LEMBARAN JUZUK CINTA ILAHI (Siri 6)
————————————————————————
ALLAH MENGUJI SESEORANG DENGAN KESENANGAN
————————————————————————
Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
Al-An’am 6:44
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah huraian ringkas mengenai ayat diatas :
1) Allah SWT menceritakan perihal sekumpulan manusia yang ‘amat berjaya dalam hidupnya’ tetapi mereka mengabaikan atau berpaling dari melaksanakan perintahNya. Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berkuasa, berjawatan besar dan memiliki harta kekayaan yang melimpah-ruah .
Mereka ini tahu tentang adanya suruhan dan tegahan Tuhannya , akan tetapi mereka berterusan mengabaikan perintah Allah dan RasulNya .
Mereka itu makin hari semakin lalai dari mematuhi ajaran agamanya.
2) Allah SWT akan menguji mereka dengan berbagai jenis kesenangan dan kemewahan hidup. Semua perniagaan yang diceburi amat berjaya dan mendapat keuntungan besar . Disamping itu mereka terus dianugerahkan pangkat dan jawatan tinggi , mendapat banyak bintang kebesaran dan dalam masa yang sama keadaan kesihatan mereka sangat baik dan tidak ditimpa sebarang penyakit. Mereka dikira amat ‘berjaya’ sekali dalam hidupnya.
3) Kesenangan yang diperolehi ini
menjadikan mereka golongan yang tidak bersyukur kepada Allah SWT. Pelbagai nikmat dunia yang diterima tidak mendidik mereka menjadi manusia yang tawaddu’ , malahan mereka menjadi angkuh dan makin ingkar terhadap perintah-perintah Tuhannya . Ini menyebabkan hati mereka makin keras dan jauh dari mahu mengingati Allah SWT.
4) Keadaan mereka ini ibarat anak-anak yang dimanjakan oleh ibu bapa mereka yang mana segala apa yang diminta sentiasa ditunaikan dan tidak pernah dihampakan. Begitulah mudahnya mereka mempunyai peluang untuk menambah harta sebanyak yang dikehendaki iaitu seolah-olah Tuhannya sangat menyayangi atau memanjakan mereka.
5) Mereka ini terus menyangka bahawa kemewahan dan kesenangan itu sudah menjadi ‘hak istimewa’ bagi mereka . Tahap keingkaran mereka kepada Allah SWT makin meningkat dan mereka semakin angkuh dengan pangkat besar , kuasa yang dimiliki dan tambahan pula mempunyai bilangan para pengikut atau penyokong yang semakin ramai.
6) Sifat takabbur mereka itu tidak teragak-agak mendorong mereka melakukan kemungkaran dan mengabaikan ajaran al-Quran, maka ini telah menyebabkan Allah SWT menjadi murka kepada mereka. Akibatnya mereka ditimpa ujian berbentuk musibah secara tiba-tiba yang mana menyebabkan kekayaan yang mereka miliki hilang secara mengejut . Allah SWT juga mendatangkan ujian berbentuk bala bencana atau serangan wabak penyakit yang tidak disangka-sangka yang memusnahkan kekayaan mereka secara tiba-tiba. Mereka itu kemudiannya menjadi golongan yang berputus asa setelah semua kemewahan yang dimiliki telah lenyap daripada mereka satu demi satu .
7) Mereka yang diuji sedemikian ini adalah mereka yang lupa dengan kebesaran Allah SWT dan mereka ini tidak pernah bersyukur semasa mereka mendapat kemewahan , kesenangan dan kuasa yang dianugerahkan oleh Tuhannya.
Setelah Allah SWT menarik balik kekuasaan dan kekayaan yang dipinjamkan kepadanya itu barulah mereka tersentak dan mahu menyesal , lantas hendak kembali semula mematuhi perintah Allah dan RasulNya.
8)Al-Hasan al-Bashri RA mengatakan , “Barangsiapa yang diluaskan oleh Allah SWT (rezekinya) namun dia tidak melihat (tidak sedar) bahwa Allah SWT itu memperdayanya, bererti dia tidak mempunyai fikiran. Barangsiapa yang disempitkan oleh Allah SWT namun dia tidak melihat (tidak sedar) bahwa Allah SWT menangguhkan (kesenangan untuknya) bererti dia tidak punyai fikiran.”
Kemudian dia membaca ayat (Al-An’am:44) berikut ini:
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Al-Hasan RA berkata: Demi Rabb Ka’bah, Dia (Allah) menipu ( memperdaya) mereka dengan cara mereka diberi segala keperluannya kemudian mereka disiksa.”
(Diriwayat oleh Ibnu Abi Hatim)
Kesimpulan
Orang-orang beriman mestilah mengambil pelajaran bahawa Allah SWT berkuasa mencuba mereka dalam berbagai bentuk ujian.
Adakalanya mereka tidak sedar bahawa kekuasaan dan kesenangan yang mereka miliki secara terus menerus itu adalah ‘ujian besar’ dari Allah SWT.
Sesungguhnya Allah SWT mendatangkan cobaan untuk melihat sejauh mana kepatuhan mereka kepadaNya tatkala kemewahan itu datang mencurah-curah kepada mereka.
Ramai manusia tidak sedar bahawa ujian dalam bentuk kesenangan itu ada lah proses ISTIDRAJ yang dikenakan Allah SWT keatas diri mereka.
Bagi mereka yang dibukakan pintu hatinya untuk kembali kepada Tuhannya, mereka akan sedar keatas segala kesilapan yang mereka lakukan.
Bagi mereka yang tidak mahu kembali kepada Tuhannya , mereka akan terus menerus lalai dan makin kuat penolakan mereka kepada perintah-perintah Allah SWT.
Semoga perkongsian diatas dapat mengingatkan kita supaya menjadi golongan yang bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan Allah SWT . Ingatlah lawan kepada syukur adalah kufur kepada nikmatNya .
Ingatlah kepada firmanNya:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Ibrahim 14:7
Allahu A’lam
Rujukan
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 4
Shahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 3
Ikhlas Daripada
-Mahabob Shuib-
IKRAM AJ
#LembaranJuzukCintaIlahi
#wanitaIAJ
#IKRAMAJ
#IKRAMAmpangJaya