Friday, 23 September 2022

JUMLAH YANG RAMAI TIDAK MENJAMIN KEMENANGAN

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN

Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ


Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

At-Taubah 9:25


              ^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas :


1)Perang Hunain berlaku setelah penaklukan kota Makkah iaitu pada bulan Syawal tahun ke 8 Hijrah. 

Telah sampai berita kepada baginda Nabi  SAW bahwa suku Hawazin (kafir)  dibawah pemimpin mereka Malik bin ‘Auf  telah mengumpul kekuatan untuk menyerang kaum mukminin. Mereka dibantu oleh suku Tsaqif (di Thaif), Bani Jusym, Bani Sa’ad bin Bakr, juga sebahagian dari Bani Hilal, Bani ‘Amr bin ‘Amir dan Bani ‘Auf bin ‘Amir.


2)Ketika itu jumlah pasukan kaum mukminin adalah 12,000 orang yakni termasuklah 2,000 orang Makkah yang baru menganut Islam. Sedangkan pasukan orang kafir dianggar sekitar 4,000 orang saja. Sehingga ada dikalangan pasukan kaum mukminin berkata, “Sekarang pasukan kami tidak dapat dikalahkan kerana bilangan  kami ramai dan bilangan mereka adalah sedikit.” Kebanggaan dan kesombongan mereka telah membuatkan Nabi SAW berasa sulit, sehingga akhirnya kaum mukminin menerima kekalahan yang 

mengejut diperingkat awal. Kekalahan ini merupakan satu siksaan kerana sikap takabbur mereka, disamping merupakan satu pengajaran , agar mereka tidak mudah terpedaya oleh jumlah mereka yang ramai. Ini disebabkan jumlah yang ramai itu tidak lain hanya merupakan salah satu penyebab kepada kemenangan yang bersifat kebendaan.


3)Allah SWT menempelak kaum mukminin bahwa jumlah mereka yang ramai telah memperdayakan mereka dan ianya tidak cukup  untuk membuat mereka   memperoleh kemenangan , bahkan ia tidak berguna sedikitpun untuk menolak keaiban daripada kekalahan mereka  ini. Oleh itu, mereka   berasakan bumi ini sempit, sedangkan ianya luas sehingga mereka   menemui jalan sukar  untuk menyelamatkan diri selain lari meninggalkan musuh tanpa menoleh kebelakang lagi.


4)Allah SWT juga telah mengatakan secara jelas melalui firmanNya yang berikut ini dalam menceritakan sikap pengikut Talut yang bersabar  dan tidak bersabar dalam perjuangan mereka,


فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ


Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". 

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Al-Baqarah 2:249


5)Apa yang sebenarnya berlaku diperingkat awal perang Hunain?

Tentera Islam dan pihak musuh  bertemu disuatu lembah antara Makkah dan Thaif , yang dikenali dengan nama Lembah Hunain. Kaum mukminin  turun ketengah lembah diawal pagi  tanpa menyangka pihak musuh telah sedia menunggu mereka terlebih awal. Akibatnya mereka terperangkap oleh serangan mengejut  pihak musuh yang telah bersembunyi dipinggiran lembah berkenaan. Kaum mukminin terkejut apabila  dihujani  anak panah dan tebasan pedang pihak musuh. Pada saat itu pasukan kaum mukminin jadi kucar-kacir dan terpaksa mundur kebelakang . Rasulullah SAW dengan bantuan pamannya al-Abbas RA telah melaungkan suara yang begitu kuat supaya kaum mukminin  bertenang dan berkumpul berhampiran baginda. 

Diantara seruan baginda berbunyi : “Kembalilah kepadaku wahai hamba-hamba Allah ! Kembalilah kepada ku!Aku adalah Rasulullah”

Seruan dari al-Abbas berbunyi: “Wahai pemilik samurah! . Wahai pemilik surah al-Baqarah ! “ (Samurah adalah pohon tempat Bai’at ar-Ridhwan diHudaibiyyah).


Setelah ramai para sahabat bergabung dengan baginda,   mereka segera menyusun strategi dan melakukan serang balas keatas pihak musuh . 

Baginda pun  mengambil segenggam tanah  untuk ditabur kepada pihak musuh sambil berdoa kepada Rabb nya: 

“Ya Allah  wujudkanlah untukku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.”

Akibatnya ramai pihak musuh yang mundur , tetapi tetap  dikejar oleh tentera mukminin. Ramai yang dapat dibunuh dan ditawan. 


6)Ayat yang berikutnya  ini, Allah SWT menceritakan mengenai bantuan yang telah diberikan kepada RasulNya tatkala puak mukminin dalam waktu yang sangat getir sekali ,


ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ


Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.

At-Taubah 9:26


7)At-Thabari meriwayat dari jalur al-Qasim dari al-Hasan bin ‘Arafah dari al-Mu’tamir bin Sulaiman dari ‘Auf iaitu Ibnu Abi Jamilah al-A’rabi , ia berkata : Aku pernah mendengar ‘Abdurrahman -maula Ibnu Burtsun berkata: Telah diceritakan oleh  seorang yang dahulu bersama puak musyrikin dihari Hunain , “Tatkala kami berhasil  mengacau-bilaukan   kesatuan tentera muslimin , kami mengejar mereka  sehinggalah kami berjumpa penunggang kaldai  putih ternyata dia adalah Nabi SAW”. Dia menyambung lagi, “Kami dapati disekeliling baginda ramai  lelaki yang berkulit putih  dan berwajah tampan. Lalu mereka berkata kepada kami: ‘Wajah-wajah yang buruk, mundurlah !’ Dia berkata lagi : Maka kami pun mundur , mereka mengalahkan kami dan akhirnya ternyata kamilah yang kalah.”

-Ath-Thabari (XIV/186)


8)Pertolongan Allah SWT ini adalah mengulangi bantuan yang diturunkan semasa perang Badar sebelumnya , seperti yang dirakamkan oleh firmanNya yang berikut ini,


إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ


(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.

Al-Anfal 8:9


Kesimpulan


Sesungguhnya Tuhanmu tidak melihat berapa ramai bilangan tentera yang dihantar oleh sesuatu pasukan  dalam misi peperangan , sebaliknya Dia memberikan  kemenangan berdasarkan berapa ramai tentera yang benar-benar bersabar  dalam menempuh perjuangan  membantu agama Allah SWT.

Perkara ini telah diterangkan dalam firmanNya,


الْآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوا أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ


Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.

Al-Anfal 8:66


Semua pertolongan yang dijanjikan itu hanya akan tercapai dengan satu syarat penting , iaitu ‘bi iznillah’ (kalau diizinkan oleh Allah SWT).


Sifat sabar ini juga  disebutkan dalam firmanNya,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ


Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat ; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

Al-Baqarah 2:153


Allahu A’lam


Rujukan


Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 4

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 5

Sejarah Lengkap Rasulullah SAW oleh Dr Ali Muhammad Ash Shalabi - Jilid 2


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ

Friday, 16 September 2022

AHLI KITAB TAKUT BERMUBAHALAH DENGAN KAUM MUKMIN MENGENAI STATUS NABI ISA

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN


Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ


Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".

Ali Imran 3:61


       ^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas  mengenai  ayat diatas :


1)Sedikit latar belakang kenapa diturunkan  surah  Ali Imran ayat 

ke61 ini :

Ada riwayat mengatakan sekumpulan delegasi Nasrani dari Najran datang keMadinah pada tahun 9 Hijrah untuk berjumpa Rasulullah SAW. Ini adalah perutusan pertama  setelah mereka menerima surat yang dikirim oleh baginda SAW kepada ketua kabilah mereka mempelawa dengan baik supaya puak mereka menganut Islam. 

Perutusan mereka berkata kepada Rasulullah SAW, “Kenapa Tuan mencela sahabat kami ?” (Maksud nya adalah Nabi Isa AS). 

Baginda bertanya, “Apa yang saya  telah lakukan?”

Mereka berkata, “Tuan mengatakan dia (lsa) adalah hamba Allah.”

Baginda menjawab, “Memang dia adalah hamba Allah , RasulNya, dan kalimah Allah yang diberikanNya  kepada seorang perawan suci, yang tiada bersuami.”

Lalu mereka marah dan berkata, “Pernahkah Tuan melihat seorang manusia  lahir tanpa ayah? Jika Tuan benar, maka perlihatkan contohnya kepada kami?”


2)Allah SWT telah pun menjawab pertanyaan mereka itu dengan turunnya ayat al-Quran berikut ini, 


إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِن تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُن فَيَكُونُ


Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.

Ali Imran 3:59


Penciptaan Adam AS  sebenarnya adalah lebih menakjubkan kerana baginda tidak mempunyai ibu dan ayah, sedangkan Isa AS masih ada seorang ibu. Kalau itu mereka jadikan dasar perbandingan , itu bermakna Adam AS adalah lebih layak mereka angkat  menjadi tuhan. Tetapi Allah SWT tetap menolak semua   logik akal mereka .


3)Allah SWT memberitahu kepada Rasulullah SAW  bahawa sekiranya kaum Nasrani masih mahu menegakkan kepercayaan mereka, maka ajaklah kaum keluarga mereka seluruhnya bertemu untuk  bermubahalah  (sumpah kutukan) bagi menentukan kumpulan manakah berada dipihak yang benar atau kumpulan mana pula yang berdusta?

Apabila Rasulullah SAW mencabar mereka untuk mengadakan mubahalah, mereka minta masa untuk berbincang sesama mereka. Orang-orang Nasrani sangatlah gerun kerana kaum mukmin bersungguh-sungguh untuk mengadakan mubahalah itu  sehinggakan kaum mukmin  sanggup melibatkan para isteri dan anak-anak mereka.

Diriwayatkan,  setelah turun ayat 61 dari surah  Ali Imran  ini, Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada  Ali bin Abi Talib RA dan isterinya Fatimah   mengenai doa mubahalah . Baginda juga meminta Abu Bakar RA , Umar RA , Uthman RA  mempersiapkan keluarga  mereka bagi menghadapi majlis mubahalah dengan puak Nasrani ini.

Begitulah seriusnya baginda menghadapi isu mubahalah ini.


5)Puak Nasrani Najran meminta tempoh tiga hari sebelum  mereka  boleh memberi jawaban kepada Rasulullah SAW.

Mereka pergi berbincang  dengan  para pemimpin kaum Yahudi diMadinah.

Mereka (kaum Yahudi) itu menasihatkan Nasrani Najran  supaya tidak meneruskan mubahalah dengan kaum mukmin  itu.

Puak Nasrani   Najran akhirnya akur dengan nasihat   seorang ‘alim (pendeta) dikalangan mereka, “Demi Allah, hai kaum ku , sungguh kalian telah ketahui bahawa Muhammad  itu adalah Nabi yang diutus Tuhan. Dan dia telah menyampaikan kepada kalian tentang perkara sebenar mengenai  junjungan kalian (Nabi Isa). Dan kalian sudah tahu, tidak ada suatu kaum yang bermubahalah dengan seorang Nabi Allah melainkan tidak ada tersisa lagi (terhapus) mereka dan anak cucu mereka. Sungguh jika kalian melakukannya juga maka kalian akan binasa. Kalau kalian masih sayangkan saudaramu  Isa , tinggalkanlah Muhammad dan kembalilah kenegeri kalian.”


6)Kemudian mereka   datang semula berjumpa Rasulullah SAW  bagi menyampaikan keputusan  keengganan mereka untuk bermubahalah dengan kaum mukmin.

Sesungguhnya perbuatan mereka itu menunjukkan sikap ragu-ragu mereka keatas  keyakinan  akidah mereka yang tidak benar mengenai Nabi Isa.

Sebenarnya dikalangan  orang-orang Nasrani   sendiri telah wujud berbagai pendapat mengenai status Nabi Isa.

Ada yang yakin  bahwa  Isa itu adalah Tuhan (Allah) kerana dipercayai  dia  boleh menghidupkan orang yang telah mati , boleh menyembuhkan pesakit kusta dan boleh mencipta burung dari tanah liat; 

Ada pula yang yakin Isa itu adalah anak Allah (Son of God) kerana dia tiada bapa dan semasa bayi  dia sudah boleh berkata-kata; Manakala kumpulan ketiga yakin bahawa Isa adalah salah satu dari Triniti (tiga cabang mengenai ketuhanan) seperti yang dipercayai ramai  orang Kristian dihari ini.

Ini jelas menunjukkan pihak Nasrani tidak mempunyai keyakinan yang mantap terhadap Nabi Isa  seperti apa yang dipercayai oleh kaum mukmin mengenainya. Mereka telah mengubah sesuka hati isi kandungan Kitab-Kitab yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa AS sebelum itu.


7)Akhirnya perutusan kaum Nasrani Najran bersetuju tidak mengadakan mubahalah dan sebaliknya bersetuju untuk membayar jizyah tahunan kepada pemerintahan Islam diMadinah . Maka Rasulullah SAW telah  bersetuju melantik seorang sahabat bernama Abu Ubaidah al-Jarrah RA bagi menguruskan perkara jizyah itu.


Kesimpulan


Huraian  ringkas diatas menunjukkan  ketegasan baginda Rasulullah SAW dalam mempertahankan kesucian Nabi Isa AS sebagai seorang Rasul Allah dan bukannya Anak Allah  ataupun Tuhan seperti yang percayai oleh puak Nasrani.

Oleh itu kita umat Islam mestilah berusaha menambah ilmu  supaya tidak dikelirukan oleh puak Nasrani  yang aktif berdakwah dikalangan masyarakat Islam dewasa ini. Umat Islam mesti jelas  mengenai Konsep Tauhid seperti yang dijelaskan oleh surah Al-Ikhlas dan tidak boleh kompromi terhadap pihak yang ingin mengelirukan generasi anak-anak  muda umat Islam.

Akhir sekali,  mubahalah bukanlah sesuatu yang boleh diadakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak tanpa tujuan yang jelas seperti yang ditunjukkan oleh sirah Nabawiyyah SAW seperti diceritakan diatas. Maknanya sesiapa yang ingin melakukan  mubahalah mestilah berdasarkan kepada nas-nas yang sahih.

Dalam kes seseorang yang menuduh isterinya berzina, dia mesti mendatangkan empat orang saksi  .Sekiranya dia gagal , dia kena melakukan sumpah Li’an seperti yang dijelaskan pada surah An-Nur ayat 6 hingga 9.

Dan sekiranya  mubahalah itu dibuat berkaitan sesuatu kes yang sedang dibicarakan dimahkamah, maka eloklah perkara itu  serahkanlah kepada pihak hakim yang mengadili kes tersebut  membuat keputusannya yakni setelah hakim itu mendengar  fakta-fakta dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak pendakwa dan juga pihak pembela. Mubahalah sebegini tidak boleh mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah.

(Negara ini mempunyai undang-undang yang lengkap  bagi sesuatu kes civil , jenayah atau pun kes syari’ah).

Allahu A’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 2

Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2

Sejarah Lengkap Rasulullah SAW oleh Prof Dr Ali Muhammad Ash-Shallabi - Jilid 2


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ

ORANG BERIMAN PASTI DIUJI

 LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 9)

——————————————————————————————

ORANG BERIMAN PASTI DIUJI

——————————————————————————————




Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ


وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ


-Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


-Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Al-Ankabut 29:2-3


        ^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat-ayat diatas :


1)Dalam ayat-ayat diatas Allah SWT telah mengajukan pertanyaan kepada hamba-hambaNya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengaku beriman tanpa diuji dengan sesuatu ujian?” 

Sekali-kali tidak. Sesungguhnya Allah SWT akan menguji mereka dengan tanggung-jawab yang berat, umpamanya umat Islam yang ditindas diMakkah, mereka terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halaman, berjihad dimedan perang, berjuang melawan keinginan hawa nafsu, melaksanakan ketaatan kepadaNya dan sanggup menerima pelbagai musibah melibatkan harta dan nyawa.

Ujian ini semuanya bertujuan untuk mengenali diantara mereka siapakah orang-orang yang ikhlas berpegang teguh pada agama Islam  berbanding dengan orang yang masih was-was terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.


2)Sesungguhnya Allah SWT membalas setiap diri orang beriman setimpal dengan martabat setiap amalannya bersesuaian dengan firmanNya :


أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ


Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Ali Imran 3:142


3)Allah SWT menegaskan bahawa Dia telahpun  menguji para pengikut nabi-nabi terdahulu dengan pelbagai bencana kesusahan dan kesengsaraan, malah mereka tetap bersabar dan berpegang teguh terhadap agama mereka. Contohnya  ialah berbagai jenis siksaan yang dilalui oleh para pengikut Nabi Musa dan juga Nabi Isa AS seperti yang diceritakan dalam al-Quran. Ada diantara mereka mengadu kepada nabi mereka bilakah akan datang pertolongan dari Allah?

Jawaban kepada pertanyaan mereka itu ada dinyatakan dalam firmanNya yang berikut:


أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ


Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama  Allah).

Al-Baqarah 2:214


4)Imam al-Bukhari, Abu Dawud dan Al-Nasa’ie ada meriwayatkan daripada Khabbab ibn al-‘Arat RA yang berkata,

“Kami mengadu kepada Rasulullah setelah kami menerima penganiayaan dari kaum musyrikin. Kemudian kami pun bertanya, “Mengapa tuan tidak memohon perlindungan untuk tuan dan juga untuk kami?” Lantas baginda menjawab, “Dulu pernah ada orang sebelum kamu yang diseret, lalu digalikan lobang dan dia ditanam sehingga paras leher. Kemudian kepalanya digergaji menjadi dua , manakala daging serta tulangnya dipanggang. Namun keadaan itu tidak menghalang mereka  dari berpegang teguh kepada agamanya.Demi Allah! Sesungguhnya Dia akan memberi pertolongan sehinggakan orang yang menaiki kenderaan dari San’a ke Hadramaut tidak lagi berasa takut, kecuali  kepada Allah sahaja dan takut kepada  serigala yang akan menerkam kambingnya.

Tetapi mengapa kamu terburu-buru meminta kemenangan?”


5)Allah SWT sentiasa memberikan ujian kepada hamba-hambaNya yang beriman sesuai dengan derajat keimanan yang dimiliki oleh seseorang. Hal ini sebagai mana terdapat dalam sebuah hadis sahih yang berikut:

“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang soleh, kemudian disusuli orang-orang mulia berikutnya. Seseorang diuji dengan kadar pengalaman agamanya. Bila dalam mengamalkan agama nya ia begitu kuat, maka makin keras pula cubaannya.”

(Hadis sahih dari At-Tirmizi dan Ahmad.

Disahihkan oleh Sheikh al-Albani).


6)Orang-orang yang mengaku telah beriman mestilah kekal istiqamah dan tahan menempuh sebarang cubaan atau ujian. Malangnya ramai yang menganggap ujian yang dihadapi itu seolah-olah sebagai siksaan dari Allah keatas dirinya. 

Perkara ini ada disebutkan oleh al-Quran dalam firmanNya yang berikut ini:


وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ وَلَئِن جَاءَ نَصْرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِي صُدُورِ الْعَالَمِينَ


Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: "Kami beriman kepada Allah"; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: "Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu". (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?

Al-Ankabut 29:10


7)Berikut ini adalah pesanan Allah SWT kepada hamba-hamba yang berjihad dijalan agamaNya:


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ


Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

Muhammad 47:31


Kesimpulan


Allah SWT mengingatkan  orang-orang yang beriman bahawa kalian  pasti akan diuji bagi membuktikan kita benar-benar telah beriman. Perkara ini telah pun dilalui oleh orang-orang mukmin terdahulu. Ramai dari mereka diuji dengan kemiskinan, kesusahan dan ancaman kepada jasad dan nyawa mereka. 


Allah SWT juga mengingatkan kepada kita bahawa janganlah  kita  menyangka Dia menciptakan kita sewenang-wenang tanpa sebarang tujuan. Malah Dia menciptakan kita supaya mentaati perintahNya ,agar dapat menaikkan martabat kita kederajat yang lebih mulia dan lebih tinggi  melalui berbagai ujian dan musibah dengan penuh sabar  . 


Bagi kita orang awam , ujian pertama yang mesti dilalui setelah mengaku beriman adalah menjalankan tuntutan ketaatan kepada perintah-perintah Allah SWT seperti mendirikan solat (dimana saja dan dalam keadaan sihat atau sakit) , menunaikan zakat, menutup aurat , menjaga akhlak dan tidak melakukan perbuatan lain yang diharamkan oleh syara’.

Tingkat keimanan kita akan lagi diuji sebaik sahaja kita mula berdakwah dan melakukan seruan kearah perkara yang  ma’aruf dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat. 

Begitulah seterusnya , keimanan kita akan terus diuji apabila kita bergiat di arena yang lebih mencabar lagi. Itulah apa yang difahami sebagai “Sunnatullah” dalam kerja berdakwah dan berjihad.

Allahu A’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 10

Shahih  Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 7


Ikhlas Daripada

-MahabobShuib-


#LembaranJuzukCintaIlahi

#wanitaIAJ

#IKRAMAJ

#tazkirahringkas

Friday, 9 September 2022

BERSYUKUR DENGAN NIKMAT HIDAYAH ISLAM

LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 8)

————————————————————

BERSYUKUR DENGAN NIKMAT HIDAYAH ISLAM

————————————————————




Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ


Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama  Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama  yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

At-Taubah 9:33


            ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)“Al-Huda” ertinya sesuatu  petunjuk yang Rasul bawa berupa berita yang benar, iman yang sahih dan ilmu yang bermanfaat.

“Diinul Haq” ialah  cara hidup dan amal-amal solih yang sahih (tepat)  dan berfaedah  didunia dan akhirat.

“Untuk dimenangkanNya atas  segala agama” maksudnya mengatasi semua agama yang wujud didunia.

Agama-agama yang  lain  daripada Islam penuh dengan kebatilan dan kemusyrikinan yang menolak kepercayaan Tuhan Yang Esa.

“Walaupun orang musyrik tidak menyukainya” iaitu sikap dengki orang non-muslim yang sentiasa tidak senanghati  jika agama Islam mengungguli agama anutan mereka. Ini bersesuaian dengan sikap mereka yang menentang ajaran Nabi Muhammad SAW dan menolak Keesaan  Allah SWT.


2)Allah SWT menjamin penyempurnaan cahaya petunjukNya dengan mengutuskan RasulNya yang dilengkapi

dengan  Kitab Suci  al-Quran yang tidak dimiliki oleh agama yang lain.


Hadis Imam  Muslim yang bersumbirkan dari Tsauban RA, baginda bersabda: 


“Sesungguhnya Allah telah menghimpunkan bumi untukku, lalu aku melihat timur dan baratnya. Kekuasaan umatku nanti akan  mencapai kawasan bumi yang dihimpunkan untukku.”


Dalam hadis yang lain,

Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Tamim ad-Dari RA, beliau berkata, “Aku

telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:


“Sungguh perkara  ini (Islam) akan sampai kemana sampainya siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan rumah yang terbuat dari tanah liat atau bulu, melainkan Allah akan memasukkan agama ini padanya. Dia akan muliakan orang yang mulia dan menghinakan orang hina. Dengan kemuliaan itulah Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan itulah Allah menghinakan kekufuran .”


3)Ayat yang menyentuh perkara yang sama turut diulangi pada firmanNya yang berikut  ini :


هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا


(Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu).

Al-Fath 48:28


Dalam  pada firmanNya yang lain pula:


هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ


Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama  yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

As-Saff 61:9


Adalah diharap  keunggulan agama Islam Yang Agung  ini tetap dipertahankan oleh Allah SWT dari dikelirukan atau ditutup kebenarannya oleh orang kafir musyrik dan para ahli Kitab. Menjadi tugas setiap individu muslim berjuang mempertahankan kesucian Islam ini dengan terus  mempelajari, memahami  dan mengamalkan dalam hidup seharian dan menolak segala unsur 

negatif dari luar yang bertujuan merosakkan akidah dan amalan umat Islam . 

Umat Islam mestilah mempergiatkan usaha dakwah bagi memperbetulkan tanggapan yang salah terhadap Islam dan dalam masa yang sama memanggil (mendakwah) orang-orang kafir kejalan Islam yang mulia.


4)Allah SWT sendiri telah membuat pengakuan bahawa satu-satunya agama (ad-din) yang diterima disisi Allah adalah agama Islam. Ini telah dijelaskan oleh firmanNya yang berikut ini:


إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ


Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Ali Imran 3:19


Orang-orang Yahudi dan Nasrani telah maklum dengan kebenaran agama Islam yang bakal dibawa oleh seorang Rasul Akhir Zaman , namun disebabkan utusan Allah SWT itu bukannya datang dari suku kaum Yahudi sendiri mereka telah menolak  dan menyembunyikan segala fakta kebenaran . Hanya orang-orang yang yakin dengan kebenaran agama Allah seperti Raja Najashi dan Abdullah bin Salam telah menerima cahaya Islam , lantas mereka beriman .


Kesimpulan


Semoga perkongsian ringkas ini mendatangkan  manfaat buat kita semua.

Berbanggalah dan pertahankanlah Agama Agung  yang kita anuti selama ini kerana dengan agama inilah kita dijamin oleh Allah SWT selamat didunia dan juga sejahtera diakhirat.

Firman Allah Ta’ala:


وَإِنَّهُ لَتَذْكِرَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ


“Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Al-Haqqah 69:48


Allahu A’lam


Rujukan

Sahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 4

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 5


Ikhlas Daripada

-Mahabob Shuib-

IKRAM AJ

#LembaranJuzukCintaIlahi

#wanitaIAJ

#IKRAMAJ

ALLAH BERKUASA MENENTUKAN KEPADA SIAPAKAH KUASA PEMERINTAHAN HENDAK DISERAHKANNYA

 PERKONGSIAN ILMU DARI AL-QURAN


Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Ali Imran 3:26


         ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut ini adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas:


1)Serba ringkas mengenai sebab ayat ini  diturunkan:

Al-Wahidiy meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA dan Anas bin Malik RA bahawa sewaktu Rasulullah SAW menakluk kota Makkah, baginda menjanjikan kerajaan Parsi dan Romawi  akan umat Islam kuasai. Mendengarkan janji baginda itu, puak munafik mengatakan perkara itu adalah mustahil dicapai kerana mereka beranggapan kedua kuasa besar itu adalah terlalu kuat buat umat Islam  kerana mereka mempunyai tentera yang ramai dan kelengkapan perang yang sangat hebat. Sebagai menjawab ejekan puak munafik itu , lalu Jibril AS turun menyampaikan ayat Ali Imran :26 diatas.


2)Allah lah yang berkuasa memberikan kuasa pemerintahan kepada seseorang  dan Dia juga yang berkuasa menarik semula kuasa itu daripada sesiapa yang telah diberikan kuasa itu. Apa yang Dia kehendaki pasti akan terjadi. Maksudnya Dialah yang Mengendalikan semua ciptaanNya menurut kehendakNya.


3)Allah SWT telah membuktikan Dia berkuasa  mengalihkan kerasulan  dari Bani Israil kepada seorang Rasul dari keturunan Arab, dari suku Quraisy diMakkah bagi menutup seluruh Rasul dimuka bumi ini dengan kehendakNya yang mutlak. 

Dia telah mengangkat Nabi Muhammad SAW, seorang insan   yang ummi dengan memberikan syari’at Islam yang lengkap dan pengetahuan  mengenai perkara yang ghaib melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibril AS.


4)Allah SWT telah memberikan kuasa kepada Nabi SAW untuk mengalahkan puak kafir musyrik Makkah yang sebelum itu telah menindas  dan memusuhi kaum mukminin lebih dua puluh tahun lamanya.

Perkara ini tidak pernah terfikir oleh puak musyrik Makkah  yang pada awalnya memandang rendah pada kaum mukminin pimpinan Nabi Muhammad SAW.


5)Dengan kekuasaan Allah SWT juga lah umat Islam  dizaman pemerintahan para sahabat telah berjaya mengalahkan kuasa besar pada masa itu iaitu Romawi  dan Parsi.

Adalah diriwayatkan semasa membuat persiapan perang Ahzab, para sahabat yang mengorek  parit (khandak) telah terjumpa sebuah batu besar. Mereka tak berjaya memecahkannya  dan meminta Rasulullah SAW melakukannya. Baginda telah menggunakan alat pemecah batu dan menghentakkan kebatu itu sebanyak tiga kali sehingga batu itu pecah. Pada hentakan yang pertama baginda berdoa agar Allah kurniakan kunci Istana dinegeri Sham (Romawi Timur) kepada umat Islam. Pada hentakan kedua baginda berdoa agar dikurniakan kunci Istana Parsi. Pada hentakan ketiga pula baginda berdoa agar dikurniakan  kunci Istana Yaman.

Apabila diceritakan doa Rasulullah ini kepada para sahabat , ramai dari kalangan puak munafik yang mendengar telah mempersendakannya. Puak  munafik  menyangka perkara  yang dihajati oleh baginda itu adalah sesuatu yang amat mustahil dicapai.

Namun begitu sejarah  telah membuktikan bahawa Allah SWT telah  menunaikan doa baginda  SAW itu dengan menganugerahkan  kuasa pemerintahan  Romawi, Parsi dan Yaman kepada kaum mukminin selang tidak berapa lama setelah itu.

Begitulah Allah SWT telah mengangkat derajat bangsa Arab padang pasir  yang sebelum itu dianggap  sebagai bangsa yang lemah dan mundur yang tidak mungkin dapat mengalahkan kuasa-kuasa  besar seperti Romawi dan Parsi.


6)Allah SWT juga mengkhabarkan Dialah yang berhak mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki. 

Begitulah Dia  yang menentukan kejatuhan sesebuah kerajaan disesuatu era.

Satu  contoh yang ingin dipaparkan disini adalah mengenai kejatuhan kerajaan Islam Abbasiyah diBaghdad  kepada  puak Monggol pada tahun 656H/1258M.

Secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa kejatuhan kerajaan Islam diBaghdad adalah disebabkan  usaha-usaha  dakwah dan jihad telah  tidak dihiraukan  oleh pihak pemerintah pada masa itu. Kerajaan Abbasiyah yang asalnya dibangunkan berasaskan kritikan kuat terhadap kelemahan dan kelalaian kerajaan Bani Umayyah dalam menegakkan keadilan Islam akhirnya berkubur diwaktu  mereka juga  terjebak kedalam fitnah yang sama. Umat Islam pada masa itu lalai dengan kemajuan kebendaan  atau menjadi  “hamba dirham dan dinar”  sehingga lupa aspek  bersiap sedia dari segi ketenteraan 

bagi menangkis ancaman musuh. Para ulama dan sarjana Islam terlalu sibuk membahaskan perkara-perkara yang furu’  atau pun mereka lebih menumpukan bidang berfalsafah sahaja.

Penyelewengan aqidah juga tidak terbendung lagi dimasa itu.

Fahaman mu’tazilah, gerakan batiniyah dan ajaran Syi’ah bebas berkembang yang justeru melemahkan kesatuan dan perjuangan umat Islam. Akhirnya Baghdad telah diserang oleh tentera Monggol  dengan rakus nya , sedangkan rata-rata kaum muslimin yang ramai itu tidak terdaya untuk melawan mereka.

Disamping itu terdapat juga dikalangan  penasihat istana yang belot kepada pihak musuh. 

Apa yang berlaku itu adalah  perancangan Allah  Yang  Maha Bijaksana untuk memberi pengajaran kepada umat Islam keseluruhannya.


7)Pengalaman  pahit yang dialami oleh kerajaan Abbasiyah dikota Baghdad pada tahun 1258M itu , sekali lagi berulang keatas kerajaan Islam di Andalusia sehingga menyebabkan kejatuhannya  pada tahun 1492M.

Umat Islam yang berkuasa hampir 8 abad itu telah jatuh dalam keadaan terhina ditangan pihak Kristian Sepanyol.

Setelah begitu lama berkuasa, pemerintahan  diAndalusia mula lemah dipenghujungnya disebabkan mereka mula hidup bermewahan, kerja dakwah semakin diabaikan , sesama umat Islam mula berpecah-belah kerana semangat kebangsaan  antara umat Islam dari puak pendatang (Afrika Utara) dan puak  kelahiran tempatan. Diatas perpecahan inilah pihak Kristian mengambil kesempatan melaga-lagakan puak-puak umat Islam yang bersengketa. Puak Islam berpecah kepada lebih dua puluh kumpulan dan mereka  saling berebut kuasa sesama sendiri . Ada puak Islam yang  tanpa malu meminta pertolongan puak Kristian bagi mengalahkan kumpulan yang lain. Ada kumpulan Islam yang sanggup membayar ufti bagi mendapatkan pertolongan dari puak Kristian. Begitulah parahnya perpecahan umat Islam pada masa itu sehinggakan pihak pemerintahan diGranada tidak dapat mengawalnya. Akhirnya kerajaan Islam jatuh dan  dihalau dalam keadaan amat memalukan. Puluhan ribu umat Islam telah disembelih dengan kejamnya.


8)Begitu juga diabad moden ini kita dapat saksikan beberapa kerajaan didunia yang telah berkuasa begitu lama dinegaranya, akhirnya   telah dapat ditumbangkan oleh rakyat jelata mereka sendiri .

Kuasa pemerintahan bertukar ganti mengikut perancangan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. 

Ada para  pemimpin yang begitu lama berkuasa dengan  penuh tipu muslihat dan kekejaman  telah dapat dijatuhkan . Begitu juga ada pemimpin yang pernah dizalimi  dan dipenjarakan telah berupaya mengambil-alih tampuk pemerintahan dinegaranya.


Kesimpulan


Umat Islam telah  bergembira dengan kejayaan pasukan  Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Constantinople pada tahun 1453H. Namun begitu sejarah pahit umat Islam terus berulang apabila kerajaan Khilafah Othmaniyah diTurki yang berkuasa begitu lama telah dapat dijatuhkan oleh musuh-musuh Islam (dari luar dan dalam negara sendiri) pada tahun 1924M. Ini sekali lagi membuktikan bahawa Allah SWT Berkuasa mencabut kuasa pemerintahan daripada siapa yang Dia Kehendaki. 

Semenjak dari tarikh itu kita lihat sekali lagi negara-negara umat Islam telah berpecah-pecah dan mudah  dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat terutama Amerika dan Eropah. Sejarah yang paling malang bagi umat Islam adalah apabila bumi umat Islam Palestin diserahkan kepada pihak  Yahudi pada tahun 1948 dan tertubuhnya negara haram Israel.

Beginilah putaran sejarah yang berlaku keatas umat Islam hampir 1,500 tahun yang lalu. Dalam tempoh yang lama ini telah berlaku beberapa siri Perang Salib diantara umat Islam dan Kristian . Sekarang ini umat Islam  meskipun ramai jumlahnya , namun mereka berada pada keadaan yang sangat lemah terutama dari aspek ekonomi , ketenteraan, ilmu pengetahuan, teknologi  dan penguasaan media massa antara bangsa.

Amat sayang sekali , umat Islam mempunyai al-Quran bersama mereka , tetapi hampir kebanyakan pemimpin negara umat Islam telah mengabaikan peringatan dari Allah SWT sehingga menyebabkan umat Islam dipandang rendah  oleh masyarakat dunia pada masa ini.


Ingatlah firmanNya:


وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ


Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama  Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

An-Nuur 24:55

Sayang sekali apabila para pemimpin dan umat Islam  dihari ini telah semakin jauh daripada  ajaran Allah dan RasulNya, beginilah kehinaan yang menimpa kita semuanya.

Allahu A’lam


Rujukan

-Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 2,

-Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 2,

-Sirah Nabawiyyah SAW oleh Safiyyu Al- Rahman Al-Mubarakfuri,

-Inilah Sejarah Kita oleh Thoriq Ahmad


Ikhlas Daripada

-Ir MahabobShuib-

IKRAM AJ