Friday 23 September 2022

JUMLAH YANG RAMAI TIDAK MENJAMIN KEMENANGAN

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN

Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ


Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

At-Taubah 9:25


              ^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas :


1)Perang Hunain berlaku setelah penaklukan kota Makkah iaitu pada bulan Syawal tahun ke 8 Hijrah. 

Telah sampai berita kepada baginda Nabi  SAW bahwa suku Hawazin (kafir)  dibawah pemimpin mereka Malik bin ‘Auf  telah mengumpul kekuatan untuk menyerang kaum mukminin. Mereka dibantu oleh suku Tsaqif (di Thaif), Bani Jusym, Bani Sa’ad bin Bakr, juga sebahagian dari Bani Hilal, Bani ‘Amr bin ‘Amir dan Bani ‘Auf bin ‘Amir.


2)Ketika itu jumlah pasukan kaum mukminin adalah 12,000 orang yakni termasuklah 2,000 orang Makkah yang baru menganut Islam. Sedangkan pasukan orang kafir dianggar sekitar 4,000 orang saja. Sehingga ada dikalangan pasukan kaum mukminin berkata, “Sekarang pasukan kami tidak dapat dikalahkan kerana bilangan  kami ramai dan bilangan mereka adalah sedikit.” Kebanggaan dan kesombongan mereka telah membuatkan Nabi SAW berasa sulit, sehingga akhirnya kaum mukminin menerima kekalahan yang 

mengejut diperingkat awal. Kekalahan ini merupakan satu siksaan kerana sikap takabbur mereka, disamping merupakan satu pengajaran , agar mereka tidak mudah terpedaya oleh jumlah mereka yang ramai. Ini disebabkan jumlah yang ramai itu tidak lain hanya merupakan salah satu penyebab kepada kemenangan yang bersifat kebendaan.


3)Allah SWT menempelak kaum mukminin bahwa jumlah mereka yang ramai telah memperdayakan mereka dan ianya tidak cukup  untuk membuat mereka   memperoleh kemenangan , bahkan ia tidak berguna sedikitpun untuk menolak keaiban daripada kekalahan mereka  ini. Oleh itu, mereka   berasakan bumi ini sempit, sedangkan ianya luas sehingga mereka   menemui jalan sukar  untuk menyelamatkan diri selain lari meninggalkan musuh tanpa menoleh kebelakang lagi.


4)Allah SWT juga telah mengatakan secara jelas melalui firmanNya yang berikut ini dalam menceritakan sikap pengikut Talut yang bersabar  dan tidak bersabar dalam perjuangan mereka,


فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ


Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". 

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Al-Baqarah 2:249


5)Apa yang sebenarnya berlaku diperingkat awal perang Hunain?

Tentera Islam dan pihak musuh  bertemu disuatu lembah antara Makkah dan Thaif , yang dikenali dengan nama Lembah Hunain. Kaum mukminin  turun ketengah lembah diawal pagi  tanpa menyangka pihak musuh telah sedia menunggu mereka terlebih awal. Akibatnya mereka terperangkap oleh serangan mengejut  pihak musuh yang telah bersembunyi dipinggiran lembah berkenaan. Kaum mukminin terkejut apabila  dihujani  anak panah dan tebasan pedang pihak musuh. Pada saat itu pasukan kaum mukminin jadi kucar-kacir dan terpaksa mundur kebelakang . Rasulullah SAW dengan bantuan pamannya al-Abbas RA telah melaungkan suara yang begitu kuat supaya kaum mukminin  bertenang dan berkumpul berhampiran baginda. 

Diantara seruan baginda berbunyi : “Kembalilah kepadaku wahai hamba-hamba Allah ! Kembalilah kepada ku!Aku adalah Rasulullah”

Seruan dari al-Abbas berbunyi: “Wahai pemilik samurah! . Wahai pemilik surah al-Baqarah ! “ (Samurah adalah pohon tempat Bai’at ar-Ridhwan diHudaibiyyah).


Setelah ramai para sahabat bergabung dengan baginda,   mereka segera menyusun strategi dan melakukan serang balas keatas pihak musuh . 

Baginda pun  mengambil segenggam tanah  untuk ditabur kepada pihak musuh sambil berdoa kepada Rabb nya: 

“Ya Allah  wujudkanlah untukku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.”

Akibatnya ramai pihak musuh yang mundur , tetapi tetap  dikejar oleh tentera mukminin. Ramai yang dapat dibunuh dan ditawan. 


6)Ayat yang berikutnya  ini, Allah SWT menceritakan mengenai bantuan yang telah diberikan kepada RasulNya tatkala puak mukminin dalam waktu yang sangat getir sekali ,


ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ


Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.

At-Taubah 9:26


7)At-Thabari meriwayat dari jalur al-Qasim dari al-Hasan bin ‘Arafah dari al-Mu’tamir bin Sulaiman dari ‘Auf iaitu Ibnu Abi Jamilah al-A’rabi , ia berkata : Aku pernah mendengar ‘Abdurrahman -maula Ibnu Burtsun berkata: Telah diceritakan oleh  seorang yang dahulu bersama puak musyrikin dihari Hunain , “Tatkala kami berhasil  mengacau-bilaukan   kesatuan tentera muslimin , kami mengejar mereka  sehinggalah kami berjumpa penunggang kaldai  putih ternyata dia adalah Nabi SAW”. Dia menyambung lagi, “Kami dapati disekeliling baginda ramai  lelaki yang berkulit putih  dan berwajah tampan. Lalu mereka berkata kepada kami: ‘Wajah-wajah yang buruk, mundurlah !’ Dia berkata lagi : Maka kami pun mundur , mereka mengalahkan kami dan akhirnya ternyata kamilah yang kalah.”

-Ath-Thabari (XIV/186)


8)Pertolongan Allah SWT ini adalah mengulangi bantuan yang diturunkan semasa perang Badar sebelumnya , seperti yang dirakamkan oleh firmanNya yang berikut ini,


إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ


(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.

Al-Anfal 8:9


Kesimpulan


Sesungguhnya Tuhanmu tidak melihat berapa ramai bilangan tentera yang dihantar oleh sesuatu pasukan  dalam misi peperangan , sebaliknya Dia memberikan  kemenangan berdasarkan berapa ramai tentera yang benar-benar bersabar  dalam menempuh perjuangan  membantu agama Allah SWT.

Perkara ini telah diterangkan dalam firmanNya,


الْآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوا أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ


Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.

Al-Anfal 8:66


Semua pertolongan yang dijanjikan itu hanya akan tercapai dengan satu syarat penting , iaitu ‘bi iznillah’ (kalau diizinkan oleh Allah SWT).


Sifat sabar ini juga  disebutkan dalam firmanNya,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ


Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat ; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

Al-Baqarah 2:153


Allahu A’lam


Rujukan


Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 4

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 5

Sejarah Lengkap Rasulullah SAW oleh Dr Ali Muhammad Ash Shalabi - Jilid 2


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment