Friday, 8 July 2022

BERMEGAH-MEGAH HARTA DUNIA MELALAIKAN KAMU

PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN

————————————————————————————

Allah Tabaraka  wa Ta’ala berfirman:

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ

حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ

Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba (untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya harta benda dan anak-pinak )

Sehingga kamu masuk kubur.

At-Takaatsur 102:1-2

Berikut adalah penjelasan  ringkas mengenai ayat-ayat diatas:


1)Allah SWT berfirman kecintaan kalian terhadap dunia  beserta kesenangan dan kemewahannya  seperti harta , anak-pinak dan pangkat kebesaran telah melalaikan kalian daripada mencari bekal dan mempersiapkan diri menuju akhirat. Dan kalian berterusan  berkeadaan begitu sampai maut datang menjemput, lalu kalian dimasukkan kedalam kubur dan dikambus dengan tanah.


2)Imam al-Bukhari  dan Muslim meriwayat dari Mutarrif RA dari ayahnya, katanya: “Aku datang kepada Nabi SAW ketika baginda sedang membaca ‘al-Hakumut takaatsur’, lalu baginda bersabda,

“Manusia berkata ini hartaku dan itu hartamu, Wahai manusia, sesungguhnya yang menjadi milikmu hanyalah apa yang kamu habiskan untuk makan, pakaian dan derma. Selain dari itu akan habis dan ditinggalkan untuk manusia lain.”


3)Diriwayatkan juga dari Anas bin MalikRA bahawa Nabi SAW bersabda:

“Andainya manusia memiliki satu kawasan lembah yang dipenuhi emas, pasti dia inginkan dua kawasan lembah lain yang penuh dengan emas , sedangkan hanya tanah saja yang akan memenuhi ruang mulutnya. Allah menerima taubat orang bertaubat kepada Nya.”


4)Imam Sheikh Muhammad ‘Abduh berkata, perkataan ‘at-takaatsur’ boleh juga diertikan  saling berlumba-lumba  untuk mendapat jumlah yang banyak. Maksudnya masing-masing berlumba-lumba mencari harta yang lebih banyak atau pangkat yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain dan dia berusaha kearah itu semata-mata. Mereka jadikan itu kepuasan dan kebanggaan dirinya sehingga mereka tidak terfikir untuk berkorban kejalan kebaikan atau dengan hartanya itu mereka lupa untuk membela kebenaran dan keadilan dalam masyarakat.


5)Faktor yang melalaikan manusia daripada menerima kebenaran dalam banyak perkara dan memalingkannya kepada kebatilan disebabkan sikap tamak masing-masing yang inginkan agar harta atau jumlah pengikutnya melebihi dari orang  lain dan dia dapat menguasainya dan menjadikan  sebahagian masanya tertumpu untuk memuaskan kemahuan nafsunya dalam mengejar perkara yang dia sangat banggakan. (Dalam konteks hidup hari ini yang dikejar oleh ramai manusia adalah  kuasa pemerintahan , harta ,perniagaan yang maju , wang ringgit, saham, emas permata, anak-pinak dan penyokong yang ramai).

Orang yang tamak haloba mengumpulkan harta ditegur oleh Allah SWT dalam firmanNya ,


وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ


Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).

Al-‘Adiyat 100:8


6)Ramai manusia telah mensia-siakan umurnya dalam perkara yang tidak membawa faedah dan tidak mendatangkan manfaat untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi . Para ulama berpesan supaya sering menziarahi kubur kerana perlakuan ini sangat mujarab bagi mengubati hati yang keras dan lalai sebab ianya boleh mengingatkan kematian dan bersedia untuk  hari akhirat.


7)Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Anas bin Malik RA , ia mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Ada tiga yang mengiringi mayit, yang dua akan kembali, sedangkan yang satunya ikut bersama. Ia diiringi oleh keluarganya, hartanya, dan amalnya.Harta dan keluarganya akan kembali, sedangkan amalnya tetap bersamanya.”

(Hadis juga diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasaie).


8)Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahwa Nabi SAW bersabda:

“Anak keturunan Adam akan menjadi tua (dan lemah) dan yang tetap muda (tidak ikut tua) hanya dua iaitu pertama, keinginan terhadap harta dan kedua, harapan (agar umur panjang).”

(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim).


9)Kisah terlalu sayangkan harta ini ada juga disebutkan di surah al-Kahfi pada ayat-ayat  34-36 yang berikut ini:


وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا


وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا


وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا


Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".


Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

Dan aku tidak fikir, hari Kiamat  akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Al-Kahfi 18:34-36


10)Begitu juga dengan kisah Qarun yang begitu banyak harta yang dikumpulkan sehingga dia jadi kufur setelah  terlalu banyak nikmat yang dia perolehi. Allah SWT menceritakan kisah beliau dalam firmanNya yang berikut ini:


قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ


Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Al-Qasas 28:78.


Akibat  buruk yang berlaku kepada Qarun

telah diterangkan oleh al-Quran melalui firmanNya yang berikut ini,


فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنتَصِرِينَ


Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.

Al-Qasas 28:81


Kesimpulan


Demikianlah Allah SWT menceritakan watak  manusia yang hidupnya dipenuhi dengan sikap berlumba-lumba mengumpulkan   harta kekayaan sehingga menyebabkan dia jadi lalai dari  mengingati Allah SWT dan lupa untuk mensyukuri anugerah nikmat yang diberikan Tuhan kepadanya. 

Seseorang yang mempunyai kekayaan harta akan terus berusaha mendapat pangkat dan kekuasaan serta para pengikut yang ramai . Semua harta dan kekuasaan yang dimiliki ini telah menyebabkan dia jadi lalai , sombong lagi  takabbur sehingga menjauhkannya dari kebenaran dan  dia lupa kepada kewajiban mempersiapkan dirinya menghadapi mati dan bertemu dengan Allah SWT diHari Pembalasan kelak. 

Janganlah kita bersikap  bermegah-megah dan takabbur ibarat orang-orang kafir sepertimana yang diterangkan oleh firmanNya yang berikut:


وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا وَاسْتَمْتَعْتُم بِهَا فَالْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَبِمَا كُنتُمْ تَفْسُقُونَ


Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku  takabbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik"

Al-Ahqaf 46:20


Allahu A’lam


Rujukan

Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 9

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 15


Ikhlas Daripada

-Ir Mahabob Shuib-

IKRAM AJ

No comments:

Post a Comment