumpulan dan mereka  saling berebut kuasa sesama sendiri . Ada puak Islam yang  tanpa malu meminta pertolongan puak Kristian bagi mengalahkan kumpulan yang lain. Ada kumpulan Islam yang sanggup membayar ufti bagi mendapatkan pertolongan dari puak Kristian. Begitulah parahnya perpecahan umat Islam pada masa itu sehinggakan pihak pemerintahan diGranada tidak dapat mengawalnya. Akhirnya kerajaan Islam jatuh dan  dihalau dalam keadaan amat memalukan. Puluhan ribu umat Islam telah disembelih dengan kejamnya.


8)Begitu juga diabad moden ini kita dapat saksikan beberapa kerajaan didunia yang telah berkuasa begitu lama dinegaranya, akhirnya   telah dapat ditumbangkan oleh rakyat jelata mereka sendiri .

Kuasa pemerintahan bertukar ganti mengikut perancangan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. 

Ada para  pemimpin yang begitu lama berkuasa dengan  penuh tipu muslihat dan kekejaman  telah dapat dijatuhkan . Begitu juga ada pemimpin yang pernah dizalimi  dan dipenjarakan telah berupaya mengambil-alih tampuk pemerintahan dinegaranya.


Kesimpulan


Umat Islam telah  bergembira dengan kejayaan pasukan  Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Constantinople pada tahun 1453H. Namun begitu sejarah pahit umat Islam terus berulang apabila kerajaan Khilafah Othmaniyah diTurki yang berkuasa begitu lama telah dapat dijatuhkan oleh musuh-musuh Islam (dari luar dan dalam negara sendiri) pada tahun 1924M. Ini sekali lagi membuktikan bahawa Allah SWT Berkuasa mencabut kuasa pemerintahan daripada siapa yang Dia Kehendaki. 

Semenjak dari tarikh itu kita lihat sekali lagi negara-negara umat Islam telah berpecah-pecah dan mudah  dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat terutama Amerika dan Eropah. Sejarah yang paling malang bagi umat Islam adalah apabila bumi umat Islam Palestin diserahkan kepada pihak  Yahudi pada tahun 1948 dan tertubuhnya negara haram Israel.

Beginilah putaran sejarah yang berlaku keatas umat Islam hampir 1,500 tahun yang lalu. Dalam tempoh yang lama ini telah berlaku beberapa siri Perang Salib diantara umat Islam dan Kristian . Sekarang ini umat Islam  meskipun ramai jumlahnya , namun mereka berada pada keadaan yang sangat lemah terutama dari aspek ekonomi , ketenteraan, ilmu pengetahuan, teknologi  dan penguasaan media massa antara bangsa.

Amat sayang sekali , umat Islam mempunyai al-Quran bersama mereka , tetapi hampir kebanyakan pemimpin negara umat Islam telah mengabaikan peringatan dari Allah SWT sehingga menyebabkan umat Islam dipandang rendah  oleh masyarakat dunia pada masa ini.


Ingatlah firmanNya:


وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ


Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama  Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

An-Nuur 24:55

Sayang sekali apabila para pemimpin dan umat Islam  dihari ini telah semakin jauh daripada  ajaran Allah dan RasulNya, beginilah kehinaan yang menimpa kita semuanya.

Allahu A’lam


Rujukan

-Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2,

-Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 2,

-Sirah Nabawiyyah SAW oleh Safiyyu Al- Rahman Al-Mubarakfuri,

-Inilah Sejarah Kita oleh Thoriq Ahmad


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment